JOHANNESBURG (Afrika Selatan): Multilateralisme fleksibel adalah cara untuk mereformasikan institusi dan peraturan global bagi menangani cabaran semasa, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di sidang puncak Kumpulan 20 Negara (G20) pada 22 November.
Ini bermakna, daripada terikat dengan cara lama, kumpulan kecil boleh memulakan asas untuk sistem baru melalui perjanjian berbilang hala, dengan pihak lain menyertai kemudian, lapor The Straits Times (ST).
Negara-negara juga perlu membina kerjasama baru, menghubungkan rantau, blok, dan ekonomi yang sehaluan dengan cara yang saling menguntungkan, tambahnya.
Encik Wong menyampaikan pandangannya pada hari pertama sidang puncak bersejarah di Johannesburg, semasa sesi kerja yang dihadiri oleh pemimpin ekonomi terbesar dunia.
Sidang puncak 2025 adalah yang pertama diadakan di negara Afrika.
Sebagai presiden G20, Afrika Selatan menumpukan perhatian kepada isu yang memberi kesan kepada negara termiskin di dunia, seperti ketidaksamaan ekonomi yang semakin meluas dan kemampanan hutang bagi negara membangun.
Dalam ucapan pembukaannya di sidang puncak, Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, berkata menangani isu yang dihadapi oleh dunia membangun adalah penting untuk kestabilan dan keselamatan, serta untuk mengurangkan risiko konflik.
Beliau kemudian menggesa pemimpin G20 untuk menerima pengisytiharan tersebut di awal mesyuarat, berbanding kebiasaan yang dilakukan pada akhir sidang puncak pada 23 November.
Mesyuarat itu berlangsung di tengah-tengah boikot oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berhubung dakwaan yang telah disangkal mengenai penganiayaan orang kulit putih Afrika Selatan.
Encik Ramaphosa berkata: “Kita tidak boleh membenarkan apa-apa yang merendahkan nilai dan impak kepimpinan G20 pertama di Afrika. Sidang Puncak ini bertanggungjawab memastikan integriti dan kredibiliti G20 terjaga dan diperkukuh.”
Semasa sesi kerja, Encik Wong menyatakan, peraturan perdagangan sedia ada tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa, seperti perdagangan digital.
Perpecahan peraturan berasaskan multilateral akan memberi kesan terbesar kepada negara membangun.
Di Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Korea Selatan yang berakhir awal November, beliau telah menyeru pemimpin Apec agar mengubah Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) agar lebih berorientasikan hasil.
Beliau mengulanginya di mesyuarat G20 itu.
Syarat mencapai muafakat WTO bermakna semua negara anggota perlu bersetuju sebelum perjanjian perdagangan baru boleh dicapai, tetapi muafakat sedemikian terbukti sukar dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Encik Wong berkata, membina seni bina ekonomi global baru memerlukan usaha besar dan kemahuan politik, namun G20 mempunyai kemampuan dan tanggungjawab untuk memainkan peranan utama, kerana ia mewakili 85 peratus daripada Hasil Kasar dalam Negeri (GDP) dunia.
“Singapura bersedia melakukan bahagian kami dan bekerjasama dengan semua anggota ke arah matlamat ini.”
Bagi tujuan itu, kerja yang sedang dijalankan boleh dilengkapkan melalui multilateralisme fleksibel dan Singapura menyokong kerjasama sehala dan berbilang hala yang boleh berfungsi sebagai perintis, tambahnya.
Ekonomi yang sehaluan juga boleh membina perkongsian yang menjadi asas kepada sistem perdagangan berbilang hala yang lebih kukuh dan selamat, kata Encik Wong.
Beliau memberi contoh dialog perdagangan dan pelaburan pertama yang diadakan oleh negara-negara Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dengan Asean dan Kesatuan Eropah (EU), yang berlangsung pada 20 November.
Encik Wong berkata dialog itu akan memperdalamkan perkongsian dalam isu seperti permudahan perdagangan dan pelaburan, perdagangan digital, dan ketahanan rantaian bekalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg