Seorang pesalah dadah didakwa menyerang dua pegawai polis pada Disember ketika dia berada di bawah perintah pelepasan awal bersyarat (CRO).
Mohd Taufik Hashim, 33 tahun, telah dijatuhi hukuman penjara dan sebatan pada Jun 2020 atas kesalahan pengambilan dadah.
Selepas dibebaskan pada Julai 2023, dia diletakkan di bawah perintah pelepasan awal dan dikehendaki menjaga kelakuannya dari 25 Julai 2023 hingga 2 Julai 2025.
Walaupun begitu, Taufik didakwa telah menyerang dua anggota polis dan meludah seorang lagi pada 16 Disember, laporan The Straits Times (ST).
Pada 18 Disember, dia didakwa atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang penjawat awam dan satu lagi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi penjawat awam.
Taufik juga dikenakan satu pertuduhan lain yang tidak berkaitan akibat gagal memberikan contoh air kencing kepada pihak berkuasa.
Sekiranya disabitkan dan dijatuhi hukuman atas tuduhan terkini itu, dia mungkin perlu menjalani hukuman tambahan 199 hari penjara kerana didakwa melanggar perintah pelepasan awal tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, Taufik telah disabitkan kesalahan atas pengambilan dadah, methamphetamine atau dikenali sebagai syabu, pada 11 Jun 2020 dan dijatuhi hukuman penjara selama lima setengah tahun serta tiga sebatan.
Pada 16 Disember, pegawai polis yang menjalani rondaan pencegahan jenayah di Clementi Avenue 3 sekitar 1 petang, telah menemui Taufik dan melakukan pemeriksaan ke atasnya.
“Semasa pemeriksaan, dadah terkawal, peralatan dadah, gunting penetas benang, dan telefon bimbit yang dikatakan bukan milik lelaki itu, ditemui bersamanya.”
“Dia (Taufik) enggan bekerjasama dan bertindak agresif. Semasa ditangkap, dia didakwa menumbuk dan menendang dua pegawai.
“Selepas penangkapan, dia juga didakwa meludah seorang lagi pegawai,” kata polis dalam satu kenyataan.
Kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 15 Januari.
Bagi setiap pertuduhan menyerang penjawat awam, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat, atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, pesalah boleh dihukum penjara hingga empat tahun dan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg