Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong gesa rakyat S’pura terus bersatu dalam ‘dunia lebih berbahaya’

Nov 24, 2024 | 8:52 PM
Berucap di di Persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 24 November, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata rakyat Singapura mesti kekal bersatu dalam dunia yang jauh lebih berbahaya dan berubah-ubah.
Berucap di di Persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 24 November, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata rakyat Singapura mesti kekal bersatu dalam dunia yang jauh lebih berbahaya dan berubah-ubah. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemerintah tidak akan dapat mengharungi dunia baru yang bergelora atau menahan operasi pengaruh asing bersikap bermusuhan tanpa sokongan padu rakyat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau juga menekankan bahawa rakyat mesti kekal bersatu dalam dunia yang jauh lebih berbahaya dan berubah-ubah sekarang.

Apabila rakyat Singapura bersatu padu, “maka kita boleh bercakap dengan satu suara di pentas dunia” dan negara ini “akan dihargai sebagai sebuah negara selamat dan terjamin, yang stabil dan boleh dipercayai, walaupun dalam dunia bermasalah dan tidak menentu”, ujar Encik Wong semasa berucap pada Persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 24 November.

Lebih 3,000 Anggota Parlimen (AP), aktivis, kader dan tetamu menghadiri persidangan dwitahunan di Singapore Expo itu, di mana Encik Wong turut mengumumkan beliau akan mengambil alih jawatan setiausaha agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu dan menerajuinya pada pilihan raya umum seterusnya.

CEC adalah badan pembuat keputusan tertinggi PAP.

Sidang tersebut turut mengumumkan pemilihan CEC ke-38 PAP, di mana 12 anggota dipilih dan dua lagi dilantik ke badan itu.

Encik Wong bakal mengambil alih peranan sebagai setiausaha agung parti itu daripada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, selepas mesyuarat pertama CEC yang baru itu diadakan.

Encik Wong berkata reputasi dan kedudukan antarabangsa Singapura tinggi pada mata dunia, dengan negara ini menyertai secara aktif forum antarabangsa dan “orang mahu mendengar kita”.

“Apakah yang membuat Singapura begitu luar biasa? Ini adalah kerana apabila kita bercakap, orang tahu ia adalah sudut pandangan Singapura, diutarakan secara logik dan konsisten oleh pemerintah dan disokong oleh rakyat Singapura,” katanya.

“Mereka tahu kita serius, dan kita tidak goyah,” tambah Encik Wong, yang merupakan timbalan setiausaha agung PAP pada masa ini.

Encik Wong berkata beliau telah mengadakan perbincangan baik dengan ramai rakan sejawatannya semasa pelbagai lawatan kerja ke luar negara, termasuk Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil baru-baru ini.

Beliau menambah bahawa semua orang berasa bimbang disebabkan peperangan yang sedang berlaku di Eropah dan Timur Tengah, serta hubungan antara Amerika Syarikat dengan China semakin tegang.

“Ada banyak bahagian yang sedang bergerak dari segi geopolitik dengan perkara boleh dengan mudah menjadi salah,” kata beliau.

Beliau berkata selama beberapa dekad negara di seluruh dunia meraih manfaat daripada susunan global yang diterajui Amerika yang disokong institusi berbilang pihak.

Bagaimanapun, Amerika – walaupun masih paling utama – tidak lagi mahu menjadi polis dunia. Mantan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dipilih semula memegang jawatan itu berdasarkan “Utamakan Amerika Dahulu”, katanya.

Mandat Encik Trump itu menunjukkan sentimen semakin meningkat dalam kalangan rakyat Amerika bahawa mereka menanggung “harga terlalu tinggi” untuk menegakkan susunan global, dan tidak menikmati faedah setimpal.

Kuasa lain yang sedang meningkat, seperti China dan India, juga tertumpu kepada isu domestik masing-masing, dan belum berada dalam kedudukan untuk menggalas tanggungjawab global lebih besar, kata Encik Wong.

Dunia berada dalam keadaan berubah-ubah, dengan norma yang ditetapkan semakin pudar tetapi perintah baru masih belum terbentuk, tambah beliau.

“Di tengah-tengah kekosongan kepimpinan ini, kita boleh menjangkakan lebih banyak konflik dan ketidakstabilan di dunia, kerana pelaku negara dan bukan negara akan berani untuk menguji sempadan, selalunya dengan sedikit atau tiada akibat,” tambah beliau, sambil memberi contoh konflik yang berterusan di Ukraine dan Timur Tengah.

Sebaik-baiknya, kuasa besar harus bersatu untuk menyelaraskan kedudukan mereka dan berusaha ke arah kebaikan yang lebih besar, tetapi terdapat syak wasangka dan ketidakpercayaan yang mendalam antara Amerika dengan China, kata Encik Wong.

Masing-masing menganggap satu sama lain sebagai ancaman strategik, dengan kedua-duanya mengambil langkah untuk meluaskan sfera pengaruh dan mengukuhkan kedudukan masing-masing - dan ini akan menjadikan ianya lebih sukar untuk mencari titik persamaan, kata beliau.

“Ini adalah realiti dunia yang kita diami. Dan dinamik ini akan bersama kita untuk beberapa waktu - kita tidak bercakap tentang satu atau dua tahun... Saya rasa kita perlu bergelut dengan ini mungkin untuk dekad akan datang atau seterusnya,” kata Encik Wong.

Oleh itu, beliau menekankan bahawa rakyat Singapura mesti kekal bersatu, walaupun mereka pasti mempunyai pandangan berbeza mengenai perkembangan global.

“Kita tidak boleh membiarkan perbezaan kita memisahkan kita. Memang sudah sukar untuk suara kita didengari sebagai sebuah negara kecil. Akan bertambah sukar jika suara kita tidak jelas dan tidak keruan.

“Pada akhirnya, kita mesti menimbangkan kepentingan lebih besar negara dan mengambil pendirian yang bersatu,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg