Kerjasama praktikal dalam bidang baru, terutamanya dalam aspek digital, antara Asean dengan China boleh membantu membuka peluang baru, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini termasuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab, kata beliau ketika berucap di Sidang Kemuncak Asean-China ke-29 pada 16 November di Manila, Filipina.

“China merupakan salah satu negara paling maju di dunia dari segi digital dan juga rakan perdagangan terbesar Asean.

“Terdapat potensi besar untuk memperdalam keterhubungan digital memandangkan Asean kini telah memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) di peringkat serantau,” kata beliau.

DEFA – perjanjian yang dimuktamadkan selepas rundingan tiga tahun dan ditandatangani pada 14 November – dijangka menggandakan ekonomi digital rantau ini daripada AS$1 trilion ($1.29 trilion) kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

Perjanjian ini akan menjadikan ia lebih mudah bagi perniagaan menjalankan urus niaga dan beroperasi merentasi rantau ini dengan menetapkan peraturan bersama bagi melancarkan perdagangan digital dan aliran data yang dipercayai.

Encik Wong turut mengalu-alukan saranan China untuk menetapkan 2027 sebagai Tahun Kerjasama AI Asean-China.

“China merupakan peneraju dalam aplikasi AI; di seluruh negara-negara Asean, terdapat potensi serta minat yang amat besar untuk memanfaatkan AI bagi meningkatkan produktiviti dan mengubah ekonomi kita.

“Kami menanti-nantikan kerjasama dengan China untuk mencapai hasil yang bermakna,” kata beliau.

China diwakili Perdana Menterinya, Encik Li Qiang, di sidang kemuncak itu.

Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut berkata bahawa dalam persekitaran global baru dengan ketegangan geopolitik serta halangan terhadap perdagangan dan pelaburan yang kian meningkat, hubungan erat China dengan Asean membuktikan bahawa terdapat jalan lain untuk melangkah ke hadapan – iaitu berteraskan kerjasama dan perkongsian saling memberi manfaat kepada satu sama lain.

Beliau berkata Asean dan China harus terus membina jambatan ekonomi dan menggalakkan keterbukaan dan penyepaduan.

Contohnya, Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0, yang akan berkuatkuasa pada Disember, akan memberikan keyakinan lebih besar kepada perniagaan untuk melabur dan berkembang dalam pasaran masing-masing.

Para pegawai kini sedang berusaha untuk memperkemas prosedur kastam dan mempermudahkan syarat pensijilan, kata Encik Wong.

Dalam pada itu, langkah meliberalisasikan Perjanjian Pengangkutan Udara Asean-China juga akan memberi dorongan tambahan dengan meningkatkan keterhubungan serta memudahkan aliran barangan dan pergerakan rakyat yang lebih pesat.

Encik Wong turut menekankan bahawa China dan Asean mesti terus memastikan rantau ini kekal aman dan stabil.

Dalam hal ini, beliau berkata China merupakan rakan kongsi yang bernilai dan aktif menerusi sokongannya yang tekal terhadap mekanisme diterajui Asean, termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau Asean dan Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean Plus (ADMM-Plus).

“Interaksi ini telah membantu membina kepercayaan dan persefahaman.

“Kita juga menantikan pemuktamadan segera Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif serta selaras dengan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, dan yang melindungi hak dan kepentingan semua pihak yang menggunakan Laut China Selatan,” kata beliau.