Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong hadiri Rahat Pemimpin S’pura-Thailand pada 2 Sep di Bangkok
BANGKOK: Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan lawatan satu hari ke Bangkok pada 2 September bagi menghadiri Rahat Pemimpin Singapura-Thailand.
Ini merupakan rahat pemimpin pertama antara Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, yang turut menyandang peranan Menteri Dalam Negeri.
Kedua-dua perdana menteri akan menyemak semula rangka kerja kerjasama pertahanan dan ekonomi sedia ada yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dan serantau, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 1 September.
Singapura dan Thailand juga dijangka meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang-bidang seperti ekonomi hijau dan digital, ketahanan tenaga, keselamatan makanan serta usaha menangani jenayah rentas sempadan.
Encik Wong akan diiringi oleh isteri, Cik Loo Tze Lui, dan lima menteri.
Menteri-menteri berkenaan ialah Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli; serta Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
