Seorang pemain bola sepak Tanjong Pagar United berusia 19 tahun telah ditangkap polis selepas beliau menumbuk seorang pemain bola sepak pasukan lawan.
Insiden tersebut berlaku selepas perlawanan bola sepak pasukan bawah 21 tahun (U21) melibatkan dua kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Tanjong Pagar United dan Albirex Niigata pada 10 Februari di Stadium Jurong East.
Dalam video yang kini disebar luas di dalam talian, seorang pemain Tanjong Pagar dilihat menumbuk seorang pemain Albirex yang rebah ke padang.
Pemain Albirex itu, Kenji Austin, 20 tahun, tidak sedarkan diri buat seketika selepas ditumbuk dan dikejarkan ke hospital.
Berita Harian (BH) diberitahu, ibu bapa salah seorang pemain bola sepak yang terlibat dalam perlawanan tersebut telah membuat laporan polis.
“Pada 10 Februari 2025 sekitar 9.40 malam, polis menerima panggilan mohon bantuan dari 21 Jurong East Street 31. Seorang lelaki berusia 20 tahun dihantar ke hospital dalam keadaan sedarkan diri.
“Seorang lelaki berusia 19 tahun kemudian ditahan kerana menyebabkan gangguan awam dan turut disiasat kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja. Siasatan polis sedang dijalankan,” ujar polis, menjawab pertanyaan BH.
Apabila dihubungi BH, jurucakap Albirex berkata pemain yang terlibat telah keluar dari hospital dan sedang berehat di rumah.
Tanjong Pagar United telah memohon maaf kepada Albirex Niigata berikutan insiden tersebut.
Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di media sosial pada 11 Februari, Tanjong Pagar turut merumuskan urutan namun ia enggan mengulas lebih lanjut sehingga siasatan polis selesai.
“Kelab bola sepak Tanjong Pagar United sedar akan insiden yang berlaku pada penghujung perlawanan U21 kami menentang Albirex Niigata pada 10 Feb 2025 di Stadium Jurong East
“Tindakan yang ditunjukkan oleh pemain kami tidak mencerminkan nilai dan standard kelab kami. Kami tidak membenarkan keganasan dan kelakuan melanggar semangat kesukanan.
“Pemain itu telah ditegur atas salah lakunya dan tindakan disiplin selanjutnya akan diambil terhadapnya.
“Kelab ingin memohon maaf kepada Albirex Niigata, pemain dan penyokong mereka atas insiden tersebut,” ujar Tanjong Pagar.
Menjawab pertanyaan BH, jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata ia telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan sedang menyiasat.
“Dalam pelbagai video yang disiarkan di media sosial, seorang pemain Tanjong Pagar dirakam melemparkan beberapa tumbukan ke arah pihak lawan.
“Seorang pemain dihantar ke hospital sejurus selepas kejadian itu dan dibenarkan keluar pagi tadi (11 Februari),” ujar jurucakap tersebut.
Beberapa komen di video yang tular di Facebook menyeru agar pemain yang menumbuk pemain Albirex itu diusir daripada SPL dan dilarang bermain bola sepak seumur hidup.
Sebahagian pula menyuarakan keprihatinan mengenai keselamatan pemain dalam bola sepak domestik dan menggesa supaya tindakan disiplin lebih keras diambil.
Ada juga yang inginkan kelab-kelab SPL menggalas tanggungjawab mendidik pemain supaya berkelakuan profesional.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg