Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerbincangan ‘dari hati ke hati’ PM Wong, Prabowo kukuh keyakinan hubungan dua hala
Perbincangan ‘dari hati ke hati’ PM Wong, Prabowo kukuh keyakinan hubungan dua hala
S’pura, Indonesia fokus bentuk masa depan bersama dengan mempererat hubungan antara rakyat, meningkat ketersambungan, hubungan institusi
Perbincangan ‘dari hati ke hati’ PM Wong, Prabowo kukuh keyakinan hubungan dua hala
Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia pada 6 Julai mengetengahkan bagaimana kededua negara telah mengembangkan hubungan melangkaui perbincangan isu dua hala semata-mata – kepada menangani keutamaan strategik yang semakin meningkat seperti keselamatan maritim, peralihan tenaga, ketersambungan digital dan daya tahan serantau.
Diadakan di Istana Merdeka, Jakarta pertemuan antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dengan Presiden Prabowo Subianto mencerminkan hasrat kededua negara untuk memperkukuh perkongsian yang semakin dibentuk oleh ketidakpastian geopolitik dan transformasi ekonomi.
Ini telah ditegaskan semula oleh kededua pemimpin dalam ucapan mereka semasa sidang media bersama yang diadakan susulan perbincangan di Rahat Pemimpin tersebut.
Encik Wong berkata: “Saya sangat gembira hari ini kerana berpeluang mengadakan perbincangan dari hati ke hati yang sangat bermanfaat, terbuka dan terus terang dengan Presiden Prabowo mengenai cara kita dapat membawa kerjasama kita lebih jauh.
“Singapura mempunyai keyakinan penuh terhadap masa depan Indonesia. Kami mahu Indonesia berjaya, kerana masa depan kami saling berkait rapat.”
Kepentingan Selat Melaka, Singapura
Salah satu hasil strategik utama daripada pertemuan itu ialah penegasan semula komitmen kededua pemimpin untuk memastikan Selat Melaka dan Singapura terus terbuka, selamat dan boleh diakses mengikut undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin meruncing dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan maritim.
Bagi Singapura, yang ekonominya bergantung pada perdagangan sejagat yang tidak terganggu, komitmen itu mengukuhkan keyakinan salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia akan kekal selamat dan terbuka kepada perdagangan antarabangsa.
Bagi Indonesia, perisytiharan itu mengukuhkan peranannya sebagai negara maritim utama yang komited terhadap kestabilan serantau sambil melindungi kepentingan kedaulatannya di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).
Pada masa konflik di bahagian lain dunia telah mengganggu sektor perkapalan sejagat, komitmen bersama oleh kededua negara pesisir memberikan jaminan kepada perniagaan, pelabur dan rakan kongsi serantau bahawa Asia Tenggara kekal komited dalam memelihara laluan laut yang stabil.
Melangkaui isu dua hala tradisional
Satu lagi pemerhatian penting ialah perbincangan semasa Rahat Pemimpin untuk melangkaui perselisihan faham dua hala yang lazim dibincangkan antara kededua negara.
Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia yang lalu sering ditakrifkan oleh isu dua hala yang telah lama berlarutan, termasuk pengurusan ruang udara, pengaturan ekstradisi, kerjasama pertahanan, sempadan maritim dan kebimbangan alam sekitar seperti jerebu rentas sempadan.
Walaupun isu ini kekal penting, banyak telah diselesaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan berada dalam landasan yang stabil.
Sebaliknya, Rahat Pemimpin kali ini memberi tumpuan yang besar kepada bidang di mana kededua negara melihat peluang untuk membentuk masa depan bersama.
Perbincangan tertumpu pada mempercepatkan peralihan tenaga serantau, meningkatkan daya saing perindustrian dan memupuk kerjasama kredit karbon.
Ini mencerminkan bagaimana kededua pemerintah semakin melihat satu sama lain bukan sahaja sebagai jiran dekat yang menguruskan perbezaan, tetapi sebagai rakan strategik yang bertindak balas terhadap cabaran serantau yang sama.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo menekankan: “Kita sepakat bahawa kalau ada salah faham atau salah takrifan, kita akan selesaikan sebagai sahabat dengan terbuka.
“Singapura dan Indonesia harus menjadi rankan kongsi yang baik. Harus kerjasama dengan baik. Dengan kerjasama yang baik, ini akan menguntungkan tidak hanya rakyat Indonesia dan rakyat Singapura.
“Tapi akan menyumbang kepada stabiliti, pertumbuhan dan kemakmuran di seluruh Asia Tenggara.”
Hubungan rapat PM Wong, Presiden Prabowo
Satu lagi perkara yang dapat dilihat dengan ketara ialah nada yang diguna pakai oleh kededua pemimpin sepanjang Rahat Pemimpin tersebut.
Encik Prabowo menyifatkan perbincangan itu sebagai “dari hati ke hati”, terbuka dan berpandangan jauh, sambil menambah sebarang salah faham harus diselesaikan secara terus terang “sebagai rakan”.
Encik Wong juga menyifatkan pertemuan tahunan itu sebagai “platform unik” yang dibina atas “kepercayaan, rasa hormat dan persefahaman bersama”.
Kenyataan sedemikian mungkin kelihatan simbolik, tetapi ia membawa makna memandangkan sejarah isu dua hala yang kompleks antara kededua negara, termasuk dalam aspek pengurusan ruang udara, pengaturan ekstradisi, kebimbangan alam sekitar dan sempadan maritim.
Penekanan mereka terhadap dialog yang terus terang menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat bahawa perbezaan boleh terus diuruskan melalui perundingan dan bukannya konfrontasi, yang mereka sifatkan sebagai asas penting untuk kerjasama jangka panjang.
Perkukuh kerjasama
Keluasan perjanjian yang ditandatangani semasa Rahat Pemimpin itu juga menggariskan bagaimana kerjasama dua hala dua negara itu berkembang ke bidang baharu.
Sebanyak 26 Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian telah diperkenalkan merangkumi tenaga boleh diperbaharui, mempererat hubungan antara rakyat, meningkatkan ketersambungan, dan hubungan institusi kededua negara.
Secara kolektif, inisiatif ini menyokong keutamaan ekonomi jangka panjang kededua negara.
Bagi Singapura, ia memperkukuhkan usaha untuk mempelbagaikan sumber tenaga, memperdalam kerjasama digital dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
Bagi Indonesia, ia dijangka menarik pelaburan, menyokong pembangunan perindustrian dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Penekanan yang semakin meningkat terhadap tenaga boleh diperbaharui, perdagangan elektrik rentas sempadan dan teknologi baharu juga mencerminkan bagaimana hubungan dua hala menyesuaikan diri dengan ekonomi sejagat yang berubah-ubah dan bukannya bergantung terutamanya pada sektor tradisional.
Kepentingan Asean
Selain kepentingan dua hala Singapura dan Indonesia, perbincangan di Rahat Pemimpin itu juga membawa implikasi serantau yang lebih luas.
Pada masa kuasa besar bersaing untuk pengaruh di seluruh Indo-Pasifik, Singapura dan Indonesia mengesahkan semula sokongan mereka terhadap dialog, kerjasama serantau dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
Walaupun prinsip ini telah lama menjadi asas Asean, Rahat Pemimpin itu menunjukkan bagaimana perkongsian dua hala dapat memperkukuh matlamat rantau yang lebih luas.
Ini amat relevan ketika Singapura bersiap sedia untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Asean pada 2027.
Sebagai Pengerusi, Singapura perlu membina konsensus antara negara anggota sambil memajukan kerjasama praktikal mengenai isu serantau yang semakin kompleks.
Penjajaran yang kukuh dengan Indonesia — negara anggota dan ekonomi terbesar Asean — dapat memberikan momentum berharga dalam bidang seperti ketersambungan tenaga, penyepaduan digital, keselamatan maritim dan daya tahan rantaian bekalan.
Kerjasama berorientasikan masa depan
Daripada memperkenalkan perubahan dasar yang dramatik, Rahat Pemimpin 2026 memperkukuh evolusi yang stabil tetapi ketara dalam hubungan dua hala.
Singapura dan Indonesia tidak lagi tertumpu terutamanya pada penyelesaian isu dua hala yang telah lama berlarutan.
Sebaliknya, mereka semakin bekerjasama untuk membentuk masa depan rantau ini melalui penyelarasan strategik yang lebih erat, penyepaduan ekonomi lebih mendalam dan kerjasama institusi yang lebih luas.
Secara keseluruhannya, Rahat Pemimpin ini menunjukkan hubungan antara kededua negara jiran telah memasuki fasa lebih matang.
Hubungan yang semakin erat antara Encik Wong dengan Encik Prabowo, digabungkan dengan pemeteraian 26 perjanjian merentasi pelbagai sektor, mencerminkan perkongsian yang semakin luas, mendalam dan semakin berorientasikan masa depan.
Pada masa ketidakpastian geopolitik yang semakin meningkat, kepentingan Rahat Pemimpin ini bukan sahaja terletak pada perjanjian yang dicapai.
Ia terletak pada keyakinan bersama yang ditunjukkan oleh kededua pemimpin bahawa Singapura dan Indonesia boleh bekerjasama untuk membantu membentuk Asia Tenggara yang lebih berdaya tahan, terhubung dan stabil.
