Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kini menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) bagi pemantauan udara, yang hanya memerlukan dua anggota askar untuk memasangnya tanpa sebarang peralatan tambahan.
Pesawat itu berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter, serta dilengkapi dengan kipas gentian karbon yang mengurangkan bunyi dan lebih sukar dikesan.
Pada 26 November, sebuah pasukan daripada Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO) yang terlibat dalam reka bentuk, pembuatan dan penggunaan UAV V15 mini (V15 mUAV) telah meraih Hadiah Pasukan Teknologi Pertahanan (Penyelidikan dan Pembangunan).
Pasukan itu diketuai oleh Encik Ong Chengli, Pengarah Program Divisyen Robotik di DSO, organisasi penyelidikan dan pembangunan pertahanan negara Singapura.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, telah menyampaikan Hadiah Teknologi Pertahanan kepada dua individu dan empat pasukan pada satu majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Auditorium DSO.
Ditubuhkan pada 1989 oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), hadiah tahunan itu mengiktiraf individu dan pasukan atas inovasi teknologi yang memperkukuh keupayaan pertahanan Singapura.
V15 mUAV mendapat perhatian pada 2024 dengan reka bentuknya yang canggih, lapor The Straits Times (ST).
Berbeza dengan UAV versi lama yang memerlukan sistem pelancaran atau landasan, V15 boleh berlepas dan mendarat secara menegak, memudahkan ia untuk beroperasi di ruangan terhad, jelas Encik Ong.
Ia menggunakan kuasa bateri, boleh dikecilkan menjadi kotak yang menjimatkan ruang dan dipasang dalam masa 10 minit oleh dua anggota askar tanpa memerlukan sebarang peralatan.
Antara ciri khasnya termasuk kipas gentian karbon untuk penerbangan yang lebih perlahan dan cekap, serta ujian aerodinamik untuk mengelak gangguan antara rotor dengan kipas.
Kemajuan itu menjadikan V15 serba boleh dan sukar dikesan dalam operasi pertahanan.
“Kami telah membangunkan sistem yang boleh dipercayai dan mudah untuk dikendalikan serta boleh dikerahkan di mana-mana untuk pemantauan udara,” kata Encik Ong, yang menyertai DSO sejak 2007 dan pasukan pembangunan V15 sejak 2017.
Encik Ong Khoon Kiat, Pengarah Pembangunan Teknologi dan Kerjasama di Pusat Program Maklumat Agensi Teknologi dan Sains Pertahanan (DSTA), merupakan pemenang Hadiah Teknologi Pertahanan.
Beliau memenangi hadiah kejuruteraan individu atas sumbangannya dalam membangunkan sistem yang membantu Mindef dan SAF menangani ancaman dalam talian.
Menurut Encik Ong, pasukannya menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi sains data untuk menganalisis kandungan dalam talian yang berbahaya.
Mereka juga bekerjasama dengan syarikat dan institusi penyelidikan untuk memperkenalkan teknologi baru yang dapat mengukuhkan keupayaan negara dalam menangkis ancaman terkini.
Berucap di majlis penyampaian hadiah tersebut, Dr Ng berkata kemajuan teknologi yang pesat menimbulkan tanda tanya pada tentera serata dunia, sama ada mereka sudah bersedia untuk peperangan masa depan – yang akan dibentuk dengan teknologi seperti ini.
“Untuk mendahului atau sekurang-kurangnya mengikuti (peredaran teknologi pertahanan), tentera perlu membina alat inovatif yang baru,” kata Dr Ng.
Beliau turut mencadangkan pembentukan pasukan hibrid seperti syarikat pemula atau start-up dengan autonomi yang lebih besar di Mindef dan SAF bagi membolehkan penyepaduan yang lebih rapat antara operasi dengan teknologi.
Dr Ng menambah bahawa Mindef dan SAF perlu terus mengikuti peredaran teknologi dalam ancaman pertahanan, seperti yang telah dilakukan sepanjang enam dekad lalu.
“Kami mencapai ini (sistem pertahanan yang kukuh) melalui ketekunan, usaha dan daya cipta kami agar Singapura dapat memiliki pertahanan yang terbaik terhadap ancaman masa kini dan cabaran yang akan datang,” tambah Dr Ng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg