Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, 75 tahun, telah menyerahkan permohonannya untuk mendapatkan Sijil Kelayakan bagi bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang.
Ketika Encik Ng melawat Teochew Poit Ip Huay Kuan, sebuah persatuan untuk masyarakat Teochew Singapura, pada Khamis malam, beliau memberitahu media bahawa beliau telah menyerahkan borang permohonan tersebut melalui laluan pertimbangan sektor awam pada Rabu.
Keputusan beliau untuk memohon melalui laluan itu berdasarkan pengalamannya dan tempoh perkhidmatan beliau sebagai mantan ketua pegawai pelaburan GIC.
Semasa lawatannya ke Teochew Poit Ip Huay Kuan, Encik Ng telah berbual dengan ahli persatuan itu dan mengulas lanjut mengapa rizab Singapura penting secara strategik.
Menurutnya, terdapat tiga sebab.
Sebab pertama, rizab negara merupakan pertahanan kewangan negara jika berlaku perang, dan ia juga penting untuk pembangunan semula selepas perang.
“Saya harap... negara kita tidak diserang. Tetapi jika hari itu tiba, kita perlu bergantung kepada rizab kita untuk pertahanan kewangan dan penakatan Singapura.”
Sebab kedua, rizab negara membantu menyelamatkan pekerjaan dan menyokong rakyat Singapura yang berpendapatan rendah semasa krisis ekonomi, seperti yang dilihat semasa pandemik Covid-19.
Sebab ketiga mengapa rizab negara penting, menurut Encik Ng, kerana ia mengekalkan dolar Singapura yang kukuh.
Ini penting kerana Singapura membeli banyak barangan dari luar negara dan kekuatan dolar Singapura membantu mengurangkan kos dalam negeri dan mengawal inflasi.
“Saya menghabiskan 30 tahun bekerja di GIC. Saya membantu meningkatkan rizab kita dengan cara pelaburan betul. Dan saya membantu untuk membina GIC sebagai salah satu dana kekayaan negara yang terkemuka di dunia, supaya kita boleh menjaga wang kita sendiri.
“Itulah sebab mengapa saya memutuskan untuk tampil untuk dipilih sebagai presiden, supaya saya boleh membantu melindungi rizab kita.”
Jika rizab negara tidak dilindungi, akan ada parti politik yang akan berjanji untuk mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setiap kali terdapat pilihan raya, ujar Encik Ng.
“Berbelanja lebih di sini, sana, sini, sana... hingga defisit. Jika anda berbuat demikian, rizab kita akan hilang dalam masa yang singkat…
“Ia adalah keseimbangan yang sangat sukar kerana pemerintah membelanjakan apa yang perlu. Kita mesti cuba menjimat sebanyak mungkin.”
Singapura telah menjaga rakyatnya, tetapi ia tidak bermakna lebih banyak perkara tidak boleh dilakukan, tambah Encik Ng.
Menggunakan metafora tangga gerak, beliau berkata terdapat dua jenis tangga gerak di Singapura. Satu merupakan rakyat Singapura berpendapatan rendah, manakala lagi satu merupakan rakyat Singapura berpendapatan lebih tinggi.
“Kedua-dua tangga gerak naik… Tangga gerak golongan gaji tinggi naik sangat cepat, dan tangga gerak golongan gaji rendah... juga naik, tetapi perlahan-lahan.
“Jadi jika kita mahu menjadi ekonomi yang berjaya, kita tidak mahu memperlahankan eskalator yang laju. Sebaliknya, kita mahu mempercepatkan eskalator perlahan, supaya ketidaksamaan pendapatan akan dikurangkan.
“Itulah dasar yang betul... yang akan membantu kita meningkatkan kekayaan dan pendapatan keseluruhan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg