Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peserta berhijab finalis pertandingan Mrs Singapore World, tampilkan busana sopan

Aug 15, 2025 | 8:38 PM
Cik Nur Hidayah Eser (tiga dari kanan) adalah satu-satunya peserta berhijab yang bertanding di peringkat akhir dalam pertandingan Mrs Singapore World.
Cik Nur Hidayah Eser (tiga dari kanan) adalah satu-satunya peserta berhijab yang bertanding di peringkat akhir dalam pertandingan Mrs Singapore World. - Foto oleh ERM SINGAPORE MARKETING PTE LTD

Pada usia 39 tahun, pendidik dan aktivis, Cik Nur Hidayah Eser, melakar sejarah sebagai peserta finalis berhijab pertama dalam pertandingan ratu cantik Mrs Singapore World 2025.

Bergelar isteri dan ibu kepada dua anak berusia enam dan sembilan tahun, Cik Nur telah berkhidmat sebagai pendidik selama 15 tahun, di samping aktif dalam kerja sukarela bersama belia berisiko, keluarga berpendapatan rendah, dan pesakit demensia.

Antaranya berkhidmat secara sukarela dengan Rumah Persatuan Kebajikan Wanita Asia (Awwa) membantu warga senja, selain di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi membantu pesakit demensia.

“Saya amat bersemangat dalam mencipta kesedaran tentang kesihatan mental, dan sepanjang kerjaya, saya membangunkan program serta sumber untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata finalis ini yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Komunikasi dan Multimedia dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Cik Nur merupakan seorang daripada 10 peserta yang berjaya melangkah ke final pertandingan ini yang bakal berlangsung pada 20 September di Orchid Country Club. Ia dianjurkan ERM Singapore Marketing Pte Ltd.

Bagi Cik Nur, pertandingan Mrs Singapore World ini bukan sekadar menilai kecantikan tetapi ia memberi wanita peluang menyuarakan pendapat, memperjuangkan dan pertingkatkan kesedaran isu-isu penting.

Penyertaannya juga membawa makna simbolik – kali pertama wanita bertudung dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik itu di Singapura.

“Sebagai wanita Muslim, saya berasa bangga dapat mewakili budaya dan kepercayaan saya sambil menunjukkan bahawa busana sopan mempunyai tempatnya di dunia peragaan,” katanya yang turut yakin penyertaan ini boleh dijadikan inspirasi kepada wanita lain untuk mencapai cita-cita mereka.

Presiden dari syarikat penganjur ERM Singapore Marketing Pte Ltd, Cik Angela Tay berkata ini bukan kali pertama peserta berhijab sertai pertandingan ini, tetapi sebelum ini peserta berhijab tidak dapat maju seterusnya disebabkan kategori memperagakan pakaian baju renang.

Walaupun pernah seketika pertandingan di Singapura tidak mengadakan kategori itu, juara pertandingan yang seterusnya dihantar untuk pertandingan Mrs World antarabangsa perlu memperagakan pakaian renang.

“Dunia telah berubah, begitu juga pertandingan ratu cantik, kami percaya untuk menjadi inklusif dan menghormati pelbagai budaya dan kepercayaan

“Dengan membenarkan pilihan fesyen yang sederhana, seperti burkini Muslimah, kami memastikan setiap wanita boleh mengambil bahagian dengan yakin sambil mengekalkan nilainya. Penyertaan Cik Nur ialah cerminan komitmen dan kenyataan itu,” kata Cik Tay.

Cik Tay juga menambah bahawa 36 peserta telah mendaftar, namun hanya 22 peserta ke pusingan uji bakat, dan hanya 10 termasuk Cik Nur terpilih sebagai finalis yang akan bertanding pada pusingan akhir.

“Setiap tahun, pemilihan dilakukan melalui temu bual tertutup, di mana panel menilai peserta berdasarkan keyakinan, kemahiran komunikasi, personaliti, dan potensi mereka untuk menjadi Mrs Singapore World,” kata Cik Tay.

Menurut Cik Nur, menggalas gelaran ini bak satu penghormatan dan tanggungjawab besar serta pilihan peribadi yang mencerminkan iman, nilai, dan identitinya.

Beliau juga memuji pihak penganjur yang memberi sokongan dengan menyediakan ruang beribadah dan menghormati waktu solat sewaktu pertandingan berjalan.

“Mereka memberi alternatif pakaian renang yang menutupi aurat, membuktikan bahawa dengan dialog terbuka dan saling menghormati, keterangkuman sentiasa boleh dicapai.”

Cik Nur juga akui suaminya, seorang usahawan, Encik Syafiq Yusoff, 38 tahun, ialah tulang belakang setianya, memberi sokongan yang tidak ternilai sepanjang perjalanan ini.

“Beliau memastikan pakaian saya kekal patuh syariah, menjaga pemakanan, bersenam bersama, dan terlibat dalam segmen masakan untuk pertandingan,” katanya sambil tersenyum.

Suaminya juga aktif menyokong The Red Pencil, sebuah badan kebajikan terkemuka yang menawarkan terapi seni bagi menyokong kesihatan mental.

“Walaupun sibuk, beliau sentiasa ada untuk saya. Tanpa beliau, saya rasa saya tidak akan sampai sejauh ini.”

Persiapan Cik Nur merangkumi kelas bertutur di khalayak ramai, latihan advokasi, dan menyesuaikan diri di atas pentas.

“Pertandingan ini bukan hanya tentang penampilan. Ia tentang menghubungkan diri dengan orang lain, memberi inspirasi, dan mewakili dengan penuh makna,” katanya yang akan bertanding pada September akan datang.

Bagi Cik Nur, kecantikan sejati tidak diukur dari rupa paras semata-mata tetapi ia juga dinilai pada kebaikan, ketabahan, dan keberanian mempertahankan prinsip.

Harapan beliau jika dinobatkan sebagai pemenang, ialah untuk memperkukuh advokasi kesihatan mental, terutama bagi belia dan kanak-kanak.

Selain itu, Cik Nur juga menggesa wanita Muslimah untuk meneroka pelbagai bidang dengan tidak menggunakan ‘tudung’ sebagai halangan.

“Kesopanan bukan had, tetapi ekspresi iman, identiti, dan maruah. Kita layak berada di setiap ruang yang kita jejaki, dengan penuh keyakinan dan tujuan.”

Bekas model dan isteri kepada pemain bola sepak Singapura, Cik Wendy Jacobs pernah menjuarai pertandingan Mrs Singapore World pada 2003.

Baru-baru ini, seorang pelajar undang-undang dari Michigan, Amerika Syarikat (USA) Cik Ameera Hashwi, 25 tahun dinobatkan sebagai Miss Wayne County 2025, menjadikannya wanita pertama yang memenangi gelaran itu dengan berhijab.

Hampir sedekad lalu, seorang pelajar Cik Halima Aden asal Somalia membuka laluan ini dengan menjadi peserta pertama berhijab yang terlibat dalam pertandingan Miss Minnesota USA, pada 2016.

Pada 2024, buat pertama kali dalam sejarah 70 tahunnya, pertandingan ratu cantik Miss Universe Singapura (MUS) dengan rasminya membuka pintu kepada warga Singapura yang sudah berkahwin, bercerai dan mempunyai anak, dan dengan tiada had umur.

Sebelum ini, MUS hanya terbuka untuk mereka yang belum mendirikan rumah tangga, dah berumur dari 18 tahun hingga 28 tahun saja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg