Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Kami tidak akan berhenti membangun S’pura

Jul 27, 2024 | 6:32 PM
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata rakyat Singapura harus yakin berupaya mengubah cabaran menjadi peluang baru dan kelemahan menjadi kekuatan
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata rakyat Singapura harus yakin berupaya mengubah cabaran menjadi peluang baru dan kelemahan menjadi kekuatan - Foto: TANGKAP LAYAR YOUTUBE LAWRENCE WONG

Singapura masih boleh terus membangun dan menjadi tempat tinggal lebih baik untuk semua, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini boleh dilakukan jika Singapura terus merancang untuk jangka panjang, berinovasi dan melaksanakan rancangan berani, tambah beliau.

Bercakap kepada warga Singapura menerusi sebuah video yang diterbitkan di YouTube pada 27 Julai, Encik Wong berkata:

“Sedang Singapura menjadi lebih matang, ada orang bertanya apakah kita boleh melangkah lebih jauh. Mereka bertanya: Sudahkah kita mencapai had (pencapaian) kita?

“Benarkan saya memberi jaminan: Kami tidak akan selesai membangunkan Singapura. Kami akan terus mempertingkat Singapura dan menjadikannya tempat tinggal lebih baik untuk kita semua.”

Ini akan memerlukan perancangan jangka panjang, inovasi bandar dan sikap boleh lakukan apa saja, ujar Encik Wong, yang menampilkan beberapa contoh hasil pendekatan ini dari dulu lagi.

Watch on YouTube

Encik Wong memulakan video itu dengan mengimbas zaman beliau mendewasa di Marine Parade, yang dibina di atas tanah tambak. Ada orang bimbang bahawa flat di kawasan itu tidak selamat dan tanah akan tenggelam, kata beliau.

“Tapi ibu bapa saya tidak terjejas. Mereka bangga kerana berpeluang memiliki flat HDB sendiri,” kata Encik Wong, yang berkata keluarganya menghidupkan semula semangat kehidupan kampung di rumah baru mereka.

Encik Wong juga bercerita tentang betapa Singapura percaya ia boleh menjadi hab penerbangan serantau dan memulakan operasi komersial di Lapangan Terbang Changi pada 1981. 

“Sekarang kita mempunyai Jewel dan tidak lama lagi T5 Changi,” katanya.

Beliau turut menampilkan beberapa contoh lain tentang bagaimana Singapura merancang bagi keperluan jangka panjang – daripada pembinaan terminal kontena di Tanjong Pagar sebelum sektor itu benar-benar rancak dan pembangunan Marina Bay, yang menjadi realiti selepas perancangan sistematik dan kerja keras selama beberapa dekad.

Namun, Encik Wong akur ada banyak cabaran yang perlu diatasi.

Beliau berkata Singapura, sebagai pulau yang berada di paras rendah, akan terjejas akibat pemanasan sedunia dan paras laut meningkat. Singapura juga tidak mempunyai sumber tenaga bersih dan akan mengalami kesukaran “menghijaukan” bekalan kuasa, yang boleh mendatangkan kesan besar ke atas ekonomi.

Singapura juga tidak mempunyai banyak pilihan bagi tenaga boleh diperbaharui, berbeza daripada negara-negara lain, kata Encik Wong lagi.

Justeru, beliau berkata Singapura sedang meneroka huraian lain, seperti mengimport hidrogen karbon rendah dan kuasa geoterma, dan mengikuti perkembangan teknologi nuklear, yang mungkin boleh digunakan di sini pada masa depan.

Selain itu, Encik Wong berkata Singapura sedang membuat persiapan bagi menangani ancaman paras laut yang meningkat dengan membina Long Island, di perairan pantai East Coast.

Pulau ini, yang berukuran sekitar seganda lebih besar daripada Marina Bay, akan menambah kawasan taman di East Coast. Ia akan menjadi bukan sahaja satu bentuk pertahanan pantai yang genting, malah kolam air tawar dan mewujudkan lebih banyak ruang beriadah.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi Singapura, Encik Wong berkata:

“Ini semua ancaman kepada kewujudan kita. Tapi kita perlu mempunyai keyakinan yang kita boleh mengubah cabaran ini menjadi peluang baru dan mengubah kelemahan menjadi kekuatan, sebagaimana yang telah kita lakukan dari dulu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg