Membina ikatan kekeluargaan yang kukuh adalah satu perjalanan sepanjang hayat, dan strategi serta amalan tempat kerja yang menyokong boleh menghasilkan satu persekitaran di mana sasaran kerja dan keluarga boleh saling melengkapi berbanding berkonflik antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong pada 25 Mei.
Menggelarkan unit keluarga sebagai asas dan tonggak masyarakat negara ini, beliau menekankan bahawa dasar pemerintah akan terus memperkukuh peranan keluarga di sini, dan membantu warga Singapura sedar akan harapan dan impian buat keluarga mereka.
Encik Wong berkata demikian di pelancaran Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2024 di Gardens by the Bay, anjuran Keluarga Sepanjang Hayat (FFL).
Acara itu diadakan sempena dengan pelancaran Pesta Kanak-Kanak.
Encik Wong memetik Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Susunan Kerja Fleksibel yang dikeluarkan pada lewat April sebagai satu contoh kemajuan ke arah budaya kerja yang menyokong kerja dan keluarga.
Beliau berkata sasarannya adalah untuk memupuk budaya kerja yang mengenal pasti dan menyokong seseorang itu, bukan sekadar sebagai pekerja.
“Ini bermakna budaya kerja yang menggalak kecekapan dan penghasilan semasa waktu pejabat, dan juga menghormati waktu peribadi selepas waktu pejabat.
“Ia bermakna satu budaya kerja yang mendakap kecemerlangan dan kerja keras, dan melindungi masa keluarga semasa percutian, cuti umum dan hujung minggu.”
Encik Wong menambah bahawa beberapa stereotaip lapuk berkaitan dengan peranan keluarga perlu berubah – seperti menjadikan lelaki sebagai pencari nafkah dan wanita suri rumah.
Terdapat lebih banyak yang boleh dilakukan bagi menggalak bapa memainkan peranan lebih besar dalam keluarga mereka.
Sedang beliau terdorong dengan statistik yang menunjukkan lebih separuh daripada bapa baru mengambil cuti paterniti, yang merupakan seganda peratusannya berbanding sedekad lalu, ia juga bermakna sekitar separuh daripada bapa baru masih tidak mengambil cuti paterniti.
Beliau berkata pemerintah akan terus menyemak semula dan mengemas kini dasar bagi menyokong keluarga dengan lebih baik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat perluasan kepada geran pemberi jagaan, pelaburan di pra-sekolah, dan lebih banyak sokongan bagi pasangan muda membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pertama mereka secara lebih awal.
Perubahan sedemikian mencerminkan penghargaan bahawa keluarga memerlukan jenis sokongan berasingan di peringkat kehidupan yang berbeza – pasangan muda dalam melayari perkahwinan mereka dan membeli rumah pertama mereka akan mempunyai keperluan berbeza dengan keluarga yang mempunyai warga senja yang inginkan jaminan keperluan persaraan dan jagaan kesihatan.
Encik Wong berkata mengukuhkan ikatan keluarga bukan sesuatu yang berlaku secara tanpa usaha.
Beliau mengaitkannya kepada seorang pekebun yang menguruskan tanamannya dari benih sehingga ia membesar, yang memerlukan masa, usaha dan kesabaran.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
NFF, yang sebelum ini dikenali sebagai Minggu Keluarga Kebangsaan, telah diluaskan kepada satu acara lebih lama.
Ia berlangsung dari 25 Mei hingga 23 Jun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg