Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Perjanjian RCEP bawa manfaat pada Asean, negara peserta

Gesa negara laksana Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau sepenuhnya
Oct 27, 2025 | 5:46 PM
PM Wong,  Sidang Puncak Asean ke-47, RCEP
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia, dari 26 hingga 28 Oktober. - Foto ST

Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) telah menunjukkan bahawa negara-negara boleh mencapai lebih banyak manfaat secara bersama berbanding bersendirian, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini meskipun Asean berdepan cabaran persaingan geopolitik, persaingan ‘zero-sum’ yang membawa keuntungan kepada sesuatu pihak dan kerugian pula kepada pihak lain, dan tekanan ke atas sistem perdagangan berasas peraturan pelbagai hala.

Berucap di Sidang Kemuncak RCEP Serantau pada 27 Oktober yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, Encik Wong berkata perjanjian RCEP telah membawa “manfaat sebenar” melangkaui sekadar menurunkan tarif dan memberi pengguna lebih banyak pilihan.

Walaupun demikian, beliau berkata negara-negara peserta juga perlu kekal terbuka dan bersedia untuk mengembangkan perjanjian tersebut, dan terus berusaha menyemak semula dan mempertingkatkan perjanjian RCEP.

“RCEP telah memberi isyarat penting kita mempunyai kepentingan dalam pembangunan antara satu sama lain, dan kita komited terhadap perdagangan berasaskan peraturan yang telah menyokong pertumbuhan serta kemakmuran di rantau kita.

“Itulah sebabnya Singapura sangat komited terhadap RCEP,” kata Encik Wong, sambil menambah bagaimana RCEP juga telah menyelaras peraturan yang membolehkan perniagaan beroperasi dengan lebih mudah.

Perjanjian RCEP ialah sebuah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam kalangan 15 negara – Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Ia merupakan FTA terbesar dunia, merangkumi kira-kira 30 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat dan kira-kira satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia.

Antara manfaat utama RCEP untuk negara peserta ialah penghapusan tarif untuk kira-kira 92 peratus barangan, dan penyelarasan peraturan asal untuk memberi perniagaan lebih fleksibiliti bagi memanfaatkan faedah akses pasaran keutamaan.

Ia juga memudahkan prosedur kastam dan perdagangan yang antara lain boleh mempercepat pelepasan barangan.

Semasa ucapannya, Encik Wong berkata, bagi Asean mencapai potensi penuh perjanjian RCEP, negara peserta perlu “melaksanakan perjanjian tersebut sepenuhnya dan berkesan”.

Ini termasuk menangani isu yang belum mencapai kata sepakat pada akhir rundingan sebelum ini seperti perbezaan tarif, di mana kadar tarif yang berbeza dikenakan untuk barangan yang sama apabila ia diimport dari negara yang berbeza.

Memetik kesukaran yang dihadapi oleh perniagaan, Encik Wong menggesa negara-negara agar menyelesaikan semua isu tertunggak dengan segera.

Ini agar mereka dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada perjanjian RCEP, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Encik Wong turut menyeru negara peserta supaya kekal terbuka dan bersedia mengembangkan perjanjian tersebut

“Kita harus terbuka kepada kemasukan ekonomi baru selagi ia memenuhi keperluan dan piawaian perjanjian.

“Ini akan menegakkan prinsip utama perjanjian iaitu keterbukaan dan keterangkuman, mengukuhkan rantaian bekalan kita, dan membuka pasaran baru untuk ekonomi kita,” kata Encik Wong.

Beliau menyeru agar perjanjian tersebut diperbaiki, memetik cadangan Australia, Korea Selatan dan China.

Ini termasuk mempunyai komitmen perkhidmatan yang bercita-cita tinggi, peraturan baru untuk meliputi ekonomi hijau dan digital, dan menetapkan piawaian tertinggi untuk RCEP.

“Singapura berharap dapat bekerjasama dengan negara-negara peserta untuk menyemak semula RCEP pada 2027, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian.

“Sidang Kemuncak ini menandakan fasa baru bagi RCEP, dan Singapura komited untuk bekerjasama dengan semua negara peserta bagi memajukan agenda bersama kita,” kata Encik Wong.

Berlatarbelakangkan persekitaran sejagat yang telah berubah dengan ketara sejak perjanjian RCEP berkuat kuasa, Encik Wong berkata:

“Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, amat penting bagi Asean bersatu, bagi menunjukkan perdagangan bebas boleh memberikan manfaat kepada rakyat kita dan membawa kemakmuran ke rantau kita.”

Selain sidang kemuncak tersebut, Encik Wong turut menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan; Sidang Kemuncak Asean Plus Three (APT); Sidang Kemuncak Asia Timur; dan Sidang Kemuncak-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 27 Oktober.

Beliau turut berpeluang mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, di sisi Sidang Puncak Asean yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg