PM Lee terima vaksin Covid-19, gesa warga dapatkan suntikan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Lee terima vaksin Covid-19, gesa warga dapatkan suntikan

Jan 9, 2021 | 5:30 AM

PM Lee terima vaksin Covid-19, gesa warga dapatkan suntikan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TERIMA VAKSIN: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam. Prosedur tersebut dikendalikan jururawat Hospital Besar Singapura Cik Fatimah Mohd Shah (kiri). - Foto MCI
TERIMA VAKSIN: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam. Prosedur tersebut dikendalikan jururawat Hospital Besar Singapura Cik Fatimah Mohd Shah (kiri). - Foto MCI -

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech semalam sedang Singapura memulakan langkah memberikan vaksin kepada kakitangan institusi penjagaan kesihatan awam.

Encik Lee merupakan anggota Kabinet pertama yang menerima vaksin tersebut.

Selain Encik Lee, pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak dan 88 kakitangan penjagaan kesihatan lain dari Hospital Besar Singapura (SGH) turut menerima vaksin tersebut.

Encik Lee berada di SGH untuk menyaksikan proses memberikan vaksin Covid-19 kepada kakitangan penjagaan kesihatan dan mengambil peluang untuk mendapatkan vaksin buat dirinya pada masa yang sama.

"Saya ambil peluang pagi ini untuk dapatkan vaksin untuk diri saya dan (prosesnya) sudah selesai - saya tunggu 30 minit, dan semuanya baik-baik sahaja," katanya.

"Saya diberikan kad dan akan kembali lagi (untuk dos kedua) dalam masa tiga minggu lagi. (Vaksin ini) tidak sakit, berkesan dan penting!"

Tambahnya beliau berharap warga Singapura akan mendapatkan vaksin tersebut sebaik ia diberikan secara lebih meluas.

Jururawat, Cik Fatimah Mohd Shah, 41 tahun, telah ditugaskan untuk memberikan vaksin tersebut kepada Encik Lee.

Beliau juga telah memberikan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan selepas menerima vaksin sambil berpeluang mengambil 'wefie' bersama Encik Lee.

"Saya gembira kerana ini merupakan satu penghormatan untuk memberikan vaksin kepada PM (Lee). Tapi memang saya agak gementar tadi," katanya.

Bulan lalu, Encik Lee berkata beliau dan anggota Kabinet lain akan mendapatkan vaksin tersebut di peringkat awal untuk menunjukkan kepada warga Singapura bahawa vaksin itu selamat digunakan.

"Saya percaya vaksin ini selamat dan berkesan. Singapura mempunyai jumlah vaksin yang mencukupi untuk semua, untuk itu saya harap warga Singapura dan penduduk jangka panjang akan mendapatkan vaksin ini apabila giliran anda tiba untuk membantu memastikan semua orang lebih selamat," tulis Encik Lee di Facebook-nya semalam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata langkah memberikan vaksin kepada anggota Kabinet kini dalam perancangan dan akan dilakukan dalam kumpulan tertentu.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen bulan lalu, Encik Lee berkata:

"Saya dan anggota Kabinet lain, termasuk yang lebih berusia, akan menerima vaksin ini di peringkat awal. Kami ingin tunjukkan, terutama kepada warga yang lebih berusia seperti saya, bahawa kami percaya vaksin ini selamat."

Penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech diluluskan Singapura lewat tahun lalu dan kumpulan pertama vaksin itu tiba di sini pada 21 Disember.

Ia perlu diberikan dalam dua dos - dos kedua diberikan 21 hari selepas dos pertama.

Vaksin itu juga mengambil masa 14 hari selepas dos kedua sebelum mencapai perlindungan maksimum dari virus Covid-19.

Warga emas dan mereka yang mengalami risiko lebih tinggi jangkitan boleh mendapatkan vaksin itu mulai Februari, bermula dengan warga emas berusia 70 tahun ke atas.

Vaksin tersebut percuma untuk semua warga Singapura dan penduduk jangka panjang di sini.

Walaupun suntikan vaksin Covid-19 tidak diwajibkan, Ketua Saintis Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Tan Chorh Chuan, berkata sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk perlu diberi vaksin untuk mencapai kekebalan ramai.

Mereka yang ingin mendapat vaksin perlu membuat tempahan awal dan tidak dibenarkan memilih jenis vaksin.

Pemerintah berkata lebih banyak vaksin dijangka tiba dalam beberapa bulan akan datang, termasuk vaksin syarikat Moderna dari Amerika Syarikat dan Sinovac dari China.

"Saya ambil peluang pagi ini untuk dapatkan vaksin untuk diri saya dan (prosesnya) sudah selesai - saya tunggu 30 minit, dan semuanya baik-baik sahaja. Saya diberikan kad dan akan kembali lagi (untuk dos kedua) dalam masa tiga minggu lagi. (Vaksin ini) tidak sakit, berkesan dan penting!" - Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg