Para Menteri Pertahanan Asean telah menerima Deklarasi Bersama Vientiane Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) untuk Asean – Bersama untuk Keamanan, Keselamatan dan Ketahanan – di Vientiane, Laos pada 20 November.
Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen itu meluluskan agenda lain termasuk Kertas Strategi mengenai Masa Hadapan ADMM dan ADMM-Plus yang ditaja bersama oleh Brunei dan Singapura.
Ini bagi menyokong usaha Pelan Strategik Masyarakat Keselamatan Politik Asean di bawah Wawasan Masyarakat Asean 2045, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 20 November.
Kertas Strategi yang diluluskan itu menangani isu utama seperti trajektori jangka panjang ADMM-Plus, menyegarkan Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus (EWGs) dan peningkatan Program Pemerhatian ADMM-Plus EWGs supaya ADMM dan ADMM-Plus kekal relevan dan terus memandang ke hadapan.
Dr Ng turut mengingatkan bahawa “tingkah laku Myanmar berisiko menjejas Pusat Asean yang telah kita bina dengan susah payah sejak dua dekad yang lalu (kerjasama pertahanan)” dan bahawa “ADMM akan hilang kredibiliti”.
Beliau berkata demikian mengenai isu yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut yang menemui jalan buntu akibat bantahan tunggal Myanmar.
Dr Ng menyatakan bahawa tingkah laku Myanmar tidak selaras dengan Kajian dan Keputusan Pemimpin Asean mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang dikeluarkan pada Oktober 2024 yang menggesa krisis di Myanmar tidak menjejas hasil keputusan Asean.
Beliau menggesa Myanmar agar “tidak menggunakan Asean untuk politik balas dendamnya sendiri (dan) tidak meletakkan ADMM dalam kedudukan yang sukar untuk tujuannya sendiri”.
ADMM bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai isu-isu sukar pada tahun akan datang, tambah Mindef.
Dr Ng menggesa para Menteri agar “bersatu dalam bekerjasama demi kepentingan ADMM untuk mengekalkan pusatnya”.
“Ini merupakan ADMM yang ke-18, jadi kami telah mengorak langkah jauh.
“Kami dapat menerima kenyataan bersama yang tidak melindungi cabaran keselamatan yang dihadapi oleh Asean, termasuk isu berkenaan Laut China Selatan, keadaan di Myanmar, ancaman baru muncul seperti perubahan iklim dan sebagainya,” tambah Dr Ng.
Beliau akan menghadiri ADMM-Plus ke-11 pada 21 November yang akan disertai oleh Menteri Pertahanan dan wakil mereka dari lapan negara ‘Plus’ iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea, Russia dan Amerika Syarikat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg