Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM: Guna AI secara bertanggungjawab untuk tingkat pemerintah, ekon

Turut gesa negara anggota G20 bantu perniagaan, pekerja sesuaikan diri dengan AI
Nov 23, 2025 | 9:03 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri)  di Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) pada 22 November.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri) di Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) pada 22 November. - Foto MDDI

Kecerdasan buatan (AI) mempunyai potensi besar untuk memperbaiki dan mengubah kehidupan, tetapi pemerintah seluruh dunia juga perlu bersikap bijaksana dan melihat melangkaui gembar-gembur teknologi itu, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Selain memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab, pemerintah juga perlu membantu perniagaan dan pekerja menyesuaikan diri dengan dunia AI, kata Encik Wong semasa berucap di hari kedua Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) pada 23 November yang diadakan di Afrika Selatan.

Ini perlu dilakukan demi memanfaatkan potensi sebenar AI dan dalam jangka panjang AI untuk membentuk pemerintah yang lebih cekap dan responsif, serta meningkatkan produktiviti merentasi setiap sektor ekonomi.

“Inilah pendekatan Singapura,” kata Encik Wong, yang turut berkongsi bagaimana pemerintah Singapura juga menyediakan sokongan kepada perniagaan untuk memanfaatkan aplikasi AI.

“Kami telah memanfaatkan aplikasi AI secara sistematik dalam sektor awam kami untuk memperkemas proses, untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan, dan untuk membebaskan pegawai untuk memberi tumpuan kepada kerja bernilai lebih tinggi.”

Encik Wong berkata demikian semasa berucap pada sesi ketiga Sidang Puncak G20, yang menyentuh tentang isu mineral kritikal, pekerjaan yang baik dan AI.

Berkongsi bagaimana negara-negara boleh memainkan peranan masing-masing untuk menyokong perniagaan kecil menggunakan AI, Encik Wong berkata ini boleh dilakukan dengan membantu perniagaan menggunakan perisian dan alat berkuasa AI.

Bagi syarikat yang lebih besar, Encik Wong berkata pemerintah boleh menyokong perniagaan menggunakan model AI canggih atau membangunkan model dalaman untuk mereka bentuk semula proses kerja dan membangun huraian baru.

“Itulah sebabnya Singapura juga mewujudkan medan ujian (sandbox) kawal selia dan tempat ujian di mana syarikat boleh bereksperimen dengan selamat, mencuba idea baru dan memperkenalkan huraian AI canggih ke pasaran dengan lebih cepat,” kata Encik Wong.

Sementara itu, di tengah-tengah inovasi teknologi dan AI, Encik Wong juga menggesa negara-negara untuk menangani kebimbangan nyata tentang pekerjaan dan mata pencarian dan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan dunia AI.

Beliau memberi contoh bagaimana Singapura bekerjasama rapat dan secara proaktif dengan majikan dan kesatuan sekerja untuk meningkatkan kemahiran pekerja, serta memudahkan peralihan kepada pekerjaan baru dan lebih baik, sewajarnya.

“Contohnya, di pelabuhan kami – di mana kami mempunyai operasi kren automatik – pengendali kren tidak lagi perlu bekerja dalam keadaan luar yang teruk, tetapi telah dilatih semula untuk mengawal kren dari jauh, di dalam bilik berhawa dingin.

“Mereka mendapat produktiviti yang lebih tinggi dan gaji yang lebih baik. Ini adalah satu contoh – tetapi terdapat banyak industri lain di mana kita perlu menangani cabaran yang serupa... dalam bidang ini kita semua boleh belajar antara satu sama lain,” kata Encik Wong.

Semasa ucapannya, Encik Wong juga memuji India, Brazil, dan Afrika Selatan kerana telah menerajui usaha G20 untuk mengkaji bagaimana pemerintah boleh menggalak pembinaan pekerjaan yang baik melalui AI.

Mesyuarat G20 pada 2025, yang diadakan di Pusat Ekspo Johannesburg, merupakan yang pertama diadakan di negara Afrika.

Afrika Selatan, sebagai presiden G20, telah menumpukan perhatian kepada isu-isu yang membebankan negara-negara termiskin di dunia, seperti ketidaksamaan ekonomi meluas dan kemampanan hutang untuk negara-negara membangun

G20 terdiri daripada 19 negara yang mewakili ekonomi terbesar di dunia – Argentina, Australia, Brazil, Canada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Italy, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkey, Britain dan Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Afrika.

Singapura bukan sebahagian daripada G20, tetapi telah menyertai sidang puncak itu sebagai negara tetamu selama hampir dua dekad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg