Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Tharman, PM Wong terima kunjungan Presiden Panama José Raúl
Presiden Tharman, PM Wong terima kunjungan Presiden Panama José Raúl
Presiden Panama, Encik José Raúl Mulino Quintero, menerima sambutan rasmi pada 5 Oktober semasa melakukan lawatan pertama beliau ke Singapura sebagai Ketua Negara.
Presiden Mulino, yang sedang melakukan lawatan negara ke Singapura dari 3 hingga 5 Oktober, bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam di Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Semasa pertemuan itu, kededua pemimpin menegaskan semula hubungan erat antara Singapura dengan Panama serta membincangkan cara untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
“Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran bersama dan peluang pertumbuhan bagi Singapura dan Panama, termasuk dalam bidang infrastruktur pelabuhan, serta perkembangan dalam landskap sejagat,” menurut kenyataan MFA.
Tuan Presiden dan isteri beliau, Puan Jane Ittogi, turut menganjurkan Majlis Jamuan Negara bagi meraikan Presiden Mulino dan isterinya, Puan Maricel Cohen de Mulino.
Presiden Mulino turut menghadiri upacara penamaan orkid di Taman Orkid Negara, di mana satu kacukan orkid baharu dinamakan bersempena nama beliau dan isteri.
Pada hari yang sama, Presiden Mulino turut bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan mereka saling bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta antarabangsa.
Mereka juga membincangkan peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, logistik serta kesambungan.
Semasa pertemuan itu, Encik Wong turut memaklumkan keputusan Singapura untuk menyertai Protokol kepada Perjanjian Mengenai Keberkecualian Kekal dan Pengendalian Terusan Panama.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen Singapura untuk mengekalkan keselamatan dan ketenteraman maritim, serta menjunjung kebebasan pelayaran selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unclos) 1982.
“PM Wong dan Presiden Mulino juga bersetuju untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama antara Singapura dengan Panama,” menurut MFA.
Susulan pertemuan itu, Encik Wong dan Presiden Mulino menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Sats Ltd dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek kesambungan dan logistik kargo udara.