Piala Darul Ihsan 2024, kejohanan futsal antara masjid yang dianjurkan oleh Rumah Anak Yatim Darul Ihsan di bawah naungan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), telah diadakan pada 19 November di gelanggang futsal Kick Off! di Kovan.
Acara tersebut berjaya menarik kehadiran kira-kira 200 individu termasuk 23 pasukan dari masjid, madrasah dan rumah kebajikan di serata Singapura.
Ia diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Encik Fahmi turut serta dalam perlawanan akhir, bermain bersama kakitangan Darul Ihsan, sambil memaparkan semangat kesukanan dan perpaduan komuniti yang menjadi teras pertandingan itu.
Kejohanan tersebut menampilkan perlawanan yang menarik, meraikan kerjasama berpasukan dan permainan yang adil, sambil mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat.
Pasukan daripada Masjid Al-Falah muncul juara kejohanan tersebut.
“Saya mengalu-alukan agar acara sebegini dapat diteruskan dalam masyarakat kita, untuk memberi kesempatan kepada anak-anak muda untuk bersukan bersama-sama dan mengenali satu sama lain,” kata Encik Fahmi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg