Pada usia 49 tahun, ketika ramai wanita seusianya lebih selesa melangkah ke zon selesa, Cik Wati Abdullah Chew, memilih untuk menongkah arus.
Sebagai ibu tunggal tiga anak lelaki dewasa dan juga seorang pengurus keselamatan kebakaran, Cik Wati membuktikan usia bukan penghalang untuk terus mengejar impian apabila beliau dinobatkan sebagai penyandang tempat ketiga di pentas antarabangsa, Mrs Global Universe 2025, yang dianjurkan oleh Lumiere International di Forest City, Johor Bahru.
Pertandingan itu bertujuan memperkasa wanita yang sudah atau pernah berkahwin dan meraikan pencapaian mereka sebagai wanita bijak, berihsan dan bersemangat membawa kesan positif dalam hidup orang lain.
Ia wadah bagi wanita menemukan suara mereka, mendakap identiti individu di samping menjadi duta kesejahteraan minda dan pemerkasaan di peringkat sejagat.
Menurut Facebook Mrs Global Universe, juara pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 6 Julai 2025 itu, disandang peserta Asia Timur, Cik Miriam Narvaez Mendoza (mewakili Mexico), manakala tempat kedua pula merupakan peserta China, Cik Zheng Xiaoqian.
Kehidupan Cik Wati tidaklah mudah. Selepas berpisah dengan suami, beliau membesarkan ketiga-tiga anaknya bersendirian.
“Saya jadi ibu dan bapa dalam masa yang sama. Saya kerja siang malam, pernah pegang dua pekerjaan demi memastikan anak-anak saya tidak kekurangan,” kata wanita kacukan Cina-Melayu ini penuh emosi.
Tempat mengadunya di kala susah dan senang, menurut beliau, hanyalah kakaknya, Cik Yenti Chew, yang sentiasa berada di sampingnya bagi memastikan kesejahteraannya terjaga.
Namun begitu, beliau tidak membiarkan keadaan membataskan dirinya.
Dalam diam-diam, beliau melengkapkan diri dengan pelbagai kursus – daripada diploma dalam pengajian perniagaan hingga ke sijil pengurusan keselamatan kebakaran di Politeknik Nanyang (NYP).
Semua itu dilakukannya ketika anak-anak masih bersekolah.
Minat beliau terhadap motosikal juga muncul setelah anak-anaknya meningkat remaja.
Bermula dengan lesen kelas 2B, Cik Wati akhirnya berjaya menunggang motosikal berkuasa besar, termasuk Harley-Davidson.
“Saya sertai kelab motosikal bukan sekadar untuk suka-suka. Kami anjurkan pelbagai aktiviti kebajikan, terutama semasa Ramadan.
“Kami hantar makanan dari rumah ke rumah untuk mereka yang memerlukan,” jelasnya, bangga.
Menunggang motosikal bagi Cik Wati, juga adalah sebagai menenangkan fikiran dan menjalani kehidupan sosial dengan lebih bermakna dengan bertemu rakan-rakan yang sama-sama suka menjalankan kerja amal seperti mengumpul dana dan menghantar keperluan harian kepada golongan susah.
Namun itu hanya dilakukan pada hujung minggu dan beliau memastikan ia tidak mengganggu masanya bersama anak-anak.
Perjalanan Cik Wati ke dunia ratu cantik bermula secara tidak sengaja.
“Saya nampak iklan di Instagram dan macam gatal tangan tekan pautan WhatsApp,” ujarnya sambil ketawa.
Tidak lama kemudian, beliau dihubungi oleh pengasas pertubuhan Lumiere yang melihat potensi dalam dirinya.
“Mula-mula saya ragu-ragu. Tapi bila dah mula latihan ‘catwalk’, bercakap di khalayak ramai, semuanya terasa seronok,” jelasnya.
Beliau tidak hanya mewakili Singapura, malah menjadi suara kepada wanita seusianya yang sering berasa mereka “sudah terlambat” untuk bermimpi.
“Ramai yang tak yakin. Ada yang kata wanita Melayu tak patut masuk pertandingan begini kerana pelbagai sebab.
“Tapi saya mahu buktikan bahawa seorang ibu tunggal, atau wanita berusia juga berhak mengejar apa yang mereka minati,” tambahnya.
Anak-anak beliau, ketiga-tiganya lelaki yang kini berusia 29, 26, dan 24 tahun, adalah pendorong terbesar.
“Sekarang mereka sudah dewasa, maka saya ada masa untuk diri sendiri.
“Tapi saya tetap utamakan masa bermutu dengan mereka. Kami suka main permainan komputer bersama, lawan zombi pun sama-sama!” katanya dengan senyuman.
Kini, selepas kejayaan di ‘Mrs Global Universe’, Cik Wati tidak bercadang untuk bertanding lagi, tetapi akan terus terlibat sebagai juri dan mentor untuk pertandingan akan datang.
Beliau juga berharap dapat dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada wanita lain, terutama ibu tunggal.
“Saya tahu bagaimana rasanya tiada tempat mengadu. Kalau saya dapat jadi tempat sandaran atau inspirasi buat wanita lain, itu sudah cukup bagi saya,” ujarnya lagi.
Cik Wati berharap pengalaman yang dilalui menggambarkan pentingnya ketabahan, semangat tidak mengenal putus asa, dan keberanian untuk bermimpi semula walaupun selepas diuji dalam kehidupan.
Buat wanita lain di luar sana, Cik Wati membawa satu mesej jelas:
“Anda tidak pernah terlalu tua untuk bermula semula. Impian itu milik semua, asalkan kita berani melangkah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg