Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: FTA dipertingkat libat Asean-China pencapaian penting, buka peluang baru

Perjanjian yang diperluaskan akan kurangkan hambatan dagangan, kukuh ketersambungan rantaian bekalan
Oct 28, 2025 | 3:56 PM
Lawrence Wong, Sidang Puncak Asean-China
Perdana Menteri Lawrence Wong (tengah), menghadiri Sidang Kemuncak Asean-China pada 28 Oktober di Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto MDDI

Perjanjian Dagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0 merupakan “pencapaian penting” kerana ia akan mengurangkan lagi halangan perdagangan, mengukuh ketersambungan rantaian bekalan, dan membuka peluang pertumbuhan masa hadapan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Berucap di Sidang Kemuncak Asean-China pada 28 Oktober di Kuala Lumpur, Malaysia, Encik Wong menyeru agar perjanjian itu disahkan pada masa terdekat, dan dilaksanakan dengan berkesan supaya perniagaan dan orang ramai dapat mula meraih manfaat daripadanya.

“Hubungan Asean-China adalah salah satu hubungan Asean yang paling penting, dan sedang kita menghadapi lebih banyak ketidakpastian, ia kekal sebagai tonggak utama kestabilan dan kemakmuran untuk kita semua di rantau ini,” kata Encik Wong.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao pada 28 Oktober sebelum bermulanya Sidang Kemuncak Asean-China.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 28 Oktober, ACFTA 3.0 menyediakan peluang baru kepada perniagaan dalam bidang utama yang sedang muncul seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan ketersambungan rantaian bekalan.

Ia turut membantu perniagaan yang beroperasi di Asia Tenggara dan China merebut peluang baru, seperti dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (fintech).

Selain itu, perjanjian tersebut memperkenalkan komitmen baru terhadap amalan perniagaan yang tidak adil atau antipersaingan dan menyediakan perlindungan lebih baik bagi pengguna dalam talian dan luar negara, kata MTI.

Datuk Anwar, selaku Pengerusi Asean dalam ucapannya, mengulangi komitmen Asean untuk mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa besar dunia khususnya China dan Amerika Syarikat, seiring dengan prinsip pemusatan yang dimainkan rantau ini untuk terus memperkukuh hubungan dengan pelbagai rakan antarabangsanya.

“Dua hari lalu (26 Oktober) kami baru saja mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Donald Trump dan hari ini (28 Oktober), kami bersama China.

“Ini jelas mencerminkan kedudukan pemusatan Asean dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada rakan-rakan pimpinan Asean atas kebijaksanaan dalam mengekalkan pemusatan ini serta hubungan bersahabat dengan semua negara,” katanya.

Menurut perangkaan, Asean merupakan rakan dagang terbesar China, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$771 bilion ($997.77 bilion) pada 2024.

Rundingan mengenai perjanjian yang dipertingkatkan tersebut bermula pada November 2022 dan berakhir pada Mei, sejurus selepas serangan tarif Presiden Trump bermula.

Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) pertama berkuat kuasa pada 2010.

China sebelum ini mengatakan perjanjian itu akan membuka jalan bagi akses pasaran yang lebih baik dalam sektor seperti pertanian, ekonomi digital dan farmaseutikal antara China dengan Asean.

China dan Asean adalah sebahagian daripada Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), iaitu blok perdagangan terbesar dunia yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat dan kira-kira satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia.

“China sudah menjadi rakan dagang terbesar Asean dan semua negara Asean, tetapi kita tidak seharusnya leka, dan berusaha lebih jauh untuk menghubungkan ekonomi kita bersama.

“Itulah sebabnya kita sangat gembira kerana telah menandatangani Perjanjian Dagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0,” kata Encik Wong.

Semasa berucap, Encik Wong turut menggesa Asean dan China supaya meningkatkan ketersambungan penerbangan bagi memudahkan perjalanan dan pertukaran warga dengan warga, serta meningkatkan ketersambungan data antara ekonomi.

Encik Wong juga menggesa China agar menyokong Grid Kuasa Asean, yang boleh memberi manfaat kepada Asean dan China dengan meningkatkan daya tahan tenaga dan mewujudkan peluang baru untuk semua ekonomi.

“China merupakan pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia, dan anda boleh berkongsi kepakaran teknikal untuk membina kapasiti dan keupayaan di rantau kita.

“Singapura juga akan memainkan peranan kami untuk menyokong pembangunan mampan di rantau ini, termasuk melalui Program Latihan Negara Ketiga kami dengan China,” kata Encik Wong.

Menjelang akhir ucapannya, Encik Wong menyeru Asean dan China agar menggandakan usaha bagi mencapai Kod Tatalaku yang substantif dan berkesan di Laut China Selatan.

Beliau menekankan bagaimana keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan mengemudi dan penerbangan, adalah penting di laluan tersebut.

“Jika Asean dan China terus menggandakan usaha kerjasama, kita boleh terus memacu pertumbuhan yang mampan dan terangkum di rantau kita dan memberikan manfaat berkekalan kepada semua rakyat kita,” tambah Encik Wong.

Pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean, Encik Wong telah menghadiri sidang kemuncak bersama New Zealand dan Australia.

Di sidang kemuncak bersama New Zealand, Asean memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog dengan negara tersebut, dan menaik taraf perhubungan mereka kepada tahap Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP).

Selain itu, Encik Wong telah mengadakan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Vietnam bersama Perdana Menteri Pham Minh Chinh, di mana kededua pemimpin melancarkan pelan tindakan untuk melaksanakan perkongsian strategik komprehensif (CSP) antara kededua negara.

Dalam satu catatan Facebook, Encik Wong berkata pelan tindakan tersebut menetapkan cara konkrit untuk memperdalam kerjasama dalam bidang utama seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi dan perdagangan pertanian.

Sidang Puncak tersebut, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober, menyaksikan lebih 3,000 pemimpin dan delegasi daripada 30 buah negara dan badan-badan antarabangsa yang hadir di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi Asean.

“China sudah menjadi rakan dagang terbesar Asean dan semua negara Asean, tetapi kita tidak seharusnya leka, dan berusaha lebih jauh untuk menghubungkan ekonomi kita bersama. Itulah sebabnya kita sangat gembira kerana telah menandatangani Perjanjian Dagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0.”
 Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg