Asean mesti bersatu dan berupaya bertindak balas secara berkesan agar ia dapat memelihara ekonomi strategiknya dan melindungi kepentingan Asean, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Berucap di Rahat Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada 26 Oktober, Encik Wong berkata, bagi Asean mengharungi persekitaran kompleks dan bergolak, ia mesti menunjukkan keupayaannya untuk menghuraikan perbezaan dan mengekalkan keamanan sesama sendiri.
“Bagi kita untuk melakukan ini dengan baik, seperti yang telah dikatakan ramai sebelum ini, perpaduan Asean adalah penting.
“Jika kita tidak dapat melakukan ini, atau jika kita membiarkan pertikaian memecahbelahkan kita, kita akan mengurangkan kredibiliti, kuasa, dan kaitan kita di pentas antarabangsa. Asean akan hapus,” kata Encik Wong.
Memberi contoh Pelan Damai KL yang ditandatangani Kemboja dan Thailand, Encik Wong memuji usaha Malaysia untuk mencari penyelesaian diplomatik sebagai pengerusi Asean.
Walau bagaimanapun, beliau berkata perjalanannya masih jauh, dan Singapura menggalak kedua-dua pihak agar mengelakkan sebarang peningkatan permusuhan selanjutnya.
Beliau turut menggalak kedua-dua negara agar menghuraikan perbezaan melalui perbincangan dan dialog secara aman, serta mekanisme yang telah ditetapkan.
Menyentuh tentang isu Myanmar, Encik Wong berkata keadaan politik dan kemanusiaan terus menjadi teruk walaupun selepas hampir lima tahun negara tersebut melalui rampasan kuasa oleh pasukan tentera.
Dalam hal itu, Encik Wong berkata keutamaan segera adalah untuk mengurangkan keganasan, memudahkan akses kemanusiaan, dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk berdialog.
“Penyelesaian yang mampan dan keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog dan penglibatan yang membina antara semua pihak utama yang berkepentingan.
“Kita semua telah mengatakan demikian sebelum ini, bahawa sebarang penyelesaian mestilah dimiliki dan dipimpin oleh Myanmar,” kata Encik Wong.
Memuji usaha Duta Khas dan kerja Pusat Penyelarasan Asean untuk Bantuan Kemanusiaan, Encik Wong menyeru agar Asean melantik Duta Khas yang mempunyai tempoh berbilang tahun setelah Malaysia tamat mempengerusikan Asean.
Semasa berucap di sesi pleno, Encik Wong berkata Asean mesti terus memperdalam penyepaduan, menjalin perkongsian baru dan memperkukuh daya tahan terhadap ancaman yang baru muncul seperti jenayah siber, penipuan dalam talian dan dadah.
Beliau berkata Asean yang bersepadu, berjaya dan berdaya tahan akan mempunyai kredibiliti dan perlindungan yang lebih tinggi berbanding negara lain.
“Banyak negara dan kumpulan dari Kepulauan Pasifik hingga Amerika Selatan berminat untuk bekerjasama dengan kita kerana mereka melihat potensi dalam dinamisme rantau kita.
“Jadi, kita harus melibatkan mereka dalam bidang kepentingan bersama dan memanfaatkan kekuatan Asean untuk mengakses lebih banyak peluang di seluruh dunia,” kata Encik Wong.
Mengenai penyepaduan Asean, Encik Wong berkata Kawasan Perdagangan Bebas Asean masih belum bebas tarif 100 peratus dan menyeru Asean agar berusaha menurunkan tarif kepada kadar sifar.
Beliau turut menggesa Asean supaya bekerjasama bagi mengurangkan halangan bukan tarif, menyeragamkan peraturan dan undang-undang, serta membolehkan perniagaan memanfaatkan rantaian bekalan merentasi Asean dengan lebih berkesan.
“Kita juga harus memanfaatkan bidang pertumbuhan baru seperti ekonomi hijau dan digital untuk merapatkan ekonomi Asean kita dengan menghubungkan sistem pembayaran digital kita, dengan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa), dan dengan merealisasikan Grid Kuasa Asean,” kata Encik Wong.
Dalam menjalin perkongsian baru, Encik Wong berkata Canada dan Kesatuan Eropah (EU) berminat memeterai Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) dengan Asean.
Beliau turut mencadangkan untuk meneroka kerjasama baru dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan menjalin hubungan baru dengan rantau lain di Afrika dan Amerika Latin.
“Saya fikir hubungan baru ini akan menjadi lebih penting terutama dalam dunia di mana akan terdapat lebih banyak halangan kepada perdagangan dan pelaburan.
“Memandangkan sistem sejagat semakin ‘tersekat’, kita di Asean mesti kekal terbuka dan kita mesti mencari jalan memastikan ‘arteri utama’ perdagangan terbuka,” kata Encik Wong.
Mengenai ancaman yang baru muncul, Encik Wong menggesa Asean agar meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan rakyat terhadap jenayah siber dan penipuan dalam talian.
Beliau jurut menarik perhatian kepada usaha menangani isu kesihatan awam seperti dadah, rokok elektronik dan produk vape, yang katanya, “kini dapat bergerak bebas merentasi rantau kita”.
“Kekal berwaspada terhadap isu-isu ini – dadah, vape, penipuan dalam talian – saya fikir isu-isu ini juga penting untuk Asean meningkatkan daya tahannya terhadap ancaman yang baru muncul ini,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg