Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong akan lawat Shenzhen bagi hadiri mesyuarat Apec
PM Wong akan lawat Shenzhen bagi hadiri mesyuarat Apec
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong akan tiba di Shenzhen pada 18 November untuk lawatan ketiganya ke China sebagai Perdana Menteri.
Encik Wong akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) ke-33 dan bertemu dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.
Beliau akan berlepas dari Manila selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-49, menamatkan minggu yang penuh dengan beberapa mesyuarat dan sidang kemuncak antarabangsa berturut-turut.
Singapura kini bersiap sedia untuk mempengerusikan Asean pada 2027 dan menjadi tuan rumah Apec pada 2030.
Dari Shenzhen, beliau akan melawat Beijing dari 20 hingga 21 November, di mana beliau akan bertemu Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, dan turut mengadakan makan tengah hari sambil bekerja bersamanya. Beliau juga akan bertemu ketua Parti Komunis Beijing, Encik Yin Li.
Lawatan kerja empat hari ke China itu, yang berakhir pada 21 November, berlangsung ketika Singapura berusaha memperdalam kerjasama dengan China serta memperkukuh integrasi ekonomi serantau di tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan pemecahan perdagangan global.
Dalam kenyataan pada 17 November, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Encik Wong juga akan menghadiri sesi pleno Apec.
Dalam sesi tersebut, para pemimpin negara akan membincangkan usaha memperkukuh hubungan ekonomi serantau, memanfaatkan teknologi digital dan inovasi, serta menggalak pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
Beliau turut akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin lain di luar sidang kemuncak itu, tambah PMO.
China menjadi tuan rumah Apec dengan tema “Membina Masyarakat Asia-Pasifik untuk Makmur Bersama”, dengan tiga keutamaan: keterbukaan, inovasi dan kerjasama.
Sidang kemuncak itu menghimpunkan pemimpin dari 21 ekonomi Asia-Pasifik ketika dunia berdepan ketegangan perdagangan, gangguan bekalan global dan perkembangan teknologi yang pesat.
Ia juga akan menyaksikan para pemimpin tiga kuasa besar – Presiden China, Encik Xi, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin – mengadakan pertemuan tiga hala pertama mereka, yang dijadualkan pada 19 November.
Bagi Singapura, sidang kemuncak itu dijangka menjadi peluang untuk menegaskan semula kepentingan memastikan pasaran serantau kekal terbuka, rantaian bekalan tetap mampan dan ekonomi saling berhubung.
Ini akan menjadi lawatan ketiga Encik Wong ke China, selepas lawatan pengenalan pada Jun 2025 dan lawatan ke Hainan serta Hong Kong pada Mac 2026.
Pertukaran lawatan peringkat tinggi yang kerap itu mencerminkan usaha Singapura untuk mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dan relevan seiring dengan perkembangan landskap antarabangsa, sambil turut meneroka bidang kerjasama baharu dengan China.
Semasa lawatan itu, Encik Wong akan diiringi oleh isterinya, Cik Loo Tze Lui; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.
Turut bersama adalah Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan, Encik Foo Cexiang, Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, serta para pegawai pemerintah.
Sepanjang ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong, akan memangku jawatan Perdana Menteri.