Pada akhir tahun ini pengguna-pengguna Spotify dapat berkongsi lagu-lagu dan artis kegemaran yang mereka selalu putarkan sepanjang tahun kepada teman-teman melalui media sosial.
Nampaknya, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong juga tidak mahu ketinggalan. PM Wong yang sebelum ini berkongsi minatnya bermain gitar dan menunggang motosikal, sekali lagi mencuit hati rakyat dengan hantaran terbarunya.
Berkongsi di laman Instagramnya @lawrencewongst, PM Wong berkongsi lima artis yang paling digemarinya dan di tangga teratas ialah penyanyi dan penulis lagu dari Amerika Syarikat, Roy Orbinson yang terkenal dengan lagu “Oh Pretty Woman”, “Crying” dan “You Got it”.
Walaupun begitu, ini tidak bermakna beliau meminati lagu klasik saja, malah dalam senarai termasuk juga kumpulan berasal dari United Kingdom dalam genre yang berbeza.
Di tangga kedua ialah kumpulan Pop ‘Erasure’ dan Sir Elton John menduduki tangga ketiga.
PM Wong juga menunjukkan minat kepada muzik rok era 90-an dan Antaranya ialah kumpulan muzik pop, ‘Erasure’, kumpulan Rock ‘Oasis’ dan ‘Soul Asylum’.
Spotify ‘Wrapped’ ialah sebahagian daripada pemasaran syarikat aplikasi muzik itu untuk menilai artis dan lagu pilihan penggunanya pada setiap hujung tahun. Ia juga mengiktiraf peminat, artis dan pencipta muzik yang membentuk lanskap 2024.
Menduduki tempat pertama ialah artis dari Amerika, Taylor Swift yang telah dinobatkan sebagai Artis Global Spotify 2024.
Menurut data yang diterbitkan syarikat itu, Spotify mempunyai 626 juta pengguna aktif bulanan. Spotify telah menyaksikan pertumbuhan yang konsisten bagi pangkalan pengguna aktifnya sejak 2015. Malah, Spotify telah menambah 193 juta pengguna aktif bulanan sepanjang dua tahun lepas (dari 2022 hingga 2024).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg