Laman web The Online Citizen (TOC) telah diperintah menyertakan notis pembetulan pada artikel yang diterbitkan pada 22 November yang mengandungi kenyataan palsu mengenai hukuman mati di Singapura.
Sebagai sebahagian daripada perintah di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), TOC juga diminta mengeluarkan notis pembetulan serupa untuk kiriman Facebook, Instagram dan X pada 22 November.
“Artikel TOC (yang turut dikongsi melalui kiriman media sosialnya) mendakwa bahawa pemerintah menyekat pandangan yang berbeza mengenai hukuman mati melalui perintah pembetulan Pofma.
“Dakwaan ini adalah palsu,” menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 16 Disember.
“Pemerintah hanya mengeluarkan perintah Pofma jika kenyataan palsu telah disebarkan, dan jika ia diperlukan bagi kepentingan awam.”
MHA turut menjelaskan perintah pembetulan Pofma tidak meminta individu untuk menerima pendirian pemerintah atau untuk memadamkan artikel atau kiriman asal.
Sebaliknya, ia hanya memerlukan pendirian pemerintah untuk disertakan dengan artikel atau kiriman asal, supaya pembaca dapat membaca artikel yang mengandungi kepalsuan itu di samping penjelasan rasmi pemerintah dan membuat kesimpulan sendiri.
“Pemerintah tidak menyekat perbezaan pendapat, perspektif alternatif atau perdebatan terbuka dan tidak memaksa individu yang berbeza pendapat untuk menerima pandangan tertentu, seperti yang didakwa TOC,” tambah kementerian itu.
Dalam artikelnya pada 22 November, TOC berkata Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam mengambil pendirian yang bercanggah mengenai dasar dadah di Singapura.
Dalam kenyataan pada 16 Disember, MHA berkata konteks penuh kenyataan Encik Shanmugam tidak disampaikan dalam artikel tersebut.
“Adalah tidak tepat (dan oleh itu tidak benar) untuk penulis mengabaikan fakta relevan dan memetik bahagian tertentu daripada kenyataan menteri, untuk mencapai kesimpulan bahawa menteri telah mengambil pendirian yang bercanggah mengenai dasar anti-dadah Singapura,” tambah MHA.
Artikel yang diterbitkan di laman pemerintah Factually – yang bertujuan menjelaskan fakta sebenar – menjelaskan dengan lebih lanjut mengapa dakwaan TOC itu tidak benar.
TOC dikehendaki menyertakan notis pembetulan di samping pos dan artikel yang diterbitkan dengan pautan penjelasan pemerintah mengenai perkara tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg