Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bagi melahirkan rasa simpati dan takziah beliau, menyusuli kejadian gempa bumi yang melanda di luar pantai Flores di timur Indonesia pada 15 Ogos.

Bencana alam itu mengorbankan puluhan nyawa serta merosakkan ratusan bangunan.

Gempa bumi kedua berukuran pada skala Richter 6.1 itu melanda di luar pantai utara Sumatra, Indonesia, beberapa jam selepas gempa utama, dengan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 16 Ogos, Encik Wong berkata beliau amat berdukacita atas kehilangan nyawa dan kemusnahan yang diakibatkan oleh kejadian gempa bumi tersebut.

Beliau juga menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah yang mendalam, bagi pihak pemerintah Singapura kepada keluarga mangsa dan mereka yang terjejas oleh tragedi tersebut.

“Ingatan dan doa kami bersama rakyat Indonesia dalam saat yang sukar ini, serta bersama pihak berkuasa dan anggota penyelamat yang bekerja tanpa henti dalam usaha bantuan dan pemulihan,” tambah Encik Wong.

Bencana alam itu telah mengorbankan 53 nyawa, mencederakan sekurang-kurangnya 135 orang serta merosakkan ratusan rumah dan bangunan, menurut pihak berkuasa Indonesia pada 16 Ogos.

Kira-kira 5,000 penduduk melarikan diri dari rumah masing-masing apabila gempa melanda pulau tersebut awal pagi 15 Ogos.

Gempa itu diikuti oleh hampir 1,000 gempa susulan beberapa jam kemudian, kata seorang jurucakap agensi pengurusan bencana negara itu.