Pesakit seorang doktor perubatan umum (GP) – yang kini di bawah dakwaan kes konspirasi jenayah melibatkan vaksinasi Covid-19 palsu – telah membayar sehingga $6,000 bagi suntikan air garam (saline).
Demikian mahkamah diberitahu pada permulaan perbicaraan selama 15 hari.
Selepas memberi mereka suntikan itu, Jipson Quah – yang khidmatnya telah digantung sejak Mac 2022 – didakwa meletakkan di dalam rekod bahawa pesakit tersebut telah menerima suntikan vaksin Sinopharm.
Pesakit tersebut mahu rekod vaksinasi mereka dikemas kini untuk mengelakkan diri mereka daripada menghadapi sekatan yang dikenakan ke atas individu yang tidak divaksinasi semasa pandemik.
Quah, 36 tahun, berada di mahkamah pada 16 Disember untuk mencabar 17 tuduhan bahawa dia telah berkomplot antara 2021 dengan 2022 untuk membuat dakwaan palsu kepada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) tentang status vaksinasi 17 individu.
Dalam kenyataan pembukaan mereka, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Timotheus Koh, Yohanes Ng dan Thaddeus Tan berkata mereka akan mendedahkan 11 kenyataan, masing-masing daripada Quah dan pembantu kliniknya pada ketika itu, Thomas Chua Cheng Soon, 43 tahun, untuk membuktikan kes mereka.
DPP Koh memberitahu mahkamah bahawa Quah dan Chua didakwa mengaku terlibat dalam kesalahan di dalam kenyataan tersebut.
Quah menghadapi perbicaraan bersama dengan Chua dan pengasas kumpulan antivaksin, Healing the Divide, Iris Koh Hsiao Pei, 48 tahun.
Pendakwa raya juga akan memanggil 14 individu yang dinamakan dalam pertuduhan tiga individu itu untuk memberi keterangan sebagai saksi.
Mereka termasuk pesakit yang telah menerima suntikan air garam tersebut.
Ketiga-tiganya didakwa telah berkomplot untuk secara palsu memaklumkan kepada HPB bahawa pesakit itu telah diberikan vaksin Sinopharm sedangkan mereka tidak menerimanya.
Koh dan Chua masing-masing mencabar tujuh tuduhan.
Hari pertama perbicaraan itu menyaksikan Penolong Superintenden Polis (ASP) Karl Elliott Lim Peng, memberi keterangan. Beliau telah merakamkan dua kenyataan pertama Quah.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa doktor GP itu menyatakan semasa wawancara bahawa sebuah keluarga tiga anggota didakwa telah membayarnya antara $1,000 dengan $6,000 bagi suntikan air garam.
Quah memberitahu polis beliau mengenakan bayaran $70 bagi vaksin Sinopharm, dan harga yang sama bagi suntikan air garam.
Pada 2021, syarikat penjagaan kesihatan swasta mengenakan bayaran antara $90 dengan $99 bagi dua dos vaksin Sinopharm.
ASP Lim berkata apabila beliau bertanya Quah tentang jumlah besar yang didakwa diterimanya bagi suntikan air garam, doktor GP itu berkata:
“Saya menganggapnya sebagai tanda terima kasih… untuk pesakit yang menawar untuk membayar lebih, saya tidak akan menolak mereka.”
Quah memberitahu polis bahawa pembantu kliniknya didakwa menyimpan sekitar 30 peratus daripada setiap bayaran untuk dirinya sendiri.
Jika sabit kesalahan membuat dakwaan palsu, Quah, Koh dan Chua boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, didenda, atau kedua-duanya bagi setiap tuduhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg