Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesara tolak lelaki demensia 90 tahun hingga mati dipenjara

Feb 13, 2025 | 6:14 PM
Pada 13 Februari, Toh Teck Chye dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat bulan selepas mengaku bersalah atas serangan terhadap Encik Choo Chin Nam
Pada 13 Februari, Toh Teck Chye dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat bulan selepas mengaku bersalah atas serangan terhadap Encik Choo Chin Nam - Foto PIXABAY

Seorang pesara berusia 72 tahun bertengkar dengan seorang lelaki berusia 90 tahun yang menghidap demensia selepas lelaki berusia 90 tahun itu menjerit kepadanya tentang pinjaman $100.

Semasa pergaduhan pada 15 Oktober 2023, Toh Teck Chye menolak Encik Choo Chin Nam, yang jatuh dan terhantuk belakang kepalanya ke tanah.

Encik Choo meninggal dunia akibat kecederaan kepala di hospital pada petang itu.

Pada 13 Februari, Toh, kini berusia 73 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat bulan selepas mengaku bersalah atas serangan tersebut, lapor The Straits Times.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheah Wenjie berkata kededua lelaki tidak mengenali antara satu sama lain. Namun, Toh pernah melihat Encik Choo berhampiran blok kediamannya di Marsiling.

Selain demensia, lelaki yang lebih berusia itu mengalami masalah pergerakan dan menggunakan tongkat.

Sebelum 11.30 pagi pada 15 Oktober 2023, Toh meninggalkan rumahnya dan berjalan di hadapan Encik Choo, yang sedang duduk di kolong Blok 3, Marsiling Road.

Tiba-tiba, Encik Choo menjerit kepada Toh, mendakwa bahawa Toh berhutang dengannya sebanyak $100.

Toh membantah dakwaan itu dan mereka mula bergaduh. 

Encik Choo menghayunkan tongkatnya ke arah Toh, yang kemudian menarik tongkat itu daripadanya.

Kededua mereka bergelut untuk berebut tongkat tersebut sebelum Toh melepaskan pegangannya.

Toh menolak Encik Choo, menyebabkan lelaki itu terjatuh ke belakang dan terbaring tidak bergerak.

Toh tidak membantu Encik Choo dan terus pulang ke rumahnya. 

Sekitar 11.35 pagi, dia kembali ke tempat kejadian dan melihat beberapa orang sedang membantu Encik Choo.

Apabila paramedik tiba sekitar 11.45 pagi, mereka mendapati Encik Choo boleh membuka matanya dan duduk. 

Encik Choo, yang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat, disahkan meninggal dunia sekitar 8.30 malam pada hari yang sama. 

Penyiasat berjaya menjejak Toh selepas meneliti rakaman CCTV dari kamera di kawasan kejiranan. 

Pegawai polis memberkasnya di rumah sekitar 2 pagi pada 16 Oktober 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg