Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Ibu bapa harus proaktif pupuk tabiat baca pada anak

Tekankan masa hadapan bahasa, budaya Melayu tidak harus dipertanggungjawabkan kepada guru Bahasa Melayu saja
Aug 16, 2024 | 8:02 PM
Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kanan) beramah-tamah bersama  Pengerusi Crimson Earth, Encik Vijayanand Thamotharan (kiri) di reruai syarikat itu di Pesta Buku Melayu Singapura 2024 pada 16 Ogos. Bersama beliau ialah (dari kanan) Pengarah Urusan Pustaka Nasional, Encik Syed Ali Ahmad Semait; Pengerusi Pesta Buku Melayu Singapura, Cik Isiah Majid; Pengerusi Persatuan Kemuning, Encik Abdullah Shafi’e Sidek; Naib Pengerusi Persatuan Kemuning, Encik 
Mohd Shah Hashim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Muslim India Bersatu (Uima), Encik Haja Maideen.
Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kanan) beramah-tamah bersama Pengerusi Crimson Earth, Encik Vijayanand Thamotharan (kiri) di reruai syarikat itu di Pesta Buku Melayu Singapura 2024 pada 16 Ogos. Bersama beliau ialah (dari kanan) Pengarah Urusan Pustaka Nasional, Encik Syed Ali Ahmad Semait; Pengerusi Pesta Buku Melayu Singapura, Cik Isiah Majid; Pengerusi Persatuan Kemuning, Encik Abdullah Shafi’e Sidek; Naib Pengerusi Persatuan Kemuning, Encik Mohd Shah Hashim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Muslim India Bersatu (Uima), Encik Haja Maideen. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ibu bapa tidak semestinya bergantung pada guru untuk mengajar bahasa Melayu kepada anak mereka. Sebaliknya, mereka boleh memainkan peranan lebih proaktif dalam pembelajaran anak mereka, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Salah satu cara ibu bapa boleh melakukannya ialah dengan mewujudkan persekitaran kondusif di rumah yang memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anak kecil, ujar beliau.

“Pemupukan rasa cinta akan bahasa dan budaya dalam diri anak-anak adalah tanggungjawab semua – ibu bapa, sekolah dan masyarakat,” kata Dr Maliki.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Pesta Buku Melayu 2024, yang memasuki edisi keenam, di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai, pada 16 Ogos.

Pesta buku selama tiga hari itu dianjurkan oleh Persatuan Kemuning dan bertujuan memelihara bahasa dan budaya Melayu melalui tanggungjawab kolektif.

Dalam ucapannya Dr Maliki menekankan “ibu bapa memainkan peranan sebagai mangkin” dan mereka merupakan golongan pertama yang dapat memulakan amalan berbahasa Melayu dan membaca.

“Masa hadapan bahasa dan budaya Melayu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan hanya kepada guru Bahasa Melayu kita sahaja,” ujar beliau.

Dengan menyediakan ruang kondusif untuk anak-anak, ibu bapa dapat “menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu di rumah”, justeru “membantu guru untuk terus menyediakan ruang di sekolah dalam menggalak penggunaan bahasa Melayu”.

Sementara itu, untuk menggalak lebih ramai kanak-kanak mempunyai amalan membaca, Creative Technologies telah melancarkan aplikasi e-membaca dalam bahasa Melayu, ‘Wawa Yaya Joy Reader’.

Creative Technologies, yang mempunyai buku cerita dalam bahasa Mandarin dan Inggeris, kini menawarkan lebih 56 buku cerita dalam bahasa Melayu dengan harapan dapat meningkatkan pembelajaran dan pengalaman membaca kanak-kanak seawal usia yang mungkin.

Usaha baru sebegitu selaras dengan apa yang dikatakan Dr Maliki, “tidak kira sama ada bahan bercetak atau digital, membaca membolehkan kita mengikuti perkembangan dunia, mempertajam fikiran, memperluas perspektif, dan pada yang sama mengukuhkan bahasa, budaya dan sastera”.

Bertemakan ‘Mengenang yang Lama, Mendukung yang Baharu’, pesta buku itu turut berfungsi sebagai wadah untuk orang ramai menghargai sejarah dan para perintis sasterawan tempatan, seperti budayawan tersohor Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad.

Ia menampilkan 12 reruai yang menawarkan buku fizikal dan digital dalam bahasa Melayu dan Melayu-Inggeris.

Sebanyak empat reruai mempamerkan sejarah dan budaya Melayu, serta karya terpilih Allahyarham Dr Ariff, seorang pemenang Pingat Budaya.

Kanak-kanak boleh menikmati sesi bercerita, kegiatan tertumpu pada STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) dan persembahan nyanyian yang kesemuanya menggalak kefasihan dalam bahasa Melayu.

Duta Bulan Bahasa, Cik Nursha Ismail, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga pengerusi Bulan Bahasa Melayu, bakal mengendalikan sesi bercerita pada 18 Ogos.

Sebanyak 11 kegiatan berkaitan sastera turut diadakan bagi menggalak penulisan dan meningkatkan asas pengetahuan penulis, seperti bengkel menulis fiksyen dan puisi, dan mencipta komik, dan sesi perkongsian oleh penulis mapan dan baru muncul.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Mayor CDC South East, Encik Fahmi Aliman.

Pesta buku itu disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Jawatankuasa Pembelajaran dan Promosi Bahasa Melayu dan Yayasan Lee.

Pesta Buku Melayu Singapura 2024 (PBMS2024)

  1. 16 hingga 18 Ogos
  2. 10 pagi hingga 8 malam
  3. Wisma Geylang Serai
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg