Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah menghadiri beberapa mesyuarat bersama Korea Selatan, China dan Jepun, antara lain, pada 27 Oktober – hari kedua Sidang Puncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Berucap di Sidang Puncak Asean-Korea Selatan – yang pertama bagi Presiden Korea Selatan yang baru dipilih, Encik Lee Jae Myung – Encik Wong menyeru agar Asean dan Korea Selatan memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan hijau.
“Korea Selatan merupakan peneraju dunia dalam teknologi digital. Syarikat anda seperti LG dan Samsung merupakan jenama isi rumah yang popular dan diterima baik di seluruh Asia Tenggara.
“Korea Selatan boleh menyokong transformasi digital Asean ketika kita melaksanakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital kita,” kata Encik Wong.
Encik Wong juga mengalu-alukan sokongan Korea Selatan untuk membina keupayaan Asean dalam bidang kritikal seperti keselamatan siber, pembangunan bakat, dan membanteras jenayah penipuan dalam talian.
Beliau juga menjemput Korea Selatan mengambil bahagian dalam pembangunan Grid Kuasa Asean dengan berkongsi kepakarannya dalam penyimpanan tenaga dan teknologi grid pintar.
Semasa ucapannya, Encik Wong juga menyeru pengukuhan sambungan penerbangan melalui penyambungan semula rundingan untuk lebih banyak hak kebebasan ke-5 di bawah Perjanjian Perkhidmatan Udara Asean-Korea Selatan.
Hak kebebasan ke-5 merujuk kepada hak penumpang untuk terbang antara dua negara asing dalam perjalanan yang berasal atau berakhir di negara sendiri.
“Perkhidmatan udara yang lebih liberal akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, memudahkan lebih banyak pertukaran orang dengan orang dan aktiviti ekonomi.
“Kita ingin menggalak lebih banyak aliran warga antara Korea dan Asia Tenggara. Di seluruh rantau ini, ramai orang meminati budaya, muzik, drama dan filem Korea,” kata Encik Wong.
Semasa berucap di Sidang Puncak Asean Plus Three (APT) pula, Encik Wong berkata perkongsian antara Asean dan China, Jepun dan Korea Selatan telah memberi “manfaat ketara kepada rakyat kita”.
Manfaat ini terdiri daripada jaringan keselamatan serantau yang dipertingkatkan, kepada rantaian bekalan yang lebih kukuh, dan keselamatan kesihatan yang lebih baik, kata Encik Wong.
Melangkah ke hadapan, beliau menyeru negara-negara APT untuk memperkukuh keupayaan kolektifnya untuk menahan kejutan ekonomi dan ancaman yang muncul, yang disebabkan oleh peningkatan perlindungan dan tekanan yang semakin meningkat untuk melemahkan sistem perdagangan pelbagai hala.
“Kenyataan Pemimpin mengenai Memperkukuhkan Kerjasama Ekonomi dan Kewangan Serantau yang kita terima pakai hari ini adalah penting dan menyampaikan mesej yang jelas.
“Ia mencerminkan komitmen bersama kita untuk menyokong pertumbuhan mampan sambil menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya,” kata Encik Wong.
Beliau juga menyeru negara-negara untuk memanfaatkan dinamisme ekonomi APT bagi mempercepatkan integrasi ekonomi di rantau ini, dan menggalakkan pertumbuhan yang mampan, serta merebut peluang dalam bidang baru dan baru muncul seperti ekonomi digital dan hijau.
Dari segi digital, Encik Wong berkata China, Jepun dan Korea Selatan boleh menyumbang kepada usaha Asean dalam melaksanakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) memandangkan mereka mempunyai “keupayaan canggih”.
Mengulas tentang peluang kerjasama bagi membangunkan Grid Kuasa Asean, Encik Wong berkata China, Jepun dan Korea Selatan boleh berkongsi kepakaran mereka dalam bidang seperti tenaga bersih sambil meningkatkan daya tahan dan keselamatan tenaga serantau.
“Agenda positif dan rekod prestasi Asean Plus Three meletakkan kita dalam kedudukan yang baik untuk mengemudi persekitaran global yang semakin tidak dapat diramalkan dan mencabar.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat agar keamanan, kestabilan dan kemakmuran dapat terus wujud di rantau kita,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg