Topik diikuti
Pergi ke BHkuSee Leng: Gaji saya sebagai menteri tidak setanding gaji di sektor swasta
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) tetap ceburi politik demi berbakti kepada negara
See Leng: Gaji saya sebagai menteri tidak setanding gaji di sektor swasta
Tiada tahap gaji menteri realistik yang mampu menandingi gaji yang diperolehi beliau sebelum beliau menceburi politik, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng.
Menyertai perbahasan mengenai semakan gaji menteri pada 10 September, Dr Tan berkata beliau boleh terus meraih pendapatan pada tahap tersebut sekiranya kekal dalam sektor swasta.
Namun, beliau didorong rasa “tanggungjawab untuk berbakti semula kepada negara dan rakyat yang telah banyak memberi kepadanya”.
Dr Tan, 61 tahun, merupakan seorang doktor dan pernah memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam sektor penjagaan kesihatan sebelum menceburi bidang politik pada 2020.
Menurut laporan akhbar The Straits Times pada Julai 2020, gaji terakhir Dr Tan pada 2019, termasuk bonus dan faedah melebihi $10 juta.
“Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, tiada kadar gaji menteri realistik yang mampu menandingi pendapatan yang saya terima sebelum menyertai pemerintah,” kata Dr Tan.
Dalam ucapannya di Parlimen pada 10 September, Dr Tan meminta Parlimen mengambil kira pertimbangan kewangan yang perlu dibuat oleh seorang pakar bedah, usahawan, profesional kewangan atau eksekutif pertengahan kerjaya yang berjaya sekiranya mereka diminta menceburi politik.
Menurutnya, bakal pemegang jawatan politik mengorbankan lebih daripada sekadar wang apabila menyertai perkhidmatan awam, termasuk masa, peluang masa depan, matlamat peribadi dan privasi.
Di Parlimen pada 8 September, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa pemerintah telah menerima cadangan Jawatankuasa Semakan Gaji Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen (AP) untuk mengemas kini tanda aras gaji menteri gred MR4 daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.
MR4 ialah gred rujukan bagi menentukan struktur gaji pemegang jawatan politik.
Namun, pemerintah tidak akan melaksanakan kenaikan penuh itu serta-merta, tetapi akan melaksanakan pelarasan khas sekali sahaja sehingga 9 peratus, iaitu kenaikan kepada $1.2 juta, bagi setiap pemegang jawatan politik.
Dalam pada itu, Dr Tan menegaskan bahawa khidmat awam tidak seharusnya didorong oleh keuntungan kewangan.
Menurut Dr Tan, perbahasan mengenai semakan gaji menteri bukan usaha menyamai pendapatan dalam sektor swasta.
Beliau memberi amaran sekiranya perkhidmatan awam menuntut kos peribadi yang terlalu tinggi, Singapura bakal berdepan risiko kekurangan bakat yang layak untuk menerajui kepimpinan negara.
“Dan... itu akan menjadi kos yang jauh lebih besar daripada sebarang gaji yang kita bahaskan di Dewan ini,” ujar Dr Tan.
