Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FairPrice kekalkan harga makanan laut, sayur sempena Tahun Baru Cina

Jan 9, 2025 | 6:37 PM
Barangan yang harganya akan dibekukan semasa tempoh Tahun Baru Cina termasuk makanan laut seperti ikan bawal Cina, udang kelabu dan ikan merah.
Barangan yang harganya akan dibekukan semasa tempoh Tahun Baru Cina termasuk makanan laut seperti ikan bawal Cina, udang kelabu dan ikan merah. - Foto ST

Harga 15 makanan laut dan sayur-sayuran popular yang dijual di pasar raya FairPrice di seluruh negara akan dibekukan, mulai 9 Januari hingga Tahun Baru Cina.

Ini bagi memastikan barangan sedemikian mampu dibeli semasa tempoh perayaan, kata FairPrice Group (FPG) pada 9 Januari, lapor The Straits Times.

Langkah itu turut diambil pada tahun-tahun sebelumnya.

Barangan yang akan dikekalkan harganya termasuk makanan laut seperti bawal Cina, udang kelabu dan ikan merah, manakala sayur-sayuran termasuk cendawan hitam dan enoki, serta kubis Cina.

Kumpulan itu menyatakan harga produk segar yang popular di pasar basah lazimnya meningkat pada musim perayaan Tahun Baru Cina.

Tinjauan yang dijalankan dari 2 hingga 7 Januari mendapati harga barangan seperti ikan bawal Cina dan kerapu merah meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus di empat pasar basah – di Kompleks Chinatown, Bedok, Tiong Bahru dan Ghim Moh – berbanding harga di FairPrice.

Sebagai contoh, ikan bawal Cina seberat sekitar 600 hingga 800 gram berharga purata $57 setiap kilogram di pasar basah, berbanding $39.80 di FairPrice.

Pada kemuncak kenaikan harga di pasar basah pada 2024, harga makanan laut mewah meningkat hampir seganda.

“Permintaan tinggi pada musim perayaan menyebabkan harga meningkat, jadi pembekuan harga ini adalah cara kami menjadikan setiap hari pada musim ini lebih baik sedikit untuk pelanggan kami dengan memastikan barangan keperluan perayaan popular ini terjangkau,” kata ketua pegawai eksekutif FPG, Encik Vipul Chawla.

Promosi pada 2025 ini akan berlangsung sehingga 12 Februari, hari terakhir Tahun Baru Cina.

Pengarah produk segar dan sejuk beku di FPG, Encik Andy Chang, berkata FPG mengekalkan aliran bekalan sepanjang tempoh perayaan melalui komitmen yang dipersetujui terlebih dahulu dengan pembekal, agar bekalan tidak kekurangan.

Menurutnya, FPG “akan terus memantau permintaan pelanggan” dan mengekalkan senarai barangan yang relevan mengikut keperluan mereka.

Pembekuan harga dilaksanakan selepas FPG mengumumkan pada Disember 2024 bahawa pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru dan oren akan menikmati diskaun 6 peratus di semua pasar raya FairPrice dan cawangan Unity pada Khamis dan Jumaat dari 1 Januari hingga 1 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg