Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesakit diabetes jenis jarang dialami kini nikmati subsidi peranti perubatan

Dua golongan baru tersenarai; diabetes disebabkan kerosakan pankreas dan berpunca daripada gangguan genetik
Dec 29, 2025 | 5:30 AM
Ng Zhuang Shu, CGM, Dexcom G6
Cik Ng Zhuang Shu, yang menghidap diabetes monogenik, menggunakan sistem Pemantau Glukosa Berterusan (CGM) Dexcom G6 untuk memantau paras gula dalam darahnya. Sistem itu merupakan satu-satunya peranti CGM yang layak menerima subsidi pemerintah. - Foto ihsan NG ZHUANG SHU

Pesakit yang menghidap jenis diabetes lebih jarang dialami, termasuk diabetes yang disebabkan oleh barah, kini boleh menikmati subsidi pemerintah hingga 80 peratus.

Ini dapat mengurangkan hampir separuh kos bulanan mereka untuk peralatan perubatan.

Mulai 1 Disember, subsidi antara 30 hingga 80 peratus untuk peranti Pemantau Glukosa Berterusan (CGM) telah diperluaskan kepada dua kumpulan baru warga Singapura yang layak dan sedang menerima rawatan di institusi penjagaan kesihatan awam.

Maklumat itu mengikut panduan teknologi terkini oleh Agensi untuk Keberkesanan Penjagaan (ACE) di bawah Kementerian Kesihatan (MOH).

Pemantau Glukosa Berterusan (CGM)

CGM ialah teknologi boleh pakai, biasanya berbentuk tampalan, yang memantau paras gula (glukosa) dalam darah secara berterusan.

Bacaan tersebut akan dihantar terus ke telefon pintar.

Bacaan glukosa yang berterusan dalam masa nyata itu membolehkan pesakit memantau paras gula dalam darah tanpa perlu kerap melakukan ujian cucuk jari, lapor The Straits Times (ST).

Ia membantu pesakit menyesuaikan dos insulin tepat pada masanya serta mengurangkan risiko paras gula darah menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah, kata pakar perunding kanan endokrinologi, Dr Sue-Anne Toh.

Menurut data MOH, terdapat lebih 400,000 pesakit diabetes di Singapura.

Kumpulan pertama yang menerima manfaat tersebut ialah pesakit diabetes mellitus pankreatogenik, iaitu keadaan di mana kerosakan pada pankreas menyebabkan tubuh tidak dapat menghasilkan insulin.

Ini termasuk pesakit barah yang telah menjalani pembuangan pankreas.

Menurut pakar klinikal, pesakit dalam kategori itu hanya membentuk sebahagian kecil daripada keseluruhan pesakit diabetes di Singapura.

Kumpulan kedua ialah pesakit diabetes monogenik, iaitu diabetes yang berpunca daripada gangguan satu gen (DNA).

Pakar Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi Hospital Besar Singapura (SGH), Dr David Carmody, menganggarkan bahawa pesakit diabetes monogenik mungkin merangkumi kurang daripada 2 peratus daripada jumlah pesakit diabetes di Singapura.

Sejak Mei 2024, MOH telah menyediakan subsidi kepada pesakit diabetes Jenis 1 yang layak bagi peranti CGM mereka.

Diabetes Jenis 1 ialah penyakit autoimun yang berlaku apabila sistem imun badan memusnahkan sel penghasil insulin di pankreas.

Di Singapura, sebahagian besar pesakit diabetes menghidap diabetes Jenis 2, yang biasanya dikaitkan dengan obesiti dan boleh diperbaiki melalui pemakanan sihat serta senaman.

Jawatankuasa Penasihat Teknologi Perubatan MOH berkata bukti mengenai penggunaan CGM bagi diabetes pankreatogenik dan monogenik adalah terhad.

Namun, ia menyatakan pengurusan klinikal pesakit-pesakit tersebut, serta risiko komplikasi mereka, adalah serupa dengan pesakit diabetes Jenis 1.

Jawatankuasa itu juga mendapati bahawa di negara seperti Australia dan Canada, pesakit dalam kategori tersebut menerima bayaran balik kos peranti CGM.

Peranti itu dianggap selamat, berkesan dan berbaloi dari segi kos.

Justeru, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan kepada MOH agar subsidi diperluaskan kepada kededua kumpulan pesakit itu.

Kos perubatan pesakit kurang hampir separuh

Pengumuman peluasan subsidi itu disambut baik oleh pesakit dan juga pakar perubatan.

Terdapat beberapa peranti CGM di pasaran, namun sistem Dexcom G6 CGM merupakan satu-satunya model yang diiktiraf untuk menerima subsidi.

Berdasarkan wadah beli-belah dalam talian Lazada dan Shopee, harga jualan semasa ialah $95.90.

Setiap sistem CGM terdiri daripada sensor yang boleh digunakan sehingga 10 hari dan pemancar (transmitter) yang boleh digunakan semula selama kira-kira tiga bulan.

Pengalaman pesakit

Cik Ng Zhuang Shu menghidap diabetes Jenis 1 tidak lama selepas dilahirkan.

Namun apabila beliau dewasa dan berpindah daripada klinik kanak-kanak ke klinik dewasa, keadaannya diklasifikasikan semula sebagai diabetes neonatal, menyebabkan beliau tidak lagi layak menerima subsidi CGM.

Penyelidik berusia 32 tahun itu berkata, beliau telah menulis kepada pihak berkuasa untuk menjelaskan keadaannya dan memohon subsidi.

Beliau gembira apabila dimaklumkan oleh pakar endokrinologinya pada Oktober bahawa subsidi itu akan diperluaskan kepada pesakit sepertinya.

Ketika ini, Cik Ng membelanjakan sekitar $230 untuk tiga sensor, yang boleh digunakan selama 30 hari. 

Beliau mendapat tahu kos tersebut boleh dikurangkan kepada sekitar $147 jika beliau layak menerima subsidi tambahan di bawah kriteria baru.

Ini dapat mengurangkan beban kewangannya, memandangkan beliau juga perlu menanggung perbelanjaan lain bagi menguruskan keadaannya, seperti bayaran konsultasi dan pen insulin.

Encik Danny Raven Tan pula bergantung kepada peranti CGM selepas mengalami beberapa kejadian hipoglisemia (kadar gula dalam darah terlalu rendah) yang menakutkan.

Artis bebas berusia 58 tahun itu menghidap barah pankreas tahap dua pada 2010 dan menjalani pembuangan sebahagian pankreasnya.

Namun, selepas barah itu berulang pada 2023, baki pankreasnya turut dibuang dan beliau menghidap diabetes pankreatogenik.

Dalam satu insiden pada 2023, beliau pengsan di pusat penjaja akibat paras gula dalam darahnya terlalu rendah.

Pada awal 2025, beliau mengalami hipoglisemia yang lebih menakutkan apabila menyuntik insulin dan kemudian tertidur tanpa makan tengah hari.

Paras gula darahnya menurun dan beliau kehilangan kesedaran. Pembantunya terpaksa menghubungi bantuan kecemasan.

Beliau hanya sedar semula selepas paramedik menyuntiknya dengan gula. Beliau dimaklumkan matanya terbuka sepanjang kejadian tersebut walaupun tidak sedarkan diri.

Sejak itu, Encik Tan bergantung sepenuhnya kepada peranti CGM untuk mencegah kejadian hipoglisemia berulang, walaupun beliau tidak menggunakan model CGM yang diluluskan untuk subsidi.

“Saya kini menggunakan simpanan lama untuk menampung kos perubatan bagi diabetes serta rawatan kemoterapi barah yang masih berjalan,” katanya.

“Oleh kerana subsidi kini tersedia untuk pesakit barah seperti saya, saya bercadang berbincang dengan pakar endokrinologi sama ada saya boleh beralih kepada peranti yang menerima subsidi.”

Dr Carmody dari SGH berkata peranti CGM merupakan alat yang sangat berkesan untuk membantu pesakit menguruskan diabetes, khususnya bagi mereka yang perlu memeriksa paras gula darah dengan kerap.

“Pengenalan subsidi CGM untuk pesakit diabetes Jenis 1 telah banyak membantu pesakit di Singapura, dan peluasan subsidi ini kepada pesakit diabetes lain merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan,” tambahnya.

“Pengenalan subsidi CGM untuk pesakit diabetes Jenis 1 telah banyak membantu pesakit di Singapura, dan peluasan subsidi ini kepada pesakit diabetes lain merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan.”
Dr David Carmody, Pakar Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi Hospital Besar Singapura (SGH).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg