Pelancong bakal mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan ke empat destinasi di Eropah.

Ini selepas Singapore Airlines (SIA) mengumumkan pada 8 Mei bahawa ia akan meningkatkan kekerapan penerbangan antara Singapura dengan Manchester, Milan, Munich dan London Gatwick secara berperingkat mulai Julai.

Ini bertujuan untuk “memenuhi permintaan tinggi bagi laluan-laluan berkenaan serta memperkukuh pilihan ketersambungan di hab Singapura miliknya”, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan media.

SIA juga akan melancarkan perkhidmatan ke Madrid melalui Barcelona sebanyak lima kali seminggu bermula 26 Oktober. 

Madrid bakal menjadi destinasi ke-15 SIA di Eropah dan yang kedua di Sepanyol.

Penerbangan antara Singapura dengan Barcelona sedia ada akan distruktur semula untuk beroperasi di laluan baru ini.

Laluan sedia ada ke Barcelona yang melalui Milan akan dihentikan bermula 27 Oktober selepas pelancaran perkhidmatan Singapura-Barcelona-Madrid tersebut.

Penerbangan Singapura-Manchester akan ditingkatkan daripada lima kali seminggu kepada setiap hari bermula 13 Julai, manakala perkhidmatan Singapura-London Gatwick akan meningkat daripada tiga kali seminggu kepada setiap hari bermula 25 Oktober.

Penerbangan Singapura-Milan pula akan ditingkatkan daripada empat kali seminggu kepada setiap hari bermula 25 Oktober, manakala perkhidmatan baru Singapura-Munich akan dilancarkan pada 26 Oktober dengan kekerapan tiga kali seminggu.

Semua penerbangan tertakluk kepada kelulusan pengawal selia dan penggunaan pesawat mungkin berubah-ubah atas faktor operasi, kata SIA.

Tiket bagi perkhidmatan baru ke Madrid akan dijual mulai Jun 2026 melalui saluran pengedaran SIA, manakala tiket bagi perkhidmatan tambahan ke Manchester, Milan, Munich, dan London Gatwick akan dikeluarkan secara berperingkat.

Naib Presiden Kanan Perancangan Pemasaran SIA, Encik Dai Haoyu, berkata pelarasan tersebut didorong oleh permintaan tinggi bagi perjalanan ke Eropah.

“Eropah merupakan pasaran penting bagi Singapore Airlines dan pelarasan ini mencerminkan komitmen kami terhadap (pasaran tersebut). 

“Perkhidmatan baru ini akan memberi pelanggan kami lebih banyak pilihan dan nilai lebih baik ketika merancang perjalanan mereka,” tambahnya.

Naib Presiden Eksekutif bagi Pembangunan Hab Udara dan Kargo Changi Airport Group (CAG), Encik Lim Ching Kiat, berkata pengenalan perkhidmatan penerbangan SIA ke Madrid akan memperkukuh ketersambungan Singapura ke Sepanyol serta memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong yang melakukan perjalanan ke Eropah.

“Madrid merupakan salah satu destinasi yang mendapat permintaan paling tinggi di Changi yang sebelum ini belum mempunyai perkhidmatan penerbangan terus.

“Sejak 2022, bilangan pelancong yang membuat perjalanan antara Madrid dengan Singapura telah meningkat sekitar 27 peratus setiap tahun, melangkaui paras sebelum Covid sebanyak hampir 20 peratus,” kata Encik Lim.