Sebuah pasukan petugas baru, yang dinamakan Pasukan Petugas Keadilan Inklusif, dilancarkan pada 8 Januari untuk mempertingkatkan sokongan kepada individu kurang upaya serta mereka yang mempunyai isu kesihatan mental dalam sistem keadilan jenayah.
Dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, dan Pengarah Pengasas PYLegal LLC, Cik Peggy Yee, pasukan 20 anggota ini akan meneliti cara pemerintah dapat memberikan sokongan yang lebih baik.
Ini merangkumi individu kurang upaya dan mereka yang mempunyai keadaan kesihatan mental yang berisiko melakukan kesalahan atau yang mungkin berinteraksi dengan sistem keadilan jenayah Singapura, sama ada sebagai tertuduh atau mangsa, menurut kenyataan Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Cik Yee menyatakan bahawa individu dengan isu kesihatan mental dan kurang upaya sering sukar untuk membela diri dan akan mendapat manfaat daripada sokongan khusus dalam mengemudi sistem keadilan.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan anggota Pasukan Petugas untuk mencipta penyelesaian praktikal yang menyokong individu rentan dengan empati dan keadilan semasa mereka berinteraksi dengan sistem keadilan jenayah, sama ada mereka orang yang dituduh, mangsa atau saksi,” tambah beliau.
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong telah bersetuju dengan penubuhan pasukan petugas ini semasa Simposium Akses kepada Keadilan (A2J) sulung yang diadakan pada Mac 2025, yang membincangkan cabaran undang-undang yang dihadapi oleh orang kurang upaya yang “tidak kelihatan”.
Anggota pasukan petugas akan menyemak keseluruhan proses keadilan jenayah, daripada peringkat prakesalahan, penyiasatan, proses mahkamah, hukuman, hinggalah kepada langkah sokongan selepas hukuman dijatuhkan.
MinLaw menjelaskan bahawa pasukan petugas ini juga akan mengambil kira langkah sedia ada, mengenal pasti jurang penambahbaikan, dan mencadangkan pembaharuan berpotensi untuk dipertimbangkan oleh pemerintah.
Encik Chua berkata: “Kami telah mengumpulkan pasukan kerjasama kuat pengamal undang-undang, penggubal dasar, agensi perkhidmatan sosial dan profesional penjagaan kesihatan.
“Ia juga akan merangkumi peguam bela untuk orang kurang upaya dan masyarakat berkeperluan khas, untuk mewakili suara mereka.
“Tugas akan dijalankan untuk menyemak amalan semasa, mengenal pasti jurang, dan membangunkan cadangan untuk menanganinya.”
Pengumuman ini menyusuli beberapa inisiatif terdahulu, seperti Skim Dewasa yang Sesuai untuk Orang Kurang Upaya Mental yang dilancarkan pada 2015.
Skim ini melantik sukarelawan terlatih untuk membantu mereka yang kurang upaya intelek, yang mengalami autisme, atau isu kesihatan mental semasa temu bual dengan pihak berkuasa.
Inisiatif lain termasuk perintah rawatan mandatori (MTO) di mahkamah, diperkenalkan pada 2011, yang membenarkan pesalah dengan keadaan psikiatri menjalani rawatan sebagai ganti hukuman penjara.
Anggota-anggota Pasukan Petugas Keadilan Inklusif termasuk:
- Encik Kessler Soh, Timbalan Hakim Daerah Utama, Mahkamah Negara
- Encik Colin Chow, Timbalan Setiausaha (Dasar), Kementerian Undang-Undang
Encik Wong Kok Weng, Ketua Pembela Awam, Pejabat Pembela Awam
Encik Zhang Weihan, Timbalan Pesuruhjaya (Siasatan & Perisikan) dan Pengarah (Jabatan Siasatan Jenayah), Pasukan Polis Singapura
Encik Joshua Lo, Pengarah (Pengurusan dan Dasar Operasi Bersama) Kementerian Ehwal Dalam Negeri
Cik Caroline Lim, Pengarah (Perintah Pembetulan Komuniti) Perkhidmatan Penjara Singapura
Cik Stephanie Sim, Pengarah (Bahagian Pemerkasaan), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga
Dr Harold Tan, Pengarah (Pejabat Kesihatan Mental Nasional), Kementerian Kesihatan
Dr Derrick Yeo, Perunding Kanan dan Timbalan Ketua (Pendidikan), Jabatan Psikiatri Forensik di Institut Kesihatan Mental
Encik Chong Kee En, Timbalan Pengarah Kumpulan Mangsa Khas dan Timbalan Pendakwa Raya Awam, Jabatan Peguam Negara
Encik Tanguy Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Pro Bono SG
Dr Chen Shiling, Pakar Perubatan serta Pengasas dan Pengarah Eksekutif Happee Hearts Movement
Dr Lim Hong Huay, Pakar Pediatrik dan Wakil Penjaga
Encik Teo Weng Kie, Peguam dan Penjaga serta Wakil Penjaga
Encik Kelvin Koh, Ketua Pegawai Eksekutif Minds
Encik Abhimanyau Pal, Ketua Pegawai Eksekutif SPD
Cik Tan Sze Wee, Pengarah Eksekutif Rainbow Centre
Encik Suresh Damodara, Pengarah Urusan Damodara Ong LLC


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg