Walaupun bergelut dengan kesakitan melampau dek menghidapi penyakit barah buah dada atau khususnya, ‘Triple-Negative Breast Cancer’ (TNBC), sejenis barah yang dikatakan lebih agresif daripada jenis barah lain, hal itu tidak menghambat jiwa besar Cik Julaiha Mohamed Jahabar untuk tetap ke kerja dan menghulurkan sokongan kepada pesakit barah lain.

Justeru, Cik Julaiha, 51 tahun, yang bekerja sebagai Pengurus Perubatan Nukleur dan Tomografi Pancaran Positron (PET) di Parkway Radiology, rasa terpanggil untuk kembali bertugas demi menemani pesakit di tempat kerjanya yang senasib dengan dirinya.

Antara bidang tugas beliau adalah untuk menguruskan pusat perubatan itu serta membantu menyelenggarakan urusan pesakit barah lain yang datang ke sana bagi mendapatkan perkhidmatan radiologi.

Namun, sejak menjadi pesakit barah pada 2023, beliau menyifatkan keadaan itu telah dapat menambah nilai kepada pekerjaannya dalam mengeratkan diri dengan pesakit melalui cara yang lebih bermakna.

Menurut beliau, melalui hubungan erat itu, ia dapat sedikit sebanyak membantu dan meringankan proses pemulihan bagi pesakit yang datang ke tempat kerjanya.

Beliau yang sudah bekerja di pusat perubatan itu selama 19 tahun, berkata:

“Ia merupakan satu proses yang amat semula jadi bagi saya untuk meneruskan tugas kerja kerana saya memang meminati kerja ini.

“Tugas ini membolehkan saya berhubung dengan para pesakit secara bermakna dan memberi bantuan dalam apa jua cara bagi membantu meringankan perjalanan perubatan mereka.

“Justeru, apabila saya sudah menghidapi barah dan melihat pesakit yang mengalami penyakit yang sama, saya cuba untuk dekati mereka bagi memberikan semangat.

“Malah, kita menjadi kawan yang rapat dan saling berkongsi pengalaman. Ini mengingatkan mereka bahawa mereka tidak keseorangan dalam perjalanan perubatan ini.”

Berkat jiwa besar beliau dalam memberi sokongan kepada pesakit sementara mengalami kesakitan itu sendiri, Cik Julaiha menjadi salah seorang daripada 80 individu yang menerima anugerah di acara Anugerah Kemanusiaan Penjagaan Kesihatan atau ‘Healthcare Humanity Award’ (HHA) pada 23 Oktober di The Clifford Pier.

Dianjurkan oleh MOH Holdings (MOHH), acara HHA memberi pengiktirafan kepada pekerja penjagaan kesihatan yang meletakkan usaha yang lebih demi memberikan penjagaan dan keselesaan kepada pesakit.

Justeru, anugerah itu mengiktiraf individu dan pasukan yang meneladani sifat belas ihsan, dedikasi, berdaya tahan, ketulusan hati, serta kerjasama dalam berkhidmat kepada pesakit, keluarga, dan masyarakat.

Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam yang juga merupakan Penaung Utama Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Cik Julaiha, yang menerima anugerah di bawah kategori ‘Berdaya Tahan’, berkongsi, dengan menawarkan sokongan kepada pesakit, ia bukan sahaja dapat meringankan keperitan perjalanan perubatan mereka.

Malah, ia turut menjadi ‘perisai’ yang menyalakan semangatnya untuk terus teguh menempuhi kesakitan yang sungguh membisakan.

“Melihat semua pesakit kami, mereka inilah pahlawan senyap kami, yang berani menghadapi diagnosis mereka.

“Perjalanan perubatan mereka merupakan sumber inspirasi saya untuk terus bekerja tatkala saya sendiri menghadapi diagnosis saya,” kata ibu kepada dua anak yang berusia 20 dan 16 tahun itu.

Ketika disahkan menghidapi penyakit TNBC melalui imbasan radiologi di tempat kerjanya sendiri, Cik Julaiha terpaksa menjalani beberapa rawatan intensif termasuk pembedahan, kemoterapi dan imunoterapi selama setahun.

Beliau berkongsi, kesan daripada beberapa rawatan itu telah membuatkan dirinya lemah hingga tidak dapat berfungsi dengan baik dalam melakukan perkara seharian.

Waima begitu, beliau tetap mencekalkan hati untuk keluar bekerja dan tidak biarkan penyakit itu terus memamah dirinya.

“Adakalanya saya tidak dapat makan, tidak dapat bangun daripada katil dan jejari saya juga rasa kebas.

“Saya juga kerap mengalami ‘kekaburan minda’ hingga tidak dapat berfikir dengan jelas dan mempunyai masalah ingatan.

“Tapi saya tidak ingin terlalu memikirkan tentang kesakitan saya. Jadi, apabila saya larat, saya akan ke kerja sahaja.

“Saya menerima kesakitan saya dengan perspektif untuk sentiasa bersyukur kerana saya dapat tetap meneruskan kehidupan,” kata Cik Julaiha.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti