Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta kapal pesiar curi tumpuan semasa musim GP S’pura

Oct 3, 2025 | 4:17 PM
Syarikat penyewaan kapal pesiar di Singapura yang diwawancara The Straits Times (ST) melaporkan peningkatan tempahan antara 20 hingga 50 peratus semasa musim Grand Prix Singapura Formula Satu (F1).
Syarikat penyewaan kapal pesiar di Singapura yang diwawancara The Straits Times (ST) melaporkan peningkatan tempahan antara 20 hingga 50 peratus semasa musim Grand Prix Singapura Formula Satu (F1). - Foto ZENITH YACHT CHARTERS

Sementara kawasan sekitar litar lumba dipenuhi peminat Formula Satu (F1) dan kereta lumba, kawasan pelabuhan pula menjadi penghubung bagi pengunjung pesta hujung minggu F1 yang ingin merasai kelajuan di atas laut.

Syarikat penyewaan kapal pesiar, atau yacht, di Singapura yang diwawancara The Straits Times (ST) melaporkan peningkatan tempahan antara 20 dengan 50 peratus semasa musim Grand Prix F1 Singapura.

Di The Yacht Club, terdapat “peningkatan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam jumlah tempahan berbanding bulan biasa”, kata pengurus penyewaan kapal pesiar syarikat itu, Encik Jeremy Tay.

Syarikat itu mampu menampung keseluruhan 1,000 pelanggan di atas 45 kapal pesiar berbeza, yang berlabuh di ONE°15 Marina di Sentosa Cove atau Keppel Bay, lapor ST.

Ramai pelanggan menempah kapal pesiar sebelum atau selepas perlumbaan yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober, dan banyak pesta korporat dan peribadi diadakan di atas kapal tersebut, kata Encik Tay.

Menurut pemilik Infinity Sails, Encik Tan Jian Yong, meskipun syarikatnya tidak merekodkan sebab tertentu bagi tempahan pelanggan, mereka telah melihat “peningkatan ketara dalam jumlah pertanyaan dan tempahan sah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekitar 20 peratus”.

Infinity Sails mempunyai dua kapal pesiar – satu kapal boleh memuatkan sehingga 18 pelanggan, manakala satu lagi boleh memuatkan sehingga 32 pelanggan – dan kedua-duanya telah ditempah untuk belayar antara tiga dengan empat kali sehari sepanjang hujung minggu F1.

Dengan penyewaan kapal pesiar kini menjadi pilihan percutian harian atau hujung minggu bagi golongan kaya di Singapura, syarikat-syarikat sedang merancang pengalaman lebih eksklusif untuk disesuaikan dengan kemeriahan F1.

Pengurus Besar ONE°15 Charters Luxury Yachting, Encik Nick McLaughlin, berkata terdapat peningkatan dalam pertanyaan tempahan tempat berlabuh daripada kapal pesiar luar yang ingin turut serta dalam acara tersebut.

“Kebanyakannya belayar dari hab kapal pesiar serantau seperti Thailand dan Indonesia,” kata Encik McLaughlin.

Beliau menambah, penyewaan kapal pesiar juga meningkat – dengan ONE°15 Charters mencatat peningkatan 40 peratus dalam pertanyaan dan kenaikan 20 peratus dalam tempahan.

Syarikat itu mempunyai lebih 50 kapal pesiar, daripada katamaran 60 kaki hingga ke kapal pesiar mewah (superyachts) melebihi 80 kaki.

“Kapal pesiar mewah khususnya semakin mendapat sambutan semasa F1, menawarkan pengalaman premium kelas atasan yang dicari ramai penyewa,” kata Encik McLaughlin.

Berkenaan pengalaman premium, beberapa syarikat penyewaan kapal pesiar mewah telah tampil menawarkan pelayaran di perairan Marina Bay sepanjang musim F1.

Kawasan Marina Bay biasanya dilarang untuk kapal pesiar kerana sekatan undang-undang, menjadikan sebarang pelayaran di kawasan itu sesuatu yang sangat terhad dan eksklusif.

Pengendali kapal pesiar turut menyatakan bahawa pemandangan perlumbaan dari atas kapal adalah terhad, kerana paras air Singapura lebih rendah daripada litar lumba. 

Namun, pertunjukan bunga api, kemeriahan, serta peluang eksklusif berlayar di Marina Bay ketika musim F1 menjadikannya pengalaman yang menarik bagi para pelanggan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg