Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee kenang Prof Lim Chong Yah atas bimbingan, sumbangan pada ekonomi negara

Jul 9, 2023 | 6:07 PM
SUMBANGAN BESAR: Mendiang Profesor Emeritus Lim Chong Yah dianggap Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebagai tokoh yang membantu bermulanya kebangkitan ekonomi Singapura.
SUMBANGAN BESAR: Mendiang Profesor Emeritus Lim Chong Yah dianggap Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebagai tokoh yang membantu bermulanya kebangkitan ekonomi Singapura. - Foto fail

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengutus surat takziah kepada isteri mendiang pakar ekonomi terbilang, Profesor Emeritus Lim Chong Yah, Cik See Nah Nah, sambil menghargai jasa beliau.

Dalam surat yang dikirimkan pada Ahad, Encik Lee berkata beliau dan isterinya, Cik Ho Ching, turut bersedih atas pemergian Profesor Lim, 91 tahun, pada pagi Sabtu.

“Saya telah mengenali Profesor Lim secara peribadi bertahun lamanya sejak saya masih muda. Beliau memberi saya bimbingan tuisyen dalam Ekonomi buat setahun pada 1970, ketika saya mengambil mata pelajaran itu untuk peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’.

“Beliau guru yang penyabar dan mengambil berat, sebagaimana yang akan dipersetujui banyak generasi pelajarnya. Beliau akan memberikan saya topik esei setiap minggu, yang akan saya kaji dan tulis sebelum berbincang dengannya pada sesi tutorial selanjutnya. Ia merupakan cara mendalam dan berkesan untuk menguasai asas subjek ini, yang kekal bersama saya dan terbukti sangat berharga sepanjang hidup saya,” tulis Encik Lee.

Menurutnya lagi, selepas beliau memasuki politik, dirinya dan Profesor Lim mempunyai sebab lebih kukuh untuk terus berhubung kerana Encik Lee ditugaskan ke Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), manakala Profesor Lim pula adalah Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) dan merupakan pengerusi pengasasnya pada 1972. NWC dibentuk untuk membimbing rundingan gaji secara nasional dengan Profesor Lim berkhidmat selama hampir tiga dekad hingga 2001.

“Dalam peranan itu, Profesor Lim memberi sumbangan besar kepada bermulanya kemajuan ekonomi kita. Itu adalah tahun-tahun kritikal dalam pembangunan ekonomi kita. Rundingan tahunan dan cadangan NWC membuka jalan untuk kelancaran perhubungan industri dan pelarasan gaji progresif,” kata Encik Lee.

“Proses itu membantu mengekalkan keamanan industri, memastikan pekerja menikmati bahagian yang saksama daripada hasil pertumbuhan, dan mengukuhkan perkongsian tiga pihak antara kesatuan sekerja, majikan dan pemerintah,” tambah Encik Lee lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg