Topik diikuti
Pergi ke BHkuHilang pencen apabila tinggalkan perkhidmatan awam untuk ceburi politik
Hilang pencen apabila tinggalkan perkhidmatan awam untuk ceburi politik
Mengimbas kembali keputusannya untuk memasuki arena politik pada 2011, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata ia merupakan “satu tindakan nekad tanpa kepastian” apabila beliau meletak jawatan daripada perkhidmatan awam.
Pada ketika itu, beliau tidak tahu di manakah beliau akan bertanding, sama ada beliau akan dipilih atau tidak, apakah tanggungjawab yang mungkin diminta untuk digalas, atau berapa jumlah gaji yang akan diterimanya.
“Tiada siapa yang memberitahu saya, “jika anda menang, inilah jawatan yang anda akan dapat, ini pakej ganjarannya.” Tiada siapa.
“Ia merupakan satu tindakan nekad tanpa kepastian.
“Hanya selepas saya meletak jawatan barulah saya menyedari satu akibatnya: saya hampir mencapai 15 tahun dalam perkhidmatan awam – anda memerlukan 15 tahun untuk mengekalkan pencen anda – saya telah kehilangan pencen saya,” kata beliau.
Berkongsi pengalamannya itu semasa menggulung perbahasan kenyataan menteri berhubung semakan gaji 2026 bagi pemegang jawatan politik di Parlimen pada 10 September, Encik Wong berkata ada rakan-rakannya yang telah bertanya sama ada beliau menyesali akan keputusannya.
Ini kerana, jika beliau kekal dalam perkhidmatan awam, beliau mungkin boleh menjadi seorang setiausaha tetap, mengekalkan pencennya, mendapat pendapatan lebih tinggi, dan tidak perlu berhadapan dengan penelitian awam sambil tetap berkhidmat untuk Singapura.
Encik Wong berkata beliau tidak menyesali keputusannya, sambil menambah bahawa perkhidmatan politik membawa tanggungjawab yang berbeza, iaitu membuat pilihan yang sukar, menetapkan hala tuju strategik, membawa rakyat bersama-sama, dan akhirnya bertanggungjawab terhadap hasilnya.
“Sebab itulah saya memilih jalan ini. Begitu juga dengan rakan-rakan sejawat saya. Kami tampil ke hadapan – untuk melakukan apa yang terdaya bagi Singapura dan berkhidmat untuk sesama warga negara kita,” kata beliau.
