Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta Malam S’pura ke-15 lebih GAH!

Acara dilanjut hingga tiga hujung minggu; tambahan satu lagi kampung perayaan
Aug 22, 2024 | 3:52 PM
Salah satu pertunjukan kemuncak Pesta Malam Singapura edisi ke-15 pada 2024 ialah seni pemasangan oleh Rizman Putra, ‘The Happiest Days of our Lives’, di Stamford Arts Centre.
Salah satu pertunjukan kemuncak Pesta Malam Singapura edisi ke-15 pada 2024 ialah seni pemasangan oleh Rizman Putra, ‘The Happiest Days of our Lives’, di Stamford Arts Centre. - Foto ST

Pesta Malam Singapura (SNF) telah menjadikan edisinya yang ke-15 lebih besar dan lebih baik dengan melanjutkan tempohnya merangkumi tiga hujung minggu.

Ini di samping menambah kampung perayaan keempat, lapor The Straits Times.

Pengarah pesta itu, Encik David Chew, berkata: “Orang ramai memberitahu kami bahawa mereka hanya mendengar tentang pesta itu hanya apabila ia hampir tamat, jadi kami memutuskan untuk melanjutkannya satu hujung minggu lagi.”

Selain kampung perayaan biasa di Campus Green, Universiti Pengurusan Singapura; Chijmes dan Armenian Street yang ditutup pada 11 ​​malam, kampung perayaan terkini termasuk Twilight Playground @ GR.iD di Selegie Road.

Bertemakan, Seni Permainan, SNF – yang berlangsung di daerah Bras Basah-Bugis dari 23 Ogos hingga 7 September – pesta itu mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak dan bermain.

Kawasan itu adalah tapak beberapa sekolah pertama di Singapura, termasuk Convent Of The Holy Infant Jesus, Institusi St. Joseph dan Sekolah Tao Nan.

Encik Chew menambah: “Maklum balas sepanjang dua tahun lepas ialah tumpuan pada warisan adalah lebih kuat dan lebih serius.”

Berlatarkan maklum balas itu, pasukan penganjur pesta itu mencari artis-artis yang dapat menghidupkan semula rasa keseronokan zaman kanak-kanak melalui seni pemasangan dan program mereka.

Kemuncak SNF 2024 ialah Wonder World – The Machine Of Nostalgia, yang diilhamkan oleh taman hiburan yang popular di Singapura pada era 1950-an.

Dicipta oleh artis kontemporari, Sam Lo, atau lebih dikenali sebagai SKL0, taman hiburan di Cathay Green itu adalah tapak bagi gerai permainan, permainan tunggangan dan persembahan secara langsung.

Tiket diperlukan untuk masuk ke Wonder World dan boleh dibeli dengan harga $25 melalui Klook atau laman web SNF untuk ditebus di tapak acara.

Setiap tiket disertakan dengan 10 token pramuat. Ia boleh ditambah dengan kenaikan $10, untuk digunakan bagi permainan tunggangan dan lain-lain.

Dikhususkan buat golongan belia yang mengunjungi festival, ia akan dibuka sehingga tengah malam bagi mereka yang ingin menyertai pesta lain selepas itu.

Menurut tinjauan SNF sebelum ini, kebanyakan pengunjung festival berumur antara 20 dengan 39 tahun.

Walaupun pesta itu berharap dapat menarik kumpulan usia yang lebih luas, Encik Chew berkata mereka yang lebih dewasa mungkin lebih sesuai menghadiri Pesta Warisan Singapura, anjuran Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB).

Beliau berkata: “Apa yang kami benar-benar mahu berikan tumpuan ialah mendapatkan penonton yang biasanya tidak menjejakkan kaki ke muzium.

“Harapan saya ialah mereka akan tertarik dengan pemasangan lampu atau perkampungan perayaan, kemudian akan pergi ke Objectifs atau Muzium Negara Singapura dan melangkah masuk buat kali pertama.”

Tarikan SNF yang paling mudah dinikmati ialah pelbagai pertunjukan pemetaan cahaya pada fakad muka bangunan.

Pesta itu telah menjadikan tradisi tahunan itu sebagai peluang peningkatan kemahiran dengan menawarkan program latihan intensif, yang diajar oleh artis cahaya Malaysia, Abdul Shakir, kepada empat artis setahun.

Encik Chew berkata: “Perkara yang baik adalah ia pastinya membuka seluruh bidang ini kepada artis yang dahulunya hanya berkarya menggunakan kertas, mural atau seni fizikal yang lain.

“Walau bagaimanapun, kadangkala ia boleh menjadi terlalu rumit untuk mereka, kerana mereka mungkin memerlukan kursus pendek dan intensif dalam Adobe Photoshop atau Illustrator sebelum mereka boleh memulakan bahagian pemetaan cahaya.”

Encik Chew berharap pelbagai tawaran itu akan dapat menarik minat pelawat.

“Ia adalah keseimbangan yang baik. Kami mahu memberi tumpuan kepada hala tuju dan topik Singapura serta sejarah kawasan itu.

“Tetapi kita juga tidak boleh lupa bahawa SNF mempunyai suasana pesta dan harus menyeronokkan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg