Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

S’pura komited capai pelepasan sifar bersih jelang 2050, tangani perubahan iklim

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura komited capai pelepasan sifar bersih jelang 2050, tangani perubahan iklim

Jan 05, 2024 | 03:24 PM



Singapura komited mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan telah mengambil langkah aktif untuk menangani perubahan iklim dan menuju ke arah masa depan yang rendah karbon, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

“Untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris dalam mengehadkan pemanasan global, penyelesaian global diperlukan. Kita akan melakukan peranan kita.

“Pemerintah akan bekerjasama dengan masyarakat untuk mencari penyelesaian dengan mengetepikan sumber dan mengukuhkan pelan penyesuaian iklim kita,” kata Cik Fu.

Demikian yang dikongsi oleh Cik Fu semasa ucapan pembukaannya di Simposium Kajian Perubahan Iklim Nasional Ketiga Singapura atau V3 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 5 Januari.

Semasa acara tersebut, Pusat Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) turut mengeluarkan laporan V3, yang menunjukkan ramalan bahawa Singapura akan menghadapi suhu yang lebih tinggi, hujan yang lebih lebat dan musim kering yang lebih lama dan kerap menjelang akhir abad ini.

Cik Fu juga melancarkan Portal Visualisasi Data V3 yang membolehkan laporan V3 itu diakses secara terbuka dan membolehkan penyelidik, perniagaan dan badan-badan masyarakat untuk bersama-sama mencipta penyelesaian, mengambil tindakan dan meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim.

“Dengan laporan V3, kami akan menyemak semula pelan sedia ada dan memastikan ia kekal relevan. Kami juga akan melihat risiko iklim baru yang mungkin memerlukan perhatian,” kata Cik Fu.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan beberapa usaha utama pemerintah untuk menangani perubahan iklim, khususnya dalam menangani peningkatan paras laut dan menghadapi peningkatan suhu.

“Pertama, untuk menangani kenaikan paras laut. Ini memberi kita peluang membayangkan semula reka bentuk pantai kita, untuk mencipta manfaat baru seperti ruang rekreasi tambahan untuk masyarakat dan memulihara alam semula jadi dan biodiversiti,” tambahnya.

Pada November 2023, pemerintah telah mengumumkan rancangan untuk memulakan kajian teknikal bagi ‘Long Island’, yang boleh melibatkan penebusan kira-kira 800 hektar tanah dan melindungi bahagian East Coast Singapura yang lebih rendah daripada paras air laut.

Ini akan menyepadukan perlindungan pantai dengan keperluan guna tanah masa hadapan, mewujudkan takungan air tawar baru untuk meningkatkan daya tahan air jangka panjang dan mewujudkan kemungkinan baru untuk taman dan aktiviti rekreasi.

“Kami akan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak berkepentingan daripada Perbincangan Pantai Kita yang diketuai oleh PUB dan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai rancangan untuk ‘Long Island’ dan segmen lain di pantai.

“Untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan kita, kami melancarkan Institut Perlindungan Pantai dan Ketahanan Banjir (CFI) Singapura, yang dihoskan di NUS. Ini menghimpunkan kekuatan institut tempatan dan industri untuk menyahut cabaran berdekad ini,” kata Cik Fu.

Dalam menghadapi peningkatan suhu, beliau menambah bahawa pemerintah telah menggunakan strategi reka bentuk pasif untuk Singapura kekal sejuk semasa iklim panas.

Ini termasuk mempergiatkan kehijauan di kawasan bandar dan mengorientasikan bangunan di sepanjang arah Utara-Selatan untuk mengurangkan penambahan haba.

“Baru-baru ini, kami telah menggunakan pengukuran, pemodelan dan simulasi untuk menambah baik reka bentuk bandar kita dan meningkatkan pengetahuan kami tentang haba bandar dan kesannya terhadap kesihatan manusia.

“Kami juga secara aktif mengukuhkan daya tahan masyarakat kita untuk menghadapi haba. Tahun lepas, kami melancarkan Panduan Tekanan Haba untuk memperkasa penduduk membuat keputusan yang lebih termaklum apabila terlibat dalam aktiviti luar,” kata Cik Fu.

Beberapa sektor seperti majikan pekerja luar, sekolah dan pengusaha rumah kediaman juga telah melaksanakan langkah yang dipertingkat untuk melindungi segmen yang terdedah daripada tekanan haba, tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >