Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketegangan geopolitik, ancaman pada perpaduan sosial antara isu perlu diatasi bakal PM Wong

May 14, 2024 | 5:33 PM
Bakal Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, perlu berdepan dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, tekanan luar daripada negara yang lebih besar dan peningkatan ancaman terhadap perpaduan sosial Singapura, kata penganalisis.
Bakal Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, perlu berdepan dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, tekanan luar daripada negara yang lebih besar dan peningkatan ancaman terhadap perpaduan sosial Singapura, kata penganalisis. - Foto ZAOBAO

Perdana Menteri Singapura yang baru perlu berdepan dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, tekanan luar daripada negara yang lebih besar dan peningkatan ancaman terhadap perpaduan sosial Singapura, kata penganalisis.

Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata bakal Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dan pasukannya perlu mengemudi isu-isu mencabar ini secara sensitif sambil mewujudkan ruang untuk lebih banyak suara didengari.

Ini, menurutnya, adalah keprihatinan Encik Wong di samping kebimbangan domestik yang berterusan seperti ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup dan teknologi baru yang mungkin menjejas pekerja.

“Nilai-nilai baru yang dibawa masuk, memandangkan Singapura membuka peluang kepada masyarakat lain yang datang ke sini, tentu sekali akan menjejas perpaduan kita.

“Dalam jangka panjang pula, ketidaktentuan geopolitik itu menjadi satu masalah juga – ketegangan politik antara Amerika Syarikat dan China, peperangan Ukraine dan Russia dan juga konflik Timur Tengah.

“Ia bukan hanya menjejas ekonomi, tetapi juga undang-undang antarabangsa dan mempunyai kesan domestik,” kata Dr Norshahril.

Beliau berkata isu-isu ini akan mencabar Encik Wong dan pemimpin-pemimpin 4G tentang nilai-nilai kewarganegaraan, keprihatinan dan sifat ihsan pemerintah.

Tambahnya, cabaran Encik Wong juga adalah bagaimana beliau akan menyediakan lebih banyak ruang untuk mendengar pandangan alternatif bagi menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang prihatin terhadap semua lapisan masyarakat.

“Kalau kita lihat senario politik di mana-mana negara termasuk negara-negara maju dan juga yang sedang membangun, adalah tentang pentingnya menyuarakan pandangan alternatif di Parlimen dan juga ada wahana-wahana lainnya seperti di media sosial.

“Bagaimana politik itu perlu selari dengan keadaan semasa. Itu mungkin satu cabaran bagi Encik Wong. Bagaimana beliau boleh membawa Singapura ke era politik yang baru,” kata Dr Norshahril.

Seorang lagi penganalisis, pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari, berkata gerakan-gerakan global yang berasal dari negara luar akan berpotensi memecahbelahkan Singapura dan Encik Wong mesti peka mengendalikannya.

“Isu seperti Black Lives Matter, Me Too, Pink Dot... Setakat ini, Encik Wong telah menunjukkan beberapa kualiti yang penting untuk menanganinya.

“Encik Wong telah memberikan hala tuju yang betul dalam mesejnya menangani isu keadilan dan kesaksamaan dalam pekerjaan serta keterangkuman dalam kalangan kumpulan minoriti,” kata Dr Shamsuri.

Beliau manambah Encik Wong telah memulakan kerjaya politiknya secara ‘senyap-senyap’ tetapi telah kini mendapat lebih banyak tarikan setelah dipilih untuk memikul jawatan Perdana Menteri negara.

“Saya tidak melihat beliau sebagai ‘singa mengaum’ (roaring lion). Sebaliknya, saya melihatnya sebagai ‘penjinak singa’ (lion tamer) yang pendiam tetapi mampu memimpin dan memerintah.

“Ini mungkin masa dengan negara memerlukan seorang pemimpin seperti itu – bukan seorang yang boleh menjerit paling kuat tetapi seorang yang boleh berfikir dengan mendalam,” tambahnya.

Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan di Solaris Strategies, Dr Mustafa Izzuddin, berkata Encik Wong membawa gaya kepimpinan yang mantap dan boleh dipercayai yang lebih sesuai dengan generasi baru.

“Encik Wong telah mempamerkan kepimpinan yang terpuji sebagai Menteri Kewangan dan telah membuktikan keberanian beliau semasa pandemik dan latihan Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura) untuk menyandang jawatan kepimpinan politik tertinggi Singapura.

“Beliau bukanlah seorang yang mudah terpengaruh atau seorang yang lemah semangat tanpa tulang belakang atau serat moral. Beliau akan mentadbir Singapura atas dasar pragmatisme dalam sosio-budaya dan politik-ekonomi,” kata Dr Mustafa.

“Kalau kita lihat senario politik di mana-mana negara termasuk negara-negara maju dan juga yang sedang membangun, adalah tentang pentingnya menyuarakan pandangan alternatif di Parlimen dan juga ada wahana-wahana lainnya seperti di media sosial. Bagaimana politik itu perlu selari dengan keadaan semasa. Itu mungkin satu cabaran bagi Encik Wong. Bagaimana beliau boleh membawa Singapura ke era politik yang baru.”
Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg