Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bila kadar kegemukan kekal tinggi, ubat suntikan kian jadi pilihan

Ramai cari penyelesaian segera; pakar nasihat ambil pendekatan menyeluruh tangani berat badan
Nov 16, 2025 | 5:30 AM
ozempic, wegovy, selera makan, obesiti, kegemukan, bariatrik
Ubat ‘semaglutide’, seperti Ozempic dan Wegovy, meniru hormon ‘glucagon-like peptide-1’ (GLP-1) bagi melambatkan proses penghadaman dan mengurangkan selera makan. Pada asalnya, Ozempic dicipta untuk merawat penyakit kencing manis Jenis 2, namun kini turut digunakan bagi membantu menurunkan berat badan. Wegovy pula memang dicipta untuk merawat kegemukan. Seorang individu biasanya mengambil Ozempic atau Wegovy sekali seminggu melalui suntikan di perut, paha, atau lengan. Dos akan ditentukan oleh doktor berdasarkan keadaan kesihatan dan keperluan penurunan berat badan pesakit. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Lebih enam daripada 10 orang Melayu di Singapura kini mengalami obesiti, atau kegemukan, dengan lemak berlebihan di bahagian abdomen.

Keadaan ini berlaku apabila lilit pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi wanita.

Bagi wanita Melayu, angka itu meningkat kepada 70.4 peratus.

Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2024, masyarakat Melayu terus mencatat kadar kegemukan tertinggi berbanding kumpulan etnik lain di negara ini.

Selain itu, lebih dua perlima atau 43.6 peratus penduduk Singapura berusia 18 hingga 74 tahun mengalami kegemukan di bahagian abdomen.

Mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH), seorang individu di Singapura diklasifikasikan sebagai obes, atau gemuk yang keterlaluan, apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) mencapai 27.5 kilogram per meter persegi (kg/m²) atau lebih.

Ini berbeza dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan BMI 30 kg/m² atau lebih sebagai obes.

Perbezaan ini disebabkan kajian yang menunjukkan populasi Asia menghadapi risiko kesihatan lebih tinggi pada paras BMI lebih rendah berbanding piawaian antarabangsa.

Apa itu Ozempic dan Wegovy?

Perangkaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan, terutamanya apabila semakin ramai individu mencari penyelesaian segera untuk menurunkan berat badan, termasuk penggunaan ubat semaglutide seperti Ozempic dan Wegovy.

Ozempic dan Wegovy ialah ubat daripada kumpulan agonis glucagon-like peptide-1 (GLP-1) yang mengandungi bahan aktif semaglutide.

Ia meniru hormon GLP-1 semula jadi dalam badan bagi melambatkan proses penghadaman dan mengurangkan selera makan.

Pada asalnya, Ozempic, yang diluluskan pada 2021 untuk penggunaan di Singapura, dicipta untuk merawat penyakit kencing manis Jenis 2, namun kini turut digunakan bagi membantu menurunkan berat badan.

Wegovy pula, yang diluluskan pada 2023 untuk penggunaan di Singapura, memang dicipta untuk merawat kegemukan.

Seorang individu biasanya mengambil Ozempic atau Wegovy sekali seminggu melalui suntikan di perut, paha, atau lengan.

Dos akan ditentukan oleh doktor berdasarkan keadaan kesihatan dan keperluan penurunan berat badan pesakit.

Ozempic mengandungi dos semaglutide lebih rendah (sehingga 1 miligram), manakala Wegovy mengandungi dos semaglutide lebih tinggi (sehingga 2.4 miligram).

Ubat tersebut lazimnya datang dalam bentuk pen suntikan dan akan disuntik sendiri oleh pesakit.

Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi Hospital Besar Changi (CGH), Dr Loh Wann Jia, berkata Ozempic dan Wegovy boleh menyebabkan kesan sampingan seperti rasa loya, muntah, sembelit, cirit-birit, sakit kepala, pening, serta perubahan emosi.

Selain itu, beliau berkata hipoglisemia (kadar gula dalam darah terlalu rendah) juga boleh berlaku, terutamanya jika pesakit kencing manis mengambil ubat kencing manis lain pada masa sama.

Peningkatan lebih tinggi bagi Ozempic

Menurut Dr Loh, CGH menerima lebih banyak pertanyaan mengenai Ozempic dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Ini mungkin disebabkan oleh penggunaan tersebut sebagai ubat melangsingkan badan yang banyak dipromosikan di media sosial,” katanya.

Tambahnya, CGH telah menyaksikan peningkatan dalam preskripsi Ozempic sejak 2023.

Dalam tempoh enam bulan lalu, CGH telah mengeluarkan lebih 600 preskripsi Ozempic untuk pesakit yang memenuhi kriteria klinikal bagi pengurusan kencing manis Jenis 2 dan kegemukan.

Trend serupa turut diperhatikan di Hospital Besar Singapura (SGH) yang melaporkan kira-kira 2,000 pesakit telah diberi Ozempic sejak 2021.

Salah satu klinik perubatan umum (GP) di West Coast turut menyaksikan peningkatan permintaan serupa.

Doktor keluarga dan pengarah perubatan MyHealth Medical Centre, Dr Saiful Nizam Subari, memerhatikan sekitar 20 hingga 30 peratus peningkatan preskripsi ubat Ozempic dan Wegovy sejak 2024.

“Mereka lazimnya terdiri daripada golongan berusia sekitar 40 hingga 50 tahun, dengan jumlah wanita melebihi lelaki.

“Mereka juga biasanya individu yang sudah stabil dalam kerjaya dan mampu berbelanja,” jelasnya.

Menurut Dr Saiful, satu pena Ozempic atau Wegovy boleh menelan kos antara $400 dengan $800 sebulan, bergantung kepada dos yang ditetapkan.

Cik Haryani Othman, 47 tahun, pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, telah menggunakan Wegovy sejak Mei 2025 walaupun telah menjalani dua pembedahan bariatrik yang melibatkan pengecilan bahagian perut – sleeve gastrectomy pada 2015 dan Roux-en-Y Gastric Bypass pada 2023.

Berat badan Cik Haryani Othman, pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, turun sebanyak 10 kilogram sejak menggunakan Wegovy pada Mei 2025.
Berat badan Cik Haryani Othman, pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, turun sebanyak 10 kilogram sejak menggunakan Wegovy pada Mei 2025. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Menurut Cik Haryani, yang membelanjakan kira-kira $500 sebulan untuk Wegovy, beliau menggunakan Wegovy untuk mengekalkan penurunan berat badannya selepas pembedahan.

“Pucuk pangkal, saya salahkan diri sendiri... kerana susah nak berdisiplin dalam menguruskan berat badan.

“Kadang-kadang apabila saya syok makan, saya terfikir sendiri, ‘Saya dah dibedah dua kali, kini gunakan (Wegovy), takkan nak makan berlebihan lagi’,” kongsinya, yang telah kehilangan sebanyak 10 kilogram dalam tempoh enam bulan.

Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi Kampus Kesihatan Woodlands (WHC), Dr Tham Kwang Wei, berkata terdapat peningkatan dalam kes yang mana pesakit menggunakan semaglutide sebagai rawatan tambahan walaupun sudah menjalani pembedahan bariatrik.

“Dalam situasi ini, doktor akan berbincang secara mendalam dengan pesakit untuk menilai semua pilihan rawatan yang sesuai secara perubatan, termasuk pembedahan metabolik bariatrik dan campur tangan diet serta senaman intensif, bagi mencapai pengurusan kegemukan yang optimum,” katanya.

Kriteria ketat dan akses terkawal

Namun, pakar kesihatan di Singapura mengikut dengan ketat kelayakan pesakit sebelum diberi preskripsi ubat sedemikian.

Menurut jurucakap Penguasa Sains Kesihatan (HSA), ubat GLP-1 merupakan ubat yang hanya boleh diperoleh menerusi preskripsi.

“Pesakit yang memerlukan ubat ini harus mendapatkannya dari doktor atau farmasi melalui preskripsi.

“Membeli ubat ini secara dalam talian tanpa mendapatkan nasihat perubatan menimbulkan risiko kesihatan,” nasihat HSA.

Tambahnya, tiada pena ubat GLP-1 palsu dikesan oleh HSA melalui siasatan di pasaran tempatan sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi SGH, Dr Emily Ho, berkata Ozempic tidak diluluskan sebagai ubat penurunan berat badan di Singapura secara rasmi dan khusus.

“(Namun) dalam keadaan tertentu, doktor berlesen boleh menetapkan penggunaan ‘luar label’ (off-label) untuk pengurusan berat badan di bawah keadaan perubatan tertentu, bergantung kepada pertimbangan klinikal dan persetujuan pesakit,” jelasnya.

‘Luar label’ membawa maksud ubat yang digunakan bukan seperti arahan yang didaftarkan atau dilesenkan.

Menurut Perunding di Jabatan Endokrinologi WHC, Dr Koh Huilin, masih banyak yang belum diketahui tentang kesan jangka panjang penggunaan ubat tersebut.

Jurang pengetahuan ini, kata Dr Koh, disebabkan ujian keselamatan bagi pelancaran ubat baru lazimnya dijalankan dalam tempoh kurang daripada empat tahun.

“Ubat baru kini melalui ujian ketat untuk menilai kesan terhadap sistem kardiovaskular sebelum diluluskan.

“Namun, terdapat ubat lain yang terpaksa ditarik balik selepas beberapa tahun digunakan secara meluas, apabila kesan sampingan serius yang tidak dilaporkan dalam ujian awal mula dikesan,” jelas Dr Koh.

Pembedahan bariatrik dan pentingnya gaya hidup sihat

Sementara itu, Dr Ho menegaskan pengurusan berat badan berkesan bagi individu obes memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pengubahsuaian gaya hidup, rawatan farmakologi, dan dalam kes tertentu, pembedahan bariatrik.

“Perubahan gaya hidup kekal sebagai asas utama dalam pengurusan obesiti dan harus disesuaikan dengan keadaan kesihatan, keutamaan serta tahap kesediaan individu untuk berubah.

“Dari segi pemakanan, matlamat utama adalah untuk mencapai defisit kalori sambil mengekalkan diet seimbang. Rundingan dengan pakar diet juga disarankan untuk dapatkan pelan pemakanan yang sesuai,” ujarnya.

Untuk mereka yang mahukan hasil yang lebih kekal, pembedahan bariatrik masih dianggap sebagai kaedah paling berkesan dalam jangka panjang.

Bagi Cik Nurmadiha Ishak, 35 tahun, karyawan dalam bidang teknologi maklumat, yang pernah menjalani pembedahan bariatrik pada 2024, ia bukan sahaja satu usaha menurunkan berat badan, bahkan langkah untuk memperbaiki kesihatan dan memastikan dirinya kekal bertenaga menjaga ibunya yang uzur.

Cik Nurmadiha Ishak (kanan) berjaya kehilangan lebih 30 kilogram berat badan setelah menjalani pembedahan bariatrik.
Cik Nurmadiha Ishak (kanan) berjaya kehilangan lebih 30 kilogram berat badan setelah menjalani pembedahan bariatrik. - Foto BM oleh KHALID BABA

Cik Nurmadiha, yang berjaya menurunkan berat badannya daripada 108 kilogram kepada 74 kilogram, berkata:

“Saya faham betapa sukarnya untuk menjadi disiplin dan mengamalkan gaya hidup sihat setelah menjalani pembedahan bariatrik.

“Tetapi saya tekad dan cekalkan hati untuk terus berjuang, dan saya dapat lihat bahawa kesihatan saya bertambah baik secara menyeluruh.”

Menurut Dr Ho, purata penurunan berat badan bagi pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik adalah antara 25 dengan 35 peratus daripada berat asal dalam tempoh setahun.

Ini adalah lebih tinggi berbanding penurunan berat badan menggunakan semaglutide, yang dilaporkan mencapai purata 10 hingga 15 peratus penurunan berat badan selepas kira-kira 68 minggu.

“Biasanya, bagi pembedahan bariatrik, penurunan berat badan dapat bertahan dalam jangka panjang jika gaya hidup sihat dikekalkan.

“Manakala bagi rawatan ubat, penggunaan perlu diteruskan secara berterusan dan terdapat laporan kenaikan semula berat badan selepas pengambilan ubat dihentikan,” kongsi Dr Ho.

Walau apa pun, para doktor mengingatkan bahawa sama ada melalui suntikan, ubat, atau pembedahan, kejayaan sebenar hanya dicapai apabila pesakit komited terhadap perubahan gaya hidup.

Ini termasuk mengamalkan pemakanan sihat, melakukan kegiatan fizikal, dan menerima sokongan berterusan daripada pakar kesihatan.

Mereka lazimnya terdiri daripada golongan berusia sekitar 40 hingga 50 tahun, dengan jumlah wanita melebihi lelaki.  Mereka juga biasanya individu yang sudah stabil dalam kerjaya dan mampu berbelanja.
Dr Saiful Nizam Subari, Doktor keluarga dan pengarah perubatan MyHealth Medical Centre.

Dalam situasi ini, doktor akan berbincang secara mendalam dengan pesakit untuk menilai semua pilihan rawatan yang sesuai secara perubatan, termasuk pembedahan metabolik bariatrik dan campur tangan diet serta senaman intensif, bagi mencapai pengurusan kegemukan yang optimum.
Dr Tham Kwang Wei, Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi Kampus Kesihatan Woodlands (WHC).

Ubat baru kini melalui ujian ketat untuk menilai kesan terhadap sistem kardiovaskular sebelum diluluskan. Namun, terdapat ubat lain yang terpaksa ditarik balik selepas beberapa tahun digunakan secara meluas, apabila kesan sampingan serius yang tidak dilaporkan dalam ujian awal mula dikesan.
Dr Koh Huilin, Perunding di Jabatan Endokrinologi WHC.

Biasanya, bagi pembedahan bariatrik, penurunan berat badan dapat bertahan dalam jangka panjang jika gaya hidup sihat dikekalkan.Manakala bagi rawatan ubat, penggunaan perlu diteruskan secara berterusan dan terdapat laporan kenaikan semula berat badan selepas pengambilan ubat dihentikan.
Dr Emily Ho, Perunding Kanan di Jabatan Endokrinologi di Hospital Besar Singapura (SGH).

Pucuk pangkal, saya salahkan diri sendiri... kerana susah nak berdisiplin dalam menguruskan berat badan. Kadang-kadang apabila saya syok makan, saya terfikir sendiri, ‘Saya dah dibedah dua kali, kini gunakan (Wegovy), takkan nak makan berlebihan lagi’.”
Cik Haryani Othman, pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, yang pernah menjalani dua pembedahan bariatrik dan pengguna Wegovy.

Saya faham betapa sukarnya untuk menjadi disiplin dan mengamalkan gaya hidup sihat setelah menjalani pembedahan bariatrik. Tetapi saya tekad dan cekalkan hati untuk terus berjuang, dan saya dapat lihat bahawa kesihatan saya bertambah baik secara menyeluruh.
Cik Nurmadiha Ishak, karyawan dalam bidang teknologi maklumat, yang pernah menjalani pembedahan bariatrik pada 2024.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg