Topik diikuti
Pergi ke BHkuPintu gerbang satelit baru permudah proses turun naik pesawat di Lapangan Terbang Changi
Pintu gerbang satelit baru permudah proses turun naik pesawat di Lapangan Terbang Changi
Dilengkapi dua jambatan udara, laluan pejalan kaki, tawar perjalanan lebih lancar bagi pelancong
Pintu gerbang satelit baru permudah proses turun naik pesawat di Lapangan Terbang Changi
Changi Airport Group (CAG) telah menyelesaikan pembinaan pintu gerbang satelit pertamanya, iaitu kemudahan naik turun pesawat bagi penumpang secara jarak jauh.
Ia direka untuk meningkatkan pengalaman penumpang bagi penerbangan yang terletak di tempat yang jauh dari terminal.
Tempat sedemikian sering kali memerlukan penumpang menaiki bas untuk ke pesawat mereka dan kemudian menaiki tangga untuk memasuki pesawat tersebut.
Terletak di lapangan terbang, pintu gerbang satelit itu dilengkapi dengan dua jambatan udara dan menyediakan laluan pejalan kaki yang terlindung sepenuhnya untuk naik dan turun pesawat, sekali gus menawarkan perjalanan lebih lancar dan selesa bagi pelancong.
Persediaan untuk memastikan kesediaan operasi sedang dijalankan, dengan penggunaan pintu gerbang tersebut bagi penerbangan terpilih dijadualkan bermula pada Ogos nanti.
Terletak antara lima dengan tujuh minit perjalanan dengan bas dari Terminal 2, pintu gerbang satelit baharu seluas 200 meter persegi itu mempunyai kemudahan berhawa dingin dua tingkat yang terlindung sepenuhnya dan dilengkapi dengan tanjakan 60 meter.
Tanjakan itu menyediakan akses mudah bagi pelancong yang menggunakan kerusi roda, kereta sorong bayi dan bagasi beroda.
Bercakap kepada media di simulasi aliran penumpang pada 10 Julai, CAG berkata pintu gerbang satelit baharu itu akan menyediakan perjalanan yang lebih lancar dan selesa bagi penumpang.
Operasi penerbangan jarak jauh sedemikian digunakan bagi sekitar 20 penerbangan atau 2 peratus daripada semua penerbangan di Lapangan Terbang Changi setiap hari.
Sekitar 98 peratus penerbangan menggunakan salah satu daripada 111 pintu sentuh lapangan terbang yang membolehkan pesawat dihubungkan terus ke terminal lapangan terbang melalui jambatan udara.
CAG berkata penumpang yang menaiki penerbangan Scoot, Xiamen Airlines dan Aircalin lebih berpeluang menggunakan pintu gerbang satelit baharu itu, kerana data jadual penerbangan kini menunjukkan bahawa penerbangan ketiga-tiga syarikat itu sering terletak di tempat yang jauh.
Ia menambah penerbangan dengan kapasiti yang lebih tinggi lebih cenderung diberi pintu gerbang sentuh yang terletak di dalam terminal, manakala penerbangan yang mempunyai kurang penumpang diminta berhenti lebih jauh.
Encik Terry Lim, pengurus kanan kawalan operasi lapangan terbang di CAG, berkata pintu satelit baharu itu akan menyediakan perlindungan serta perjalanan penumpang yang lebih menyenangkan dan selesa.
Bilangan pekerja yang diperlukan di pintu gerbang satelit bagi memudahkan proses naik turun pesawat berbadan lebar juga akan dikurangkan separuh daripada enam kepada tiga orang, berbanding dengan tempat menunggu jarak jauh, kata CAG.
Dikuasakan sepenuhnya oleh panel solar atas bumbung, pintu gerbang satelit itu dilengkapi dengan ciri-ciri bangunan pintar yang menghidupkan penghawa dingin secara automatik 30 minit sebelum waktu menaiki pesawat bermula.
Pembinaan bagi kemudahan ini bermula pada akhir 2025.
Bermula Mei 2026, sesi latihan telah dijalankan bagi lebih 500 kakitangan lapangan terbang untuk membiasakan diri dengan operasi di pintu gerbang satelit.
