Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan Gan, Heng sebagai DPM langkah yang ‘pragmatik’

Namun, PAP perlu menyerlahkan ‘darah muda’ parti itu dalam jawatan utama untuk membuktikan keyakinannya terhadap kepimpinan 4G
May 14, 2024 | 6:52 PM
Bakal Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), banyak bekerjasama dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tengah), dalam menangani pandemik Covid-19. Bersama mereka ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Bakal Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), banyak bekerjasama dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tengah), dalam menangani pandemik Covid-19. Bersama mereka ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung. - Foto ST

Dengan penekanannya terhadap kesinambungan, kestabilan dan pembaharuan dalam proses peralihan kepimpinan, pilihan dua menteri veteran dan berpengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet pertama bakal Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, merupakan langkah yang “dijangka”, kata pengamat politik.

Ia juga langkah yang selamat bagi Singapura terutama dengan peralihan kepimpinan yang berlatarbelakangkan persekitaran geopolitik dan ekonomi yang tidak menentu, tambah mereka.

Encik Wong, 51 tahun, akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang keempat pada 15 Mei.

Pada 13 Mei, beliau telah melantik Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, 65 tahun, sebagai Timbalan Perdana Menteri di samping Encik Heng Swee Keat yang kekal dalam peranannya sekarang.

Pilihan Encik Gan sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan langkah ‘pragmatik’, kata Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin.

“Ia memberi gambaran Kabinet yang pragmatik dan berprinsip dan akan terus memainkan peranan penting dalam usaha mempertingkat kompak sosial domestik dan untuk ‘mengemudi’ Singapura meredah cabaran geopolitik dan geo-ekonomi,” katanya.

Pelantikan Encik Gan juga bermakna Encik Wong tidak ingin membuat sebarang perubahan besar dan ingin “memastikan peralihan yang lancar tanpa banyak gangguan” terutama dalam kementerian utama dan juga dalam kerjasamanya sebagai Perdana Menteri dengan dua Timbalan Perdana Menterinya, kata pengamat politik, Profesor Madya Eugene Tan, daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam respons kepada Berita Harian (BH).

Namun, pemilihan Encik Gan juga telah menimbulkan beberapa tanda tanya di kalangan pengamat.

“Ramai yang menjangkakan seorang pemimpin 4G akan dilantik sebagai DPM,” kata Profesor Tan.

Meskipun Encik Gan layak, timbul persoalan sama ada Encik Wong tidak mampu mencari pemimpin 4G yang boleh bekerjasama dengannya, tambah Profesor Tan.

Dalam pada itu, Profesor Tan menambah, tidak mustahil jawatan DPM bertukar tangan selepas Pilihan Raya dengan perubahan besar yang dijangkakan jika PAP diberi mandat untuk memerintah.

Justeru, rombakan Kabinet sedia ada sekadar “pendekatan sementara” buat masa kini, kata Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

“Kita jangkakan rombakan yang lebih besar (selepas Pilihan Raya), pemimpin yang lebih mampan akan bersara dan akan ada muka baru yang masuk ke dalam arena politik.

“Ini satu pendekatan yang rasional dan mungkin terbaik,” ujar Dr Norshahril.

Buat masa kini, jawatan utama – dalam bidang ehwal luar, ehwal dalam negeri dan pertahanan – kebanyakannya dipegang pemimpin 3G dan untuk membuktikan bahawa PAP komited terhadap usaha pembaharuan, ia harus menyerlahkan pemimpin 4G dalam jawatan-jawatan tersebut, kata Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Bilveer Singh, ketika dihubungi.

“Untuk kebaikan Singapura sendiri, (PAP) perlu menyerlahkan ‘darah muda’ dalam partinya.

“Jika tidak ia akan menunjukkan bahawa mereka tidak yakin dengan keupayaan anggota lebih muda ini,” kata beliau.

Tambahnya, pemimpin 4G seperti Encik Ong Ye Kung dan Encik Chan Chun Sing dijangka diberi tanggungjawab yang lebih berat selepas tempoh Pilihan Raya.

Semasa sidang media pada 13 Mei, Encik Wong berkata lebih ramai “darah muda” diperlukan memandangkan beberapa menteri lebih tua mungkin akan bersara tidak lama lagi.

Menurut pengamat, antaranya mungkin termasuk Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, 69 tahun, dan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, 65 tahun.

Beberapa menteri 3G dijangka kekal memainkan peranan penting, seperti Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, 65 tahun.

Menurut Profesor Bilveer: “Peranan beliau penting untuk membantu mengukuhkan lagi kepimpinan Encik Wong, terutama dalam bidang keselamatan negara, masih belum ada yang boleh menggantikannya.”

“Ia memberi gambaran Kabinet yang pragmatik dan berprinsip dan akan terus memainkan peranan penting dalam usaha mempertingkat kompak sosial domestik dan untuk ‘mengemudi’ Singapura meredah cabaran geopolitik dan geo-ekonomi.” 
Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg