Topik diikuti
Pergi ke BHkuPindaan Akta Jerebu: Tindakan lebih cepat, denda $20j bagi firma terbabit
Pindaan Akta Jerebu: Tindakan lebih cepat, denda $20j bagi firma terbabit
Syarikat-syarikat yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu rentas sempadan akan berdepan sekatan komersial yang ketat.
Mereka juga berdepan dengan pemotongan perkhidmatan kewangan, serta denda mahkamah sehingga $20 juta di bawah cadangan pindaan terhadap undang-undang jerebu Singapura.
Demikian antara perubahan yang dibentangkan di bawah Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (Pindaan) (THPA) di Parlimen pada 4 November oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Pindaan itu, yang dibentangkan di bawah Sijil Tindakan Segera, dibuat sedang pemerintah memperkukuh siasatan berterusan terhadap episod jerebu baru-baru ini sebelum bukti hilang, diubah atau dikaburkan melalui penyusunan semula korporat.
“Perubahan yang kami cadangkan ini tidak menjamin kejayaan pendakwaan, malah undang-undang semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan,” kata Cik Fu.
“Namun, ia akan memperkukuh keupayaan kita untuk bertindak melindungi rakyat Singapura, termasuk mengenakan kesan ekonomi terhadap entiti (syarikat) yang melanggar peraturan walaupun pendakwaan jenayah sukar dilaksanakan.”
Kuasa untuk menetap, senarai entiti
Di bawah langkah baharu itu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran akan diberi kuasa untuk secara rasmi menetapkan atau ‘designate’ entiti dan individu yang didakwa melakukan kesalahan jerebu rentas sempadan, atau gagal mematuhi atau notis.
Sebaik sahaja sesebuah entiti itu “ditetapkan”, adalah menjadi satu kesalahan bagi syarikat lain di Singapura untuk membeli daripada mereka, menjual kepada mereka, atau membekalkan mereka perkhidmatan kewangan.
“Kuasa ‘menetapkan’ dan mengenakan sekatan bertujuan memberikan kesan ekonomi terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembakaran secara tidak bertanggungjawab atau mereka yang mempunyai kaitan dengan pembakaran.
“Pada masa yang sama, larangan tersebut memastikan pihak lain tidak berurusan dengan entiti yang ditetapkan itu, termasuk melalui aturan perniagaan atau struktur korporat yang rumit,” jelas Cik Fu.
Denda, pencegahan lebih kuat
Firma yang beroperasi dalam sektor tertentu juga boleh dikenakan notis, yang mewajibkan mereka menyemak rantaian bekalan serta memastikan mereka tidak berurusan dengan sesiapa yang terlibat dalam kegiatan yang menyebabkan jerebu.
Firma yang melanggar peraturan rantaian bekalan ini berdepan denda sehingga $1 juta bagi setiap pelanggaran, denda harian tambahan sehingga $100,000 selagi pelanggaran berterusan, serta risiko didedahkan identiti mereka secara terbuka.
Cik Fu berkata kewajipan ini bertujuan memperkukuh usaha wajar dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab merentasi rantaian bekalan.
Syarikat juga dijangka mengambil langkah munasabah untuk mengenal pasti serta menangani risiko dalam urusan perniagaan mereka, tambahnya.
“Objektifnya bukanlah untuk memberikan jaminan yang mustahil bahawa tiada risiko akan timbul, sebaliknya untuk memastikan syarikat-syarikat tidak membiarkan amalan perhutanan dan pertanian yang tidak bertanggungjawab terus berlaku,” kata Cik Fu.
Denda harian maksimum bagi firma yang menyebabkan jerebu juga akan dinaikkan sepuluh kali ganda daripada $100,000 kepada $1 juta, dengan had siling denda keseluruhan dinaikkan daripada $2 juta kepada $20 juta.
Rangka kerja penalti sivil baharu
Sekiranya THPA telah diluluskan, Cik Fu berkata mahkamah juga akan mempunyai kuasa untuk melucutkan sebarang keuntungan yang diraih syarikat atau kos yang dielakkannya melalui pembakaran tanah secara haram.
Pihak pemerintah juga akan diberikan pilihan mahkamah sivil berasingan yang membolehkannya menuntut penalti sivil sehingga $10 juta terhadap pesalah.
“Ini akan memberi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) lebih fleksibiliti dalam memutuskan cara menangani pelanggaran, serta bertindak terhadap mereka yang cuba mengelak daripada bidang kuasa jenayah kita,” ujar Cik Fu.
Keupayaan dipertingkat bagi menetapkan fakta
Beliau berkata rang undang-undang baharu ini juga turut memberi kuasa kepada NEA untuk melantik penilai bebas daripada panel yang dipilih oleh Ketua Pengarah Perlindungan Sekitaran, dengan kos ditanggung oleh pihak terbabit.
Pakar bebas ini akan menyiasat kawasan konsesi di lapangan, menilai langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran, meneliti kaitan korporat, serta menyerahkan laporan penilaian fakta secara terus kepada NEA.
“Perlu ditegaskan bahawa arahan untuk melantik penilai tidak semestinya bermaksud entiti tersebut telah melakukan, atau disyaki melakukan, sesuatu kesalahan,” kata Cik Fu.
Perkukuh peruntukan THPA sedia ada
Cik Fu menambah bahawa undang-undang yang dipinda ini juga akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih awal terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti yang menyumbang kepada jerebu.
Dengan perubahan ini, pihak berkuasa boleh bertindak terhadap syarikat sebaik sahaja kegiatan luar negara mereka dinilai sebagai “menimbulkan risiko pencemaran jerebu di Singapura” walaupun jerebu belum tiba di Singapura.
Pihak berkuasa tidak perlu lagi menunggu kualiti udara buruk berlarutan sekurang-kurangnya 24 jam.
Sekiranya THPA diluluskan, syarikat juga akan mendapati lebih sukar untuk melepaskan diri daripada liabiliti di mahkamah.
Di bawah Akta sebelum ini, syarikat boleh dengan mudah menolak pertuduhan dengan hanya membuktikan satu hujah pembelaan undang-undang secara bersendirian, seperti menyalahkan cuaca ekstrem atau mendakwa bahawa pihak ketiga yang tidak dibenarkan telah memulakan kebakaran.
Setelah THPA diluluskan, pembelaan statutori kini bersifat kumulatif, bermakna syarikat tidak lagi boleh melepaskan tanggungjawab semata-mata dengan menuding jari, sebaliknya mesti membuktikan kesemua syarat yang ditetapkan secara serentak.
“Pembelaan yang diselaraskan semula ini memberi isyarat jelas tentang jangkaan kita,” kata Cik Fu.
“Entiti dijangka mengambil langkah berwaspada yang mencukupi untuk mengelakkan kebakaran di tanah mereka.
“Tidak lagi mencukupi sekadar mendakwa orang lain yang menyebabkan kebakaran itu.”
Di bawah undang-undang baru, pegawai penguatkuasa juga akan dibolehkan menyampaikan dokumen undang-undang secara dalam talian, menerusi saluran berita, atau di laman web NEA.
Semua jenayah jerebu juga akan dijadikan kesalahan yang boleh ditangkap supaya pihak berkuasa boleh menahan individu berkepentingan apabila mereka memasuki Singapura.
Sekiranya syarikat asing enggan menjawab saman atau kekal berada di luar negara, mahkamah Singapura juga akan diberi kuasa untuk meneruskan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman tanpa kehadiran syarikat tersebut.
Cik Fu berkata perubahan ini tidak menjamin bahawa entiti luar negara akan sentiasa memberikan kerjasama.
Namun ia akan menghapuskan halangan tatacara yang sebelum ini membataskan keupayaan Singapura untuk meneruskan siasatan dan proses undang-undang.
“Pindaan ini akan membantu memastikan entiti tidak boleh menggagalkan penguatkuasaan undang-undang semata-mata dengan bersikap sukar dihubungi atau kekal berada di luar Singapura,” tegas Cik Fu.