Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) yang diadakan buat kali kelapan tahun ini (2026) memainkan peranan sebagai titik pertemuan antara pembaca, pengkarya dengan penerbit.

Hal tersebut lebih-lebih lagi dengan pengenalan Pas Budaya SG serta sokongan Wisma Geylang Serai (WGS) bagi PBMS sebagai pendukung ekosistem sastera Melayu Singapura, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, yang hadir di acara pelancaran PBMS di WGS pada 4 September selaku tetamu kehormat.

Dalam ucapannya di acara pelancaran tersebut, beliau berkata:

“Pesta Buku Melayu Singapura memainkan peranan sebagai titik pertemuan pembaca, pengkarya dan penerbit.

“PBMS juga memberi ruang buat pengkarya mengasah kemahiran dan mencuba bidang baharu, seperti pengolahan novel, menulis untuk skrin dan asas mengajukan idea atau pitching, dan mencipta lagu.

“Di pesta buku, kita dapat lihat buku oleh penulis mapan tanah air di samping penulis golongan pelapis.

“Saya menggalakkan pengunjung menerokai kepelbagaian buku serta kegiatan yang disediakan di pesta buku ini.

“Saya menggesa ibu bapa sekeluarga, belia dan orang dewasa bersama-sama meraikan sastera Melayu Singapura.

Dianjurkan oleh Persatuan Kemuning, PBMS 2026 akan berlangsung dari 3 hingga 6 September 2026 di sekitar WGS.

Pada hari pelancaran PBMS 2026, terdapat beberapa program lain yang dianjurkan seperti bengkel menganyam mengkuang dan peraduan mendendangkan syair.

Selain itu, terdapat sebanyak 14 reruai yang menjual buku daripada pelbagai penerbit termasuk beberapa buku yang boleh dibeli dengan menggunakan Pas Budaya SG.

Menurut jurucakap sekretariat penganjuran PBMS, Cik Nur-El-Hudaa Jaffar, keistimewaan PBMS 2026 terletak pada tiga reruai yang dikendalikan beberapa badan dari luar negara.

Ia termasuk Literasia Creativa dari Indonesia, Jejak Tarbiah dari Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari Brunei Darussalam.

Bagi reruai tempatan, ia merangkumi kedai buku seperti Nurul Anwar Bookstore dan Persatuan Kemuning serta penerbit tempatan seperti Unggun Creative, Ungun Pen dan Caliph Readers.

Dengan wujudnya usaha PBMS 2026, ia menjadi satu wadah buat penerbit tempatan untuk mempamerkan karya tempatan yang telah dihasilkan.

Mengulas tentang hal ini, Cik Nur-El-Hudaa Jaffar berkata:

“PBMS 2026 ini merupakan satu pendedahan kepada kepelbagaian syarikat penerbitan dan jenis buku-buku yang diterbitkan di Singapura.

“Malah, ia menjadi ruang baik untuk mendekatkan sastera Melayu Singapura dengan khalayak ramai tatkala penerbit dan penulis dapat mengetahui peluang menjangkau audiens baharu untuk karya mereka.”