Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong lawat Brunei dari 9 hingga 10 Okt
Lawatan sempena peringati 50 tahun hubungan pertahanan antara kededua negara
PM Wong lawat Brunei dari 9 hingga 10 Okt
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei dari 9 hingga 10 Oktober sempena memperingati 50 tahun hubungan pertahanan antara Singapura dengan Brunei.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 8 Oktober, semasa Encik Wong berada di Brunei, beliau akan menghadiri satu acara perbarisan bersama.
Ia akan menampilkan anggota serta aset operasi daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 10 Oktober.
Encik Wong dan Sultan Hassanal Bolkiah kemudian akan melancarkan galeri peringatan yang menampilkan pencapaian penting dalam hubungan pertahanan kededua negara, yang telah ditubuhkan pada 1976.
Beliau juga akan diraikan dalam satu majlis makan tengah hari oleh Sultan Hassanal Bolkiah.
Lawatan tersebut – yang merupakan lawatan ketiga Encik Wong ke Brunei sebagai Perdana Menteri – bakal menyaksikan penyerahan empat Kenderaan Serangan Kebakaran Ringan — yang lebih dikenali di sini sebagai ‘Red Rhino’.
Ia akan diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei, di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri negara itu.
Dibangunkan oleh syarikat kejuruteraan Singapura, Hope Technik, kenderaan tersebut telah disesuaikan mengikut keperluan operasi Brunei, kata PMO.
Encik Wong juga akan bertemu dengan anggota SAF yang menjalani latihan di Temburong, daerah paling timur di Brunei, serta berinteraksi dengan mereka mengenai pengalaman latihan itu.
Dalam lawatan tersebut, Encik Wong akan disertai isterinya, serta Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar, Cik Rachel Ong.
Selain itu, pegawai daripada PMO, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar juga akan menyertainya.
Lawatan itu berlangsung sekitar seminggu selepas Putera Mahkota Brunei, Haji Al-Muhtadee Billah bertemu Encik Wong semasa lawatan rasmi ke Singapura yang berakhir pada 2 Oktober.
Semasa lawatan lima hari itu, Putera Al-Muhtadee Billah turut bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.