Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesalah terlepas hukuman rotan dek masalah kesihatan

Sep 17, 2024 | 2:34 PM
Mohamed Faizal Mohamed Ariff menagacukan pisau ke leher seorang wanita di Blok 108, Yishun Ring Road, pada Januari 2023.
Mohamed Faizal Mohamed Ariff menagacukan pisau ke leher seorang wanita di Blok 108, Yishun Ring Road, pada Januari 2023. - Foto fail

Seorang lelaki yang menahan seorang wanita dengan mengacukan pisau di lehernya di Yishun pada 2023 didapati tidak sesuai dikenakan hukuman rotan enam kali dek masalah kesihatan.

Mahkamah memutuskan pada 16 September bahawa tiada hukuman penjara tambahan dikenakan terhadap Mohamed Faizal Mohamed Ariff sebagai ganti hukuman rotan.

Butiran mengenai masalah kesihatannya tidak didedahkan.

Faizal, 43 tahun, dijatuhi hukuman lapan tahun satu bulan penjara berserta rotan pada Julai selepas dia mengaku bersalah bagi tuduhan mengambil dadah, menculik, dan mengganggu seorang pegawai polis.

Pada 2014, Faizal dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan dan rotan enam kali bagi kesalahan mengambil dadah morfin.

Selepas dibebaskan, dia menyalah guna dadah sekali lagi, kali ini dengan Ice pada Jun 2022.

Pada pagi 9 Januari 2023, Faizal, yang berada dalam pengaruh dadah, dilihat berjalan di Yishun dengan memegang pisau.

Pegawai polis tiba di tempat kejadian apabila mendapat aduan daripada seorang saksi.

Wanita itu, yang sedang menunggu anak saudaranya di bawah Blok 108, Yishun Ring Road, ternampak Faizal lalu bangun untuk pergi ke sebuah kedai kopi berhampiran.

Faizal terlihat beberapa pegawai polis dan menyedari mereka sedang mencarinya. Dia memutuskan menggunakan wanita berusia 60 tahun itu sebagai tebusan untuk cuba melarikan diri.

Dia menghampiri wanita itu dari belakang, meletakkan lengan kirinya di leher wanita tersebut sambil mengacukan pisau.

Pegawai polis cuba menenangkannya dan memintanya membebaskan wanita itu, namun dia enggan.

Akhirnya, polis dapat merampas pisau itu dan menahan Faizal. Wanita berkenaan mengalami luka di muka.

Bagi kesalahan menculik, pesalah boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, denda, rotan, atau sembarang gabungan hukuman tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg