Perusahaan perlu belajar tingkat diri, manfaat teknologi untuk bertahan
Perusahaan perlu belajar tingkat diri, manfaat teknologi untuk bertahan
Perbincangan prabelanjawan kupas lima perkara utama bagi pastikan syarikat terus kekal daya saing
Dalam dunia yang pantas berubah, perusahaan perlu meningkatkan diri dan memanfaatkan teknologi agar terus berdaya saing.
Keadaan itu jauh berbeza dari beberapa dekad lalu.
Persekitaran semasa menuntut lebih daripada sekadar kecekapan atau automasi. Ia memerlukan inovasi dan penciptaan penyelesaian baru agar terus bertahan, ujar Presiden Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA), Encik Teo Ser Luck.
“Kita perlu tahu cara meningkatkan diri dan menggunakan teknologi dengan lebih baik kerana peraturan dunia telah berubah dan keadaan hari ini sangat berbeza.
“Sistem ekonomi kini disusun semula, dan kita perlu tahu sebagai sebuah syarikat, bagaimana untuk kekal berdaya saing. Negara juga perlu tahu bagaimana syarikat kita boleh berdaya saing.
“Perubahan kini menuntut lebih banyak usaha daripada kita dalam mencipta dan menghasilkan penyelesaian inovatif, bukan sekadar automasi atau meningkatkan hasil,” ujar Encik Teo.
Beliau berkongsi demikian dalam perbincangan prabelanjawan ISCA 2026 pada 6 Februari di YWCA Fort Canning.
Perbincangan itu merangkumi lima perkara utama: Ramalan perniagaan dan ekonomi 2026; ketahanan dan daya saing perusahaan; strategi pengantarabangsaan dan pertumbuhan serantau; transformasi kecerdasan buatan (AI), kesediaan tenaga kerja dan inovasi yang dipacu sektor awam; serta strategi untuk pertumbuhan inklusif, kemampanan, sokongan syarikat kecil dan sederhana (SME) dan strategi fiskal bagi pertumbuhan terangkum.
Sesi itu dipengerusi bersama oleh Encik Saktiandi Supaat, Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kewangan serta Perdagangan dan Perusahaan, dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Old Chang Kee, Encik Song Yeow Chung, dan disertai 12 anggota panel dan 300 peserta dalam talian.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membentangkan ucapan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 3.30 petang, 12 Februari.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengulas isu yang menjadi keutamaan rakyat Singapura, termasuk tekanan kos sara hidup, persekitaran luaran yang tidak menentu, serta kesan teknologi.
Dalam pada itu, Encik Saktiandi juga berkata ketidakpastian sejagat turut menjejas rantaian bekalan dan menimbulkan kebimbangan tentang inflasi bagi perusahaan.
“Saya rasa kita kini berada dalam situasi yang sangat kompleks. Keadaan geopolitik, ekonomi, dan ekonomi global juga tidak stabil.
“Terdapat juga ketidakseimbangan tertentu antara sesetengah bahagian dunia dengan yang lain, gangguan rantaian bekalan, serta kebimbangan tentang inflasi.
“Saya berpendapat bahawa keadaan untuk perusahaan juga kini tidak menentu dan membuat mereka bersikap berhati-hati,” kata Encik Saktiandi.
Justeru, beliau berkata sesi perbincangan prabelanjawan ISCA adalah satu peluang untuk para karyawan dan badan profesional berkongsi pandangan, sekali gus menyediakan platform untuk mereka menyumbang idea.
Encik Saktiandi menambah, GPC Kewangan serta Perdagangan dan Perusahaan dapat membantu menyalurkan pandangan dalaman serta cadangan praktikal yang paling penting untuk pembentukan dasar yang membina kepada pemerintah.

