Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah sedang pantau kebimbangan hilangnya keupayaan dwibahasa warga
Memandangkan perubahan dalam landskap bahasa Singapura, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata terdapat kebimbangan bahawa warga Singapura mungkin kehilangan hubungan dengan akar budaya mereka secara beransur-ansur, serta kelebihan yang mereka ada kerana boleh menguasai dua bahasa.
Berkata demikian dalam Bahasa Mandarin di Rapat Hari Kebangsaan 2026 (NDR2026) pada 23 Ogos, Encik Wong berkata kebimbangan itu boleh difahami dan pemerintah sedang memantau perkembangan itu dengan teliti.
Singapura harus mengekalkan identiti dan ciri-ciri Asia, dan tidak boleh menjadi sebuah masyarakat yang hanya menggunakan satu bahasa, tambah Encik Wong.
Merujuk kepada ucapan NDR beliau pada 2024, Encik Wong berkata beliau telah mengumumkan bahawa kriteria bagi pelajar untuk mengambil Bahasa Cina Lanjutan akan dilonggarkan.
Langkah tersebut mula berkuat kuasa pada 2026 dengan lebih 1,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada perubahan itu.
Hari ini, seorang daripada setiap empat pelajar Menengah Satu yang mempelajari Bahasa Cina mengambilnya pada peringkat Bahasa Cina Lanjutan.
Selain itu, semakin banyak sekolah kini turut menawarkan Bahasa Cina Lanjutan. Beliau menyebut laporan Lianhe Zaobao yang mendapati sekolah-sekolah yang biasanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar turut menawarkan kelas itu, susulan permintaan daripada ibu bapa.
Persekitaran bahasa di rumah juga penting, kata Encik Wong. Beliau menceritakan bagaimana penguasaan bahasa Mandarinnya beransur-ansur bertambah baik apabila beliau menonton drama di saluran 8 bersama keluarganya ketika membesar.
Kini, ramai ibu bapa sanggup berusaha lebih untuk membantu anak-anak mereka mempelajari bahasa Mandarin, katanya.
Beliau berkongsi kisah wartawan The Straits Times (ST), Cik Alyssa Woo, yang mahu anak-anaknya mempelajari bahasa Mandarin walaupun beliau sendiri tidak begitu fasih.
Beliau membiasakan dirinya dengan bahasa Mandarin dengan menonton rancangan televisyen dan mendengar lagu yang hanya menggunakan bahasa Mandarin.
Ini termasuk mendengar lagu-lagu Jay Chou dan menonton drama popular Pursuit of Jade. Selepas tiga bulan, penguasaan bahasa Mandarin Cik Woo bertambah baik dan anak-anaknya juga menjadi lebih berminat untuk mempelajari bahasa tersebut.
Encik Wong berseloroh bahawa orang lain juga boleh mencubanya.
Encik Wong menegaskan bahawa untuk mempelajari bahasa Mandarin dengan baik, selain sokongan keluarga, perlu ada persekitaran sosial yang menyokong, di mana bahasa tersebut digunakan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata golongan muda hari ini mempunyai lebih banyak peluang untuk didedahkan kepada bahasa Mandarin berbanding dahulu, melalui media tempatan, kumpulan kebudayaan dan para artis yang menghasilkan kandungan berbahasa Mandarin yang menarik.
Mereka juga mempunyai akses kepada filem, drama, muzik dan permainan dalam bahasa Mandarin dari luar negara.
Sebagai contoh, perpustakaan negara Singapura dan China akan mengadakan pameran bersama mengenai Empat Novel Klasik Agung pada lewat 2026.
Walaupun bersetuju bahawa dialek merupakan warisan budaya yang wajar dipelihara, beliau menyatakan bahawa Singapura juga mesti mempertahankan pencapaian penting hasil daripada Kempen Bertutur Bahasa Mandarin.
Bahasa Mandarin telah menjadi bahasa perantara dalam kalangan masyarakat Cina di Singapura dan meletakkan asas yang kukuh bagi dasar dwibahasa kita, di samping menghubungkan rakyat Singapura dengan masyarakat Cina di seluruh dunia.
Menurutnya, cabaran kini adalah untuk menggalakkan mereka yang selesa berbahasa Inggeris supaya lebih kerap bertutur dalam bahasa Mandarin, memandangkan kebanyakan warga Singapura berketurunan Cina tahu berbahasa Mandarin tetapi lebih kerap menggunakan bahasa Inggeris.
Encik Wong menyatakan bahawa meskipun penggunaan bahasa Mandarin digalakkan, ruang lebih luas perlu diberikan untuk dialek.
Meskipun siaran televisyen percuma akan kekal menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama, Singapura boleh melonggarkan sekatan bagi siaran televisyen berbayar dan filem, kata beliau.
Beliau mengumumkan bahawa tiada lagi had dikenakan ke atas jumlah tayangan filem dialek, selagi versi alih suara bahasa Mandarin disediakan.
Para hadirin meraikan pengumuman tersebut dengan tepukan gemuruh.
Maklumat lanjut mengenai siaran televisyen berbayar akan diumumkan kelak, tambah Encik Wong.
Sementara itu, pemerintah akan terus menyokong persatuan-persatuan suku kaum di Singapura yang selama ini aktif menggalakkan penggunaan dialek menerusi kelas dan aktiviti kebudayaan.
Encik Wong berkata beliau berharap agar persatuan berkenaan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Singapura untuk mempelajari dialek, memahami asal usul warisan budaya mereka, serta memperkukuh budaya Cina tempatan yang unik di Singapura.
Beliau memetik Orkestra Cina Singapura sebagai contoh kerana ia menggabungkan muzik tradisional Cina dengan pengaruh Nanyang bagi mencipta identiti irama Singapura yang tersendiri.
